Followers

Sunday, 22 July 2012

PROGRAM “ IHYA’ RAMADHAN KRISK 1433H ”



AHAD, 22 Julai 2012M / 2 Ramadhan 1433H

Program “ Ihya’ Ramadhan KRISK 1433H”  ini mengambil kesempatan pada Ramadhan kali ini sebagai waktu sesuai dalam menjalankan aktiviti pembangunan syakhsiah remaja melalui program yang pelbagai  seperti tadarus Al Quran, sebaran “ Risalah Salam Ramadhan”, qiamullail dan ifthor jamaie, sumbangan bingkisan Ramadhan dan lain-lain lagi yang boleh membimbing remaja menjalani Ramadhan kali ini dengan cara yang betul dan tersusun.

Program tahunan ini adalah anjuran Kelab Remaja Islam Kedah (KRISK), sebagai usaha yang terancang untuk mendekati remaja di seluruh negeri Kedah demi menyahut seruan Kerajaan Negeri Kedah yang amat mengambil berat soal pembangunan insan dalam agenda pentadbirannya.

Program  ini melibatkan para remaja berumur antara 13 hingga 21 tahun di seluruh negeri Kedah dengan misi mendekati dan mendidik jiwa-jiwa remaja agar mempraktikkan Islam secara syumul dan  mencari keredhaan Allah SWT sempena Ramadhan kali ini.

Objektif utama pelaksanaan program ini ialah :

1.Menyeru dan menjalankan kempen kepada seluruh remaja Islam di negeri Kedah untuk menghayati Ramadhan sebagai bulan ibadah dan Al Quran.
2.Mengimarahkan Ramadhan dengan aktiviti-aktiviti keremajaan yang menepati Islam.
3.Memperkasakan ukhuwwah di kalangan remaja Islam di negeri Kedah.
4.Menyemarakkan pewaris kepimpinan masa hadapan yang menghayati Islam sebagai satu cara hidup.
5.Memberi sumbangan kepada remaja yang memerlukan.

Program dan kempen yang bermula pada 1 Ramadhan 1433 bersamaan 21 Julai 2012 sehingga  3 Syawal bersamaan 21 Ogos akan datang meliputi beberapa kaedah perlaksanaan utama iaitu melalui:

a)Capaian facebook  (facebook.com/kriskedah)
Sejajar dengan perkembangan teknologi media sosial kini, ‘ facebook.com/kriskedah ’ mensasarkan 1000 penyertaan remaja menjelang 3 Syawal akan dating.  KRISK berkomunikasi secara langsung bersama remaja melalui pesanan ringkas harian, sebaran poster, wallpaper, risalah dan gambar yang akan dimasukkan secara berkala melalui facebook.
b) Program tadarus Al Quran dan Tahlil sepanjang Ramadhan.

c) Poster yang dapat menarik perhatian remaja diletakkan di semua masjid  dan sekolah, disamping ditampal di tempat-tempat terpilih.

d)Banner yang digantung di beberapa lokasi terpilih.

e) Program Qiam Ramadhan dan Ifthor Jamaie.

f)Program edaran risalah “ Salam Ramadhan”.

g)Penyampaian sumbangan “ Bingkisan Ramadhan KRISK” dan “Duit Raya” untuk remaja yang memerlukan.

h)Pertandingan “Wallpaper Ramadhan 1433H” bertemakan (KRISK mengimarahkan Ramadhan 1433H). Pertandingan ini diwarwarkan melalui saluran facebook untuk menarik penyertaan dari remaja seluruh negeri Kedah. Pemenang akan menerima hamper dan saguhati RM 50.

Melalui program ini pihak penganjur berharap dapat meningkatkan penghayatan dan kefahaman golongan remaja terhadap Ramadhan yang penuh barakah ini. Usaha menjayakan program ini amat memerlukan kerjasama dari pihak ibu bapa, guru, dan masyarakat di sekeliling yang memberikan perhatian dengan mempamerkan sokongan kepada anak-anak remaja dalam mengimarahkan Ramadhan 1433 H.
Kami amat mengalukan sumbangan anda dalam membantu kami melaksanakan setiap program Kelab Remaja Islam Kedah (KRISK) ini melalui visi  “Membina Pemimpin Masa Hadapan Kita” dengan menyumbang ke akaun Bank Islam : 02011020415967. Sebarang sumbangan sila maklumkan atau kirim pesangan ringkas (SMS) ke talian 012 2655241 @ krisk_11@yahoo.com.

Semoga semua pihak yang terlibat membantu, menyumbang dan menjayakan program ini diganjari pahala berlipat ganda dan mendapat keberkatan dari Allah swt.

Ahmad Najhie bin Hayazi

Penasihat,
Kelab Remaja Islam Kedah (KRISK)
krisk_11@yahoo.com

0 comments:

22 safar 1430

 
Pejuang Kecil © 2007 Template feito por Templates para Você