Followers

Tuesday 25 August 2009

Darihal isu arak: Tahniah Khartika!

Oleh : H Fansuri ibnuamir@yahoo.com

Ketika di zaman kuliah dulu, seorang pelajar Aspirasi-Umno dengan tiba-tiba membela Dr Mahathir, khasnya dalam hal permit lesen penjualan arak.

"Engkau nak salahkan Mahathir sebab dia luluskan lesen perniagaan arak, tetapi kau kena ingat beb! Tuhan juga yang menciptakan anggur," kata siswa itu.

Pandangan ini tak dapat disanggah memandangkan cafe Desasiswa Gemilang di USM itu adalah lubuk emas Aspirasi. Lagipun beliau bersama rakan-rakannya duduk di meja yang sama, sedangkan saya cuma hadir seorang saja.

Ketika itu, Berita Kampus memang tidak 'ngam' dengan HEP dan kelompok Aspirasi. Dan, kita salah seorang editorialnya. Kalau dilawan nanti, panjang kisahnya dan sikap panas baran anak muda ini memanglah sukar diramal. Saintis menyatakan bahawa, mamalia sememangnya haiwan berdarah panas dan kita pula berada di lubuk, sarang mereka!

Nanti, jika mereka naik angin dan tiba-tiba ajak rakannya menyerbu, macam mana pula kita nak bertahan dengan terkaman dan garangan yang tiba-tiba itu?

Pengkalan Aspirasi bukan cuma di Gemilang, malah ia dilanjutkan ke RST-Restu, Saujana dan Tekun. Jika nak diceritakan kronologi kisah ini, nanti terbabas maksud sebenar kisah arak ini. Kalau ada lebihan waktu, nanti dirawikan kemudian, insya Allah Ta'ala.

Kalaulah rakan lama kita itu kebetulan terbaca coretan ini, maka inilah jawapan balas terhadap kenyataan beliau itu. Wahai saudara, dengarkan penjelasan ini betul-betul, buka mata hati selebar-lebarnya, buka telinga seluas-luasnya.

Tuhan tidak bersalah membuat ciptaan

Allah berhak membuat ciptaannya dan kita tak boleh menyalahkan Tuhan jika ciptaan itu telah dijadikan suatu bentuk yang lain.

Dalam kes arak misalnya, memang 'wine' itu datang daripada anggur. Tetapi, bukankah manusia itu sendiri yang telah merumuskan bahan-bahan, menyusun ramuan, menyediakan resipi untuk menukar anggur menjadi minuman keras yang memabukkan, mengkhayalkan dan akhirnya menimbulkan lain-lain kesan pergolakan di dalam masyarakat?

Diriwayatkan ketika British mula mewujudkan ladang-ladang dan menjadikan kaum India sebagai pekerja mereka di Tanah Melayu, mereka membuka warung todi dan hasilnya, kebanyakan kaum minoriti itu telah banyak menderita kerana arak itu. Keadaan sama saja di China. Tapi, di sana British memperkenal madat, dadah dan candu.

Ya, rumah tangga jadi bergolak dengan sebab arak. Dan, banyak pemanduan yang sepatutnya selamat telah pun terbabas di jalan raya dengan sebab diserang kemabukan menggila ini.

Diriwayatkan, ulamak Bani Israel, Barsisha pernah juga cuba disesatkan oleh Iblis tapi rencana mereka ini tak pernah berhasil. Akhirnya, menurut maklumat risikan yang berjaya dicuri dari langit, ulamak ini mati dengan sebab arak.

Maka, berusaha keraslah syaitan dengan sedaya upayanya untuk menumpaskan Barsisha dengan arak. Ada juga riwayat yang menyatakan bahawa murid-murid Barsisha ini sudah dapat terbang ke langit. Wallahu'alam.

Apa yang penting, kisah ini menunjukkan bahawa sehebat-hebat manusia itu, akhirnya telah dikalahkan dengan arak. Dan, tiba-tiba, ada seorang kenalan yang pertahankan pentadbiran Mahathir yang meluluskan arak, lalu seolah-olah dia telah 'menyalahkan' Tuhan sendiri sebagai Zat yang mencipta anggur. Hal inilah yang menyebabkan kita sedikit beremosi.

Islam mempunyai sikap dan pendirian yang jelas mengenai arak ini. Tapi, anggur ini tidak pernah diharamkan. Anggur boleh dijadikan minuman lain yang tidak memabukkan juga. Anggur boleh dikeringkan menjadi kismis.

Kita juga pernah membeli kismis dalam kotak kecil dan kononnya kismis itu daripada California, Amerika, sebuah negara yang mana rakyatnya terbiasa dengan tabiat melanggah arak.

Di negara beriklim empat musim, arak diminum sedikit untuk memberikan kehangatan kepada tubuh. Ini bermaksud ada alasan untuk mereka minum. Tapi, di Malaysia yang tidak bersalji, tiada alasan untuk minum atas nama menghangatkan tubuh melainkan ia adalah sejenis acara untuk bersosial, berfoya-foya dan berparti mengikut budaya Barat.

Kesimpulannya, bukan salah anggur, salah kita sendiri yang mengolah ramuan, menggubah adunan dan meramu resipi anggur sehingga menjadi minuman keras yang memabukkan.

Bukan salah dadah. Dadah boleh digunakan secara bijaksana untuk proses rawatan. Bukan salah bom C4 ketika meletupkan tubuh Altantuya. Bom C4 itu boleh meletupkan alat senjata Israel jika Ahmad Zahid berani mengusik Ehud Barak.

Allah tidak bersalah. Tapi, manusia itulah yang bersalah kerana menyalahgunakan C4, dadah dan anggur. Wallahu'alam.

Peminum, pengangkat dulang arak sama saja

Ada hadis menyebutkan; peminum, pengangkat dulang arak, orang yang menyediakan arak akan turut dihukum. Ini bermakna, pendirian agama sangat keras ke atas arak.

Pada zaman kita ini, sudah ada van, lori Carlsberg yang mana pemandunya ialah orang Islam kita sendiri. Barangkali, sudah ada syarikat arak di papan pertama, kedua di Bursa Saham dan sudah ada kapitalis Melayu, orang Islam yang melabur dalam sektor perkilangan arak.

Dan, kita pun tidak tahu apakah sudah ada fatwa mufti berhubung hal-hal baru yang tiada pada zaman Rasulullah s.a.w ini?

Pada zaman nabi, ada arak. Tapi, tiada van yang angkut arak. Tetapi, kalau operasi pengangkutan arak itu menggunakan unta, tiadalah kita tahu.

Pada zaman nabi juga tiada papan pertama dan papan kedua bursa saham. Tetapi, kalau ada bazar khas untuk jual arak, tiadalah juga kita tahu.

Yang kita pernah dengar, ketika turunnya ayat ketiga mengenai arak dan mengharamkannya, maka telah banjir seluruh Madinah dengan arak. Tong-tong arak telah dipunggah oleh para sahabat!

Masih ada sahabat nabi yang minum arak, mabuk ketika solat dan turun perintah dari Allah yang meminta mereka jangan minum arak ketika hampir-hampir mahu bersolat.

Namun, perlahan-lahan, sedikit demi sedikit arak dibasmi melalui didikan Al-Qur'an dengan berkat kesabaran baginda.

Yang penting, apakah ada fatwa yang mengharamkan orang-orang Islam daripada menjadi pemandu van, lori Carlsberg dan lain-lain syarikat arak ini? Bukankah hal ini juga sama dengan hal mengangkat arak untuk dijual di premis perniagaan dan hotel?

Nasib Khartika

Syahadan ada seorang wanita model sambilan bernama Khartika yang akan dihukum sebat dengan sebab meminum arak. Menurut laporan akhbar, beliau adalah wanita pertama yang akan dihukum dan tiada hukuman sebat bagi pesalah wanita dalam kes sivil.

Sebatan rotan itu pula dikatakan tiada ruas, tiada buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter. Sementara itu, ukur lilitnya tidak melebihi 0.0125 meter.

Berlemah-lembutlah ke atas wanita yang telah insaf ini. Khartika tidak melarikan diri dari hukuman dan negara sepatutnya bersikap lemah lembut terhadap wanita yang sudah bersedia mengakui kesalahan.

Nabi Ayub dikatakan telah bersumpah di atas nama Allah untuk menghukum isterinya dengan 100 sebatan.

Allah maha pengasih lagi maha penyayang. Dia telah meminta Ayub mengikat 100 bilah rumput kering yang diikat lalu hanya dipukul sekali sahaja untuk menyempurnakan sumpah tadi.

Belajar hudud dari Acheh

Di Acheh Darus Salam, kita difahamkan telah ada hukuman terbuka yang boleh ditonton di khalayak ramai sebagai suatu pengajaran. Acheh pun Serambi Mekah juga kalau tidak mahu berguru kepada Kelantan yang juga Serambi Mekah. Maklumlah, prejudislah katakan. Ahem!

Daripada kita mengendong ahli-ahli Parlimen ke Taiwan kerana kononnya mahu mempelajari sistem penanaman di negara itu, (atau, kata orang, BN sebenarnya melarikan MP BN kerana takut mereka melompat ke PR) adalah lebih baik kita mengirim ahli-ahli Parlimen ke Acheh untuk melihat cara bagaimana hukuman syariah itu dilaksanakan di Acheh.

Model sambilan itu telah akur kesalahannya dan kita semua mestilah menutup lidah kita daripada berterusan menghina wanita tersebut. Agama kita memuliakan kaum wanita.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis, seorang pelacur telah masuk syurga dengan sebab dia mengutamakan seekor anjing yang kehausan. Sepatunya ditanggalkan lalu dia mencedok air lalu menyudu anjing guna menghilangkan dahaga haiwan itu.

Bermodalkan amalan itu, wanita pelacur itu masuk syurga. Dia mungkin orang susah atau dirinya telah diperalatkan untuk tujuan itu. Dia tidak boleh dipersalahkan.

Kita perlu menutup mulut selepas Khartika disebat dan tidak sesiapa pun yang boleh memandang hina ke atas orang yang telah insaf.

Sekalung tahniah dan penghargaan ke atas orang bawahan seperti Khartika yang bersedia, cekal, tabah, berani menerima hukuman untuk menyucikan jiwa mereka. Kita wajib gulung lidah kita daripada mencela mereka yang telah insaf ini.

Kita perlu buka semula gulungan lidah, kita patut membuka mulut dan jangan pernah berhenti bercakap, dan jangan kita sesekali terfikir untuk berhenti membuat spekulasi terhadap isu, kes kematian Beng Hock. Apatah lagi dengan kehadiran sepucuk surat misteri yang kununnya daripada orang-orang dalam SPRM itu.

Mereka inilah yang patut kita hinakan kerana masih enggan mengaku kesilapan, masih berdolak-dalik, enggan menyerahkan DNA dan kalau mahu serahkan DNA pun masih ragu-ragu, tidak telus membuat pengakuan dan masih mencari ruang ikhtiar untuk melarikan diri daripada sebarang siasatan.

Yang wajib kita hinakan sampai ke tahap pariah ialah si dia yang telah menggoncang tiang seri kerajaan PR Perak dan kini mahu meretakkan rumah baru PR di Selangor.

Kalau ada ungkapan yang jauh lebih rendah daripada kalimat pariah, maka kalimat itulah yang sesuai ditakhtakan dan dinobatkan ke atas si dia yang menetaskan telur anai-anai ke dalam tiang seri kerajaan negeri Kedah mutakhir ini.

Tahniah Khartika dan jangan pernah menyerah kalah kepada keadaan hidup. Yang patut kita pariahkan ialah si dia, yang mewarisi legasi Mahathir yang mana si dia ini juga yang telah meluluskan lesen penjualan arak. Jika tiada arak, maka tiadalah peminum arak.

Akhir sekali kita mahu bertanya, kalau peminum arak dihukum sebat, maka si dia yang meluluskan lesen arak itu, mahu diapa-apakan pula agaknya? Takkanlah kita nak tunggu hukuman dalam pilihan raya umum ke-13 saja kot?

9:20 a.m, 3 Ramadhan
Sekolah pemikiran Kg Baru

Sumber: Harakahdaily

Wednesday 19 August 2009

Santuni Gelandangan Ibukota - Inilah Dakwah Islam

Kuala Lumpur, 18 Ogos : Sudah menjadi 'buah mulut' di kalangan mereka ini - si pengemis, si fakir, yang tidak berumah, penagih dadah, pondan, pelacur dan kanak-kanak 'lorong gelap' bahawa bangunan itu menjanjikan 'syurga' setiap hari Jumaat.

Selang 15 minit sebelum jarum jam pukul 6.00 petang, pintu kaca Pejabat Agung PAS mula dirapati dan dikerumuni mereka.

Mata masing-masing merenung tajam bungkusan-bungkusan plastik berlogo 'Hijau Putih' yang tersusun kemas di atas meja. Sudah tidak sabar rasanya, untuk mencapai satu, getus hati-hati yang 'geram'.

Mereka itu, golongan gelandangan yang memenuhi pekarangan bangunan PAS dengan satu tujuan - mendapatkan makanan percuma buat pengalas perut pada hari itu.

Baik Cina, Melayu, India dan pelbagai kulit warna, di sinilah lokasi mereka bertemu setiap penghulu hari itu. Ada yang sudah kenal antara satu sama lain - bersembang-sembang sambil bergurau,ada yang duduk sendiri-sendiri menunggu waktu tiba, ada yang mengusap-usap peluh di dahi anak yang dikendong dan ada yang teragak-agak malu untuk menghampiri bangunan itu.

Dengan nasi berlaukkan ayam masak kurma serta sayuran sebagai juadah, sudah cukup menceriakan mereka pada hari itu. Adakalanya menunya juga bertukar, ada masa bungkusan nasi itu diletakkan ikan goreng, telur rebus ataupun ikan masin. Biar apa pun sajiannya, mereka tidak ambil peduli. Yang penting perut hari itu telah diisi.

Dan inilah secebis kepuasan PAS dan para petugasnya, ketika melihat mereka begitu beselera sekali menjamu di kaki lima dan tepi tangga bangunan PAS sebaik sahaja mendapat makanan percuma itu. Image

Demikian luahan kegembiraan penyelaras makanan percuma Syaripuddin Mat Yatim, petugas Unit Amal dan beberapa kakitangan pejabat PAS kepada krew Harakahdaily kira-kira 5.30 petang, Jumaat lalu, sewaktu sedang sibuk membungkus dan menyusun juadah penuh nikmat itu.

Kerja-kerja amal dan sumbangan kecil ini, secara tidak langsung telah memancarkan nama PAS di pelusuk ibu kota dan ianya amat besar ertinya kepada golongan gelandangan ini.

Ini diakui sendiri, Mohd Rashid Othman 51, yang sudah dua tahun secara 'tetap', datang ke pejabat PAS ini, untuk mengambil makanan percuma. Dia yang yang tinggal di Setapak merasa bersyukur dengan sumbangan itu, yang sedikit sebanyak meringankan beban sesuap nasi, bagi dirinya yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Manakala seorang 'mak nyah',dikenali sebagai Ameera, 26 mendapat tahu agihan ini melalui rakan-rakannya,dan berjanji akan datang setiap Jumaat untuk mengambil peluang percuma itu.

"Insya-Allah saya akan datang sini seminggu sekali. Benda yang baik ini elok diteruskan dan bantu mereka yang perlukan seperti saya," katanya tersenyum simpul ketika disoal krew Harakahdaily.

Ya memang benar, selama dua tahun, semenjak 6 Julai 2007, PAS tidak pernah gagal dan culas pada setiap hari Jumaat, menyediakan makanan percuma kepada mereka yang dhaif ini dan secara purata, sejumlah lebih 200 bungkusan disajikan, namun adakala ianya tidak mencukupi.

Nurulhuda Muslim 30, sambil mendukung anaknya berusia dua tahun lebih, menyambut baik usaha yang dilakukan terutama untuk penagih dadah yang memerlukan bantuan makanan seperti dirinya.

"Baguslah... ada makan macam ini. Saya menagih dadah sudah 8 tahun dan tak kerja. Jadi hari ini dapatlah saya dan anak makan. Esok, akan cari tempat lain yang beri makanan percuma," katanya yang menagih dadah jenis 'Ice' dan enggan bergambar kerana khuatir 'diketahui' atau 'dikenali' keluarganya yang ada di Sabah.

Rupanya, Nurulhuda sudah 'arif', mencari makanan percuma yang diedarkan oleh persatuan dan kumpulan agama tertentu pada hari dan lokasi yang telah ditetapkan.

"Walaupun bukan kumpulan agama Islam yang beri makanan, tapi saya rasa makanan dibuat itu halal," katanya penuh yakin dan terus beredar segera ke pintu kaca Pejabat PAS untuk menunggu giliran.

Selain PAS, seperti yang diakui Nurulhuda, terdapat dua lagi lokasi makanan percuma di ibu kota yang turut mendapat perhatian, iaitu berhampiran sebuah gereja di Muzium Telekom pada hari Ahad manakala satu lagi di bangunan Baitulmal Wilayah Persekutuan di Kampung Baru pada hari Rabu.

Ini tidak termasuk kumpulan dan persatuan tertentu, yang mengagihkan makanan percuma secara 'mobile' atau bergerak, iaitu singgah di mana-mana lokasi,di mana golongan gelandangan ini bersidai ataupun melepaskan lelah.

Tahun lalu, aktiviti edar juadah percuma ini telah 'dipanjangkan' oleh Lajnah Kebajikan PAS Pusat yang diketuai oleh Ahli Parlimen Titiwangsa Dr. Lo' Lo� Hj Ghazali dengan mendekati dan beramah mesra dengan penghuni-penghuni 'lorong gelap' di sekitar Lorong Hj Taib, berhampiran bangunan PAS ini. Image

Sungguhpun terkejut, namun penghuni-penghuni gembira di samping mesra dan melayan kehadiran rombongan para pimpinan PAS yang turut turun padang, malah ada yang 'membenarkan' naik ke flat tempat tinggal mereka, untuk bertemu rakan-rakan yang lain.

Hari ini, kelibat para pemimpin PAS tidak kelihatan seperti lazimnya, kerana kepadatan jadual tugas di tempat masing-masing, dan tanggungjawab mengagihkan ini dipikul Syaripuddin yang lebih mesra di panggil 'Abang Chem'.

Petang itu hujan begitu lebat, dan hanya sekitar 100 orang memenuhi ruang depan pejabat parti itu di mana pintu 'kaunter' makanan percuma akan dibuka tepat jam 6.00 petang. Tukang agih memberi sedikit taklimat ringkas kepada mereka agar, mengikut peraturan, kesopanan dan adab ketika mengambil makanan percuma itu.

"Kalau tak hujan, 5.30 petang dah penuh kawasan depan ni...ramai. Malah ada yang datang dua tiga 'round' untuk ambil makanan," katanya yang sudah 'masak' dengan aneka ragam mereka yang berpusu-pusu di sini.

Ditanya tentang maklum balas yang diterima ataupun 'keuntungan' yang didapati sejak dua tahun program edar makan percuma yang diilhamkan Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli dan seorang penyokong parti itu, kata Abang Chem itu urusan tuhan yang menentukan.

"Setakat ini, tidak ada apa-apa. Kita beri, dengan niat ikhlas dan nak bantu. Selebihnya, dari sudut berubah atau gerak hati, Allah lah yang uruskan," katanya.

Bagi Syaripuddin adalah lebih baik, selain PAS, masyarakat dan golongan yang berada dapat turut serta dalam menyumbang dana untuk menjayakan dan melancarkan aktiviti yang dilaksanakan secara konsiten itu, di samping memperbanyakkan kuatiti makanan percuma ini. Image

Sedang, ditemubual Harakahdaily, dua wanita berusia sekitar 40 an' bertemu Syariffudin meminta jasa baik pihak PAS untuk datang ke rumahnya - flat berhampiran bangunan PAS itu, bagi meraikan majlis khatan anak mereka.

"Azamin, nampaknya inilah 'keuntungan' yang kita dapat buat pertama kalinya, kerana mereka dah mula kenal kita. Mereka minta bacakan doa di kenduri anaknya. Ini satu dakwah dan kejayaan," katanya dengan raut gembira dan berharap Harakahdaily juga turut serta di majlis itu.

Ketika Harakahdaily meninggalkan bangunan PAS itu kira-kira jam 6.30 petang, hati tersentuh, melihat kelibat beberapa orang sedang menjamu - nasi bungkus percuma PAS, dengan wajah ceria terpancar dan penuh semangat. Dan gelagat aksi Nurulhuda menyuap nasi ke mulut si kecil comel itu, lebih meruntun hati...

(Bagi yang berhajat dan ingin menyumbangkan dana bagi edaran makanan percuma setiap Jumaat ini, maklumat lanjut bolehlah dimajukan kepada Pejabat Agung PAS di talian 03-26925000

Sumber - HarakahDaily.Net

Monday 17 August 2009

Ahlan Ramadhan : Kenangan Ramadhan di Mesir

Salam Ramadhan 1430, semoga anda sudah bersedia menyambutnya dengan penuh girang dan semangat beribadah. Saja terkenang suasana puasa di Mesir, meriah dengan pesta ibadah, si faqir senang menyambutnya, si kaya pula bermurah hati.




Yang paling menarik ialah " Maidah Rahman" jamuan berbuka puasa untuk semua sepanjang bulan Ramadhan diadakan di merata-rata sebagai tanda syukur si kaya dan habuan kasih buat yang tak berada.

"Fanoos" macam Tanglong la, ia mula bergantungan sejak 16 Syaaban lagi bagi menghiasi jalan -jalan dan rumah-rumah, bercahaya berwarna-warni ceria menyambut ketibaan Ramadhan.

Hampir setiap tepian jalan, ada yang menjual pelbagai buahan kering seperti Tamar, Tin, Aprikot , Ain Jamal dan pelbagai lagi. Tak kurang sebelah petangnya pula dipenuhi gerai menjual air Tamarhindi, A'rqusus, Dum, Karab dan air Tebu pun ada.

Dicorong radio pula sering dikumandangkan pelbagai irama bertema Ramadhan, antaranya lagu yang saya letak dibawah ini, " Ahlan Ramadhan". Ia mengingatkan semula kenangan manis berpuasa di bumi Mesir.



"Semoga Ramadhan kali ini penuh makna"

Pejuang Kecil

12.57, 26 Syaaban 1430
Rumah Kedah, Hayyu 10, Kaherah Mesir

Wednesday 12 August 2009

Pasca Demo GMI : Amaran Rasullah Terhadap F.R.U

Oleh : Dato Tuan Ibrahim Tuan Man

Tragedi 1 Ogos merupakan pengulangan beberapa tragedi menyayat hati yang dapat dilihat di negara kita. Peristiwa tindakan ganas pihak polis, khususnya F RU bertindak ke atas himpunan aman rakyat, merupakan malapetaka kepimpinan BN yang masih tidak belajar dari kesilapan lampau. .

Tindakan rakus menyembur gas pemedih mata, semburan air kimia ke atas himpunan aman tersebut ternyata mengundang kemarahan masyarakat di negara ini dan badan-badan hak asasi antarabangsa

Himpunan yang berjalan secara aman dengan kawalan Unit Amal bagi memastikan tidak berlaku tindakan di luar batas yang dibenarkan oleh pihak penganjur. Himpunan hari itu tentulah akan berjalan dengan santai dan berakhir dengan baik seandainya mereka tidak disembur gas pemedih mata serta tindakan ganas pihak FRU. Sayang, himpunan aman ini akhirnya bertukar kelam kabut, bilamana sebilangan rakyat yang berhimpun dikejar, ditangkap, digari dan dijemur dalam trak berjam-jam lamanya. Tembakan gas pemedih mata dan semburan air kimia menyaksikan kanak-kanak, remaja dari pelbagai kaum terpaksa berlindung di mana sahaja. Mungkin bagi pihak FRU dan polis, tindakan ini adalah lambang keegoan dan kemegahan. Megah kerana berjaya menghalang himpunan, berjaya memecahkan himpunan rakyat. Namun apakah ianya berakhir di situ sahaja?

Persoalannya, salahkah rakyat berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap akta yang zalim ini, setelah pelbagai cara dilakukan bagi menentangnya. Rakyat telah gunakan seluruh saluran lain. Bantahan dalam Dewan Negara dan Dewan Rakyat, surat, kenyataan, seminar, resolosi bengkel bahkan tandatangan rakyat telah dibuat. Apa lagi bagi rakyat untuk menentang akta yang zalim ini. Kezaliman tiada kompromi dalam Islam, Nabi tidak mengaku umat mereka yang menyokong kezaliman, sehingga Baginda memberi amaran:

“Sesiapa yang berjalan bersama orang yang zalim bagi membantunya, sedang ia mengetahui kezaliman orang tersebut, maka telah terkeluar ia dari Islam” - Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Baihaqi.

Kerana itu Imam Nawawi dalam syarahnya dalam juzuk 17, hal 190 sewaktu menghuraikan hadis :

Ada dua golongan dari ahli neraka, yang belum aku saksikan iaitu suatu kaum yang membawa cemeti seperti ekor sapi untuk memukul manusia, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka bertelanjang, yang menanggalkan tutup kepala, yang menarik kepada maksiat. Kepala (rambut) mereka diikat seperti bonggol unta. Mereka ini tidak akan memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya, sedangkan bauannya dapat dihidu dari jarak sekian-sekian”. -(Hadis Muslim)

Imam Nawawi menyatakan yang dimaksudkan dengan

golongan yang keluar rumah ditangannya ada cemeti, mengejar dan memukul manusia ialah polis ( FRU). Wallahu a'lam. Apakah itu sebenarnya dimaksudkan, namun mari kita meneliti sifat yang dinyatakan oleh Rasulullah dengan tidak menuduh sesiapa, kalau bukan FRU siapa lagi.

Lihat pula sebuah hadis yang juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah sabda Baginda:

“Hampir sahaja sekiranya kamu panjang umur, maka kamu akan melihat sekelompok orang yang pada tangan mereka ada cemeti (cota) yang diikat seumpama ekor sapi mereka berangkat keluar dari rumah dengan kemarahan Allah dan mereka kembali ke rumah mereka dalam kemurkaan Allah”.

Apakah hati kamu puas bilamana kamu berjaya memukul orang-orang tua, membelasah kanak-kanak, menangkap muslimat dan menyemburkan gas kepada para ulamak. Demi Allah kalaupun kezaliman ini tidak dibalas oleh Allah di dunia, kita pasti bertemu di akhirat.

Apa yang berlaku di hadapan mata kita menyaksikan bagaimana rakyat yang tidak berdosa diterajang, dipukul dengan cota, digari, diheret setelah mereka ditembak dengan gas pemedih mata hanya kerana berhimpun untuk membantah akta yang zalim ini. Tindakan ini tentunya akan mengundang kemarahan rakyat, namun sekalung tahniah diucapkan kerana rakyat kerana tidak membalas bantahan dengan kekerasan, tiada satu pun tingkap kedai pecah, tiada sebuah kereta pun yang diserang, tiada sebarang kerosakan harta awam. Inilah akhlak yang dipamir oleh rakyat.
Lalu demi membenarkan tindakan kejam meraka dicari pelbagai alasan luar, kononnya demonstrasi tersebut menyebabkan berlakunya kesesakan jalan yang teruk. Sebenarnya puluhan himpunan yang dianjurkan melibatkan berlaku kesesakan jalan raya. Kalau kerajaan boleh mengisytiharkan penutupan jalan semata-mata bagi memberi laluan kepada pelumba basikal, pelumba jalan kaki, pesta perayaan pelbagai agama, perarakan pesta hiburan, bahkan beberapa orang artis pernah membuat konsert di tengah Chow Kit Road, apa payah pula untuk memberi laluan sekadar dua jam kepada rakyat untuk berhimpun menyerahkan memorandum rakyat kepada Istana, kamudian mereka bersurai dengan aman. Menyaksikan tindakan ganas yang ditunjukkan ini, maka benarlah kata-kata A. Samad Said:

“Kalau kerajaan tidak melayan tuntutan rakyat di jalan raya, kita mesti terjemahkannya dalam pilihanraya”.

Sumber: tuanibrahim. blogspot. com

22 safar 1430

 
Pejuang Kecil © 2007 Template feito por Templates para Você