Followers

Thursday, 30 October 2008

Radix Fried Chicken (RFC)

Radix Fried Chicken (RFC) alternatif baru di Kedah.

Alhamdulillah akhirnya dah ada alternatif dari ummat Islam sendiri yang mengusahakan pusat makanan seumpama KFC tapi dimiliki sepenuhnya oleh ummat Islam, bumiputera, dan tahap kebersihan dan halal pun amat meyakinkan.

Atas usaha syarikat Herba Perubatan Al Wahida (HPA) Satu-satunya syarikat bumiputera muslim yang mempunyai kilang bertaraf ‘GMP’ sebuah pusat makanan alternatif baru telah berjaya dibangunkan dan berjaya menjadi tarikan baru di Sungai Petani, Kedah. Lokasinya berhampiran dengan pasaraya besar Tesco.

Apa yang menarik ialah sumber bekalan ayamnya diterima daripada HPA farm yang telah berusaha berhempas pulas menghasilkan ayam yang halal dipasaran.Bermula daripada proses penyediaan makanan ayam yang halal,ia bebas dari penggunaan antibiotik dan penggunaan beta agonist(enzim penggemuk dari babi). Begitu juga dengan penyembelihan yang dilakukan menurut kehendak Islam. Semuanya dari bermula baik dan halal sampailah kepada proses menyediakan makanan yang siap dimakan.

RFC juga menggunakan radix cola sendiri sebagai alternatif kepada coca-cola dan rempah ratus yang digunakan sebagai adunan ayam RFC juga diproses dengan adunan terpilih dan tersendiri.Chili sos,tomato sos dan Thai Sos juga dihasilkan di kilang HPA yang terletak di Perlis.

Dengan moto "FRESH ORGANIC HALAL" RFC bergerak maju seiring dengan perkembangan industri pemakanan halal.Diharapkan ia bakal membuka minda dan peluang baru buat ekonomi ummat Islam.

Waktu Perniagaan RFC bermula dari Jam 10.30 Pagi Hingga 11.00 Malam (Setiap Hari) di alamat Lot 95-97 Jalan Lagenda 1, Legenda Height, Sungai Petani,Kedah Darul Aman bersebelahan Maybank Legenda Height.

Menjelang tahun 2010 RFC berhasrat mempunyai 20 rangkaiannya diseluruh malaysia.InsyaAllah.

Berikut ialah reaksi pelanggan dan pemerhati terhadap RFC yang dipetik dari pelbagai sumber media:

"Tahniah saya ucapkan kepada pihak HPA kerana berjaya memartabatkan Islam dengan pembangunan produk-produk yg berorientasikan Islam. sesungguhnya ia membuka mata umat Islam untuk sama-sama mencari keberkatan dalam soal kehidupan, Syabas".

"Radix fc ni dekat dgn opis saya namun macam dok kata la...tak dpt masuk pasai baris mcm keretapi ntah bila nak buleh rasa...kekawan yang dah makan semua kata ayam sedap cuma side dish kureng sket ...tapi still acceptable....kita kena sokong ni....ini perniagaan orang melayu yang sangat meletop di SP".

"Ramai nya orang, kalah kat Idaman Suri...."

"Alhamdulillah org kita maju setapak lagi
Nak pi SP jauh sgt, tunggu radix lebarkan sayap ke KL ni
Bakal pesaing hebat KFC & yg sewaktu dgnnya".

"Alhamdulillah,. Dah ada alternatif lain bagi penggemar-penggemar fast food, especially bagi budak-budak kecik. Makanan akan jadik darah daging, so lepas ni, kalo budak-budak kecik merengek nak makan ayam goreng, boleh la gi beli kat RFC, halalan thoiyiban,.. confirm InsyaAllah".

"ANDA TIDAK TERUJA BILAMANA DIKATAKAN AYAM DIHASILKAN DARI LADANG SYARIKAT INI SENDIRI DAN DIBERI MINUM AIR YASIN. AYAM TIDAK DISUNTIK DENGAN HORMONE. PRODUK HALALAN THOIYIBAN".

Selamat Maju Jaya Buat RFC

Akhukum
Pejuang Kecil







Friday, 24 October 2008

Alhamdulillah Hujan Dah Turun Di Bumi Kaherah

Alhamdulillah Syukur kepada Allah , Akhirnya manik-manik hujan mula turun membasahi bumi Kaherah. Turun pada hari Jumaat 24 Syawal 1429 Hijri bersamaan 24 Oktober 2008.


langit Hayyul A'syir redup dek awan berat membawa hujan rahmat dan kasih sayang Allah. Mula merintik hampir usai khutbah jumaat, menyirami para makmum yang khusyuk menghayati khutba di kawasan lapang tepian masjid berdekatan penempatan pelajar-pelajar Malaysia di Kaherah.

"Kalau di Mesir hujan turun maknanya sudah rasmi masuk musim sejuk, suhu akan turun mendadak selepas hujan, dalam masa sehari lebih kurang dah tak tertahan rasa apabila angin sejuk menyapa kulit."

Sebelum bulan Ramadhan yang lalu kerajaan Mesir telah mengisytiharkan perubahan kiraan waktu jam. Itu pun tanda awal melangkah ke musim Syita' (sejuk) . Cuaca mula tak menentu sekejap panas sekejap sejuk tapi jarang-jarang terasa . Masing-masing menunggu dengan sabar bila agaknya hujan akan mula turun. Tak sabar rasanya.

"Tup-tup hari ni hujan pun turun, hati dah mula berbunga seronok sejak awan mendung berarak datang,syahdu rasanya tatkala rintik pertama hujan mengenai kepala".

Tanpa sedar lidah turut memuji syukur kepada Allah. Sebabnya mungkin dah lama tak lihat dan rasai aroma bau hujan. Kalau di Malaysia hujan terlalu sinonim dengan bumi hijaunya. Tetapi kat bumi padang pasir ni hujan di tunggu-tunggu kehadirannya. Teringat suasana zaman nabi ketika hujan.

Hujan Zaman Nabi Sallallahu A'laihi Wasallam.

Pernah suatu ketika Rasulullah berdoa pohon Allah turunkan hujan , bumi kering kontang dahagakan siraman hujan, tanaman mati dek panas mentari dan gersang tanahnya. Kisah ini diriwayatkan oleh Saidina Anas bin Malik.

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa pernah berlaku musim kemarau pada zaman Rasulullah. Ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar pada hari Jumaat, seorang Arab Badwi bangun, lalu bertanya: "Wahai Rasulullah, segala harta benda telah musnah. Seluruh ahli keluarga juga kelaparan. Berdoalah kepada Allah untuk kami agar Allah turunkan hujan..."

Baginda lalu mengangkat kedua belah tangan. Pada waktu itu tidak ternampak tompokan-tompokan awan. Tiba-tiba awan seumpana buih berarak. Baginda masih tidak turun dari mimbar hinggalah kami melihat hujan mula menitis membasahi janggutnya. Seharian itu kami ditimpa hujan. Begitu juga keesokannya dan hari selepasnya sehingga tiba hari Jumaat seterusnya. Pada hari itu, Arab Badwi tempoh hari bangun lagi dan berkata: "Semua bangunan telah runtuh, harta benda juga telah ditenggelami air. Oleh itu, berdoalah kepada Allah untuk kami, wahai Rasulullah SAW."

Baginda lalu menadah tangan ke langit, lalu berdoa, maksudnya, "Ya Allah, berilah manfaat kepada kami, dan janganlah jadikannya musibah kepada kami." (Hadis riwayat Al Bukhari)

Hakikat Hujan

Hujan adalah tanda kasih sayang Allah sebenarnya.Kita selalu mendengar manusia sering menyalah, mencemu dan mengeluh apabila hujan turun. Walaupun hjan yang selalu turun tu bukan lah sampai ke tahab bala' , hanya kadang-kadang banjir.

" Ala! hujan turun pulak", "aduh! habis basah baju aku", " kenapa lah kerap sangat hujan ni", "asyik hujan memanjang nak kerja macam mana ni", "meluat betul aku, turun lagi hujan".
"
Inilah kata-kata mencaci dan mencemuh hujan, seolah-olah hujan turun ke bumi ikut suka tanpa melihat siapakah yang berkuasa dan berkehendak menurunkan rahmat Allah itu."

Namun ada juga kata-kata baik macam ni.

"Alhamdulillah hujan turun,walupun tak boleh menoreh tapi ada hikmahnya". Mungkin beginilah cakap-cakap pakcik tua penoreh getah di Pahang tetapi sentisa bersyukur walupun hujan menghalang kehendaknya turun menoreh mencari sesuap nasi.

"Syukur! Hujan tughun jugak nooo! buleh pakat tughun pi bendang dah kot cangkui petak(sawah)", mungkin inilah kalam Pak Ngah, pesawah padi di negeri Jelapang Padi nun jauh di utara tanah air.

Nilailah sendiri mana satu kata-kata anda sewaktu hujan mula membasahi bumi.

Allah berfirman tentang hujan

Hujan di sisi Allah hakikatnya adalah rahmat namun jarang sekali Allah turunkan sebagai tanda murkanya.
Ada hujan rahmat dan ada juga hujan azab bagi manusia yang bongkak melawan perintahNya.

Allah mengisahkan hujan rahmat dan kasih sayang kepada hamba-hambaNya melaui firmanNya:

Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya ; hingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran. Al A'raff ayat 57

Allah juga memperingatkan kepada manusia yang ingkar dengan kisah hujan azab dengan firmanya :

Maka tatkala mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, berkatalah mereka: "Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami". bahkan itulah azab yang kamu minta supaya datang dengan segera angin yang mengandung azab yang pedih. Al Ahqaf ayat 24.

Solat istisqa' (minta hujan)

Hadis ini dan banyak lagi hadis yang lain menjadi dalil bahawa sembahyang memohon hujan disunatkan dalam Islam dan digalakkan mengerjakannya apabila kita mengalami musim kemarau.

Dari Abdullah bin Zaid Al Ansari r.a katanya Rasulullah SAW telah keluar menuju ke tempat sembahyang (Musholla) untuk mengerjakan sembahyang Istisqa’ (sembahyang minta hujan) dan bahawa baginda apabila hendak berdoa (dalam khutbahnya sesudah sembahyang), baginda mengadap kiblat dan mengalihkan kain selendangnya (yang atas ke bawah). (Hadis sahih-riwayat Muslim)

Berdoalah ketika hujan, jangan mencemuh dan mengeluh

Kita dianjurkan untuk berdoa kepada Allah ketika hujan turun kerana ia sebahagian dari waktu yang mustajab. Antaranya:

Nabi bersabda yang bermaksud:

Ya Allah turunkanlah hujan yang bermanfaat (Hadis sahih riwayat Al Bukhari) .

Di dalam kitab al-Azkar, Imam an-Nawawi merekodkan kenyataan Imam Asy Syafie yang meriwayatkan sebuah hadith mursal di dalam kitab Al-Umm dari Nabi SAW :

“Tuntutlah doa yang mustajab ketika tentera sedang bertarung, ketika iqamat solat dilaungkan dan ketika hujan turun”.

Nabi bersabda lagi yang membawa maksud :

Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan untuk merosakkan kami, Ya Allah, turunkanlah hujan di dataran tinggi, beberapa anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan pepohon. (Hadis shahih, riwayat Al Bukhari dan Muslim ).

Pengajarannya beradablah dengan Allah dan bersyukurlah dengan nikmat hujan.

2.30 petang, insya Allah hujan akan turun lagi.
( Kedengaran bunyi guruh dan awan mendung berarak lagi, lebih pekat warnanya daripada mendung sebelum solat Jumaat )

Hati mula berdoa,
" Ya Jadikanlah hujan ini bermanfaat untuk kami dan jauhkanlah kami dari mara bahayanya"

Sekian, cerita hujan dari bumi Nabi Musa A'laihis salam.


Akhukum
Pejuang Kecil

Monday, 20 October 2008

MEMPERINGATI PERISTIWA BERDARAH (TAK BAI)


25 Oktober 2008 mendatang, genaplah empat tahun peristiwa pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Tabal (Tak Bai) oleh tentera penjajah Thailand.Peristiwa berdarah Tak Bai yang berlaku pada 25 Oktober 2004 merupakan peristiwa di mana 78 orang penduduk Islam Pattani syahid akibat kerakusan tentera penjajah Thailand pada bulan Ramadhan yang mulia. Bagaimanapun kerajaan penjajah Thailand kemudiannya memutuskan bahawa sesiapa pun tidak bersalah dalam kejadian tersebut.

Peristiwa menyayat hati ini telah didahului enam bulan sebelumnya dengan satu peristiwa sedih iaitu pembunuhan kejam beramai-ramai di Masjid Kerisek. Kedua-kedua peristiwa ini ada persamaannya , iaitu tentera Thai bertindak dengan niat untuk membunuh semua ummat Islam Melayu yang hadir di lokasi peristiwa tersebut. Strategi yang terancang ini adalah sebahagian dari kempen "Pembersihan Etnik" penjajahan Thailand terhadap ummat Melayu Islam Pattani.

Peristiwa kekejaman Kerajaan Penjajah Thailand terhadap ummat Islam Pattani ini adalah setara dengan tindakan zalim Serbia terhadap bangsa Bosnia dan Zionis Yahudi terhadap rakyat Palestin. Penindasan dan kekejaman ini bukan sahaja berlaku di Kerisek dan Tak Bai bahkan berlaku setiap hari tetapi Akhbar-akhbar di Thailand dan Malaysia dilarang membuat liputan luas mengenainya. Hanya berita-berita kematian orang Siam sahaja yang menjadi fokus supaya masyarakat dunia menghukum Islam yang bertanggungjawab. Bermula dari peristiwa-peristiwa sedih inilah tercetus kembali kebangkitan ummat Islam Pattani secara besar-besaran.

Peristiwa ini jugalah yang mencetuskan sumpah perjuangan oleh mujahidin-mujahidin yang berjuang. Mereka berikrar akan meneruskan perjuangan sehingga bumi Pattani dibebas kan sepenuhnya dari sebarang bentuk penjajahan. Peristiwa yang menyedihkan ini bukan sahaja diratapi oleh umat Islam Pattani bahkan oleh sesiapa sahaja yang mengaku Melayu dan ummat Islam di dunia ini. Peristiwa hitam 25 Oktober ini perlu diingati oleh seluruh ummat Islam kerana perjuangan pembebasan Pattani adalah perjuangan ummat Islam seluruhnya. Isu Pattani mesti menjadi isu yang wajib diperjuangkan oleh ummat Islam.

Walau pun mereka cuba menyembunyikan angka sebenar mangsa pembunuhan di Tak Bai tetapi amat diyakini bahawa jumlah mangsa kematian melebihi dari angka yang dilaporkan. Antaranya mangsa yang mati ketika cuba melarikan diri dalam sungai. Mereka ditembak seperti ikan. Begitu juga liang besar pembunuhan beramai-ramai turut dijumpai di Telubok Pattani, di tanah perkuburan cina di Jala (Yala) dan juga perkuburan Cina di Naratiwat. Jumlah kematian di ketiga-tiga kubur ini dijangka melebihi 500 orang .

Peristiwa ini bukanlah satu peristiwa yang luar biasa di bumi Pattani. Bahkan ianya adalah intisari daripada tindakan-tindakan yang telah dilakukan oleh penjajah Thai sejak dari 1786 lagi. Mereka membunuh ummat Islam Pattani seperti binatang buruan dan mereka sesekali tidak pernah menganggap ummat Melayu Islam Pattani sebagai manusia.

Pattani adalah sebahagian daripada ‘Tanah Melayu’. Bagaimanapun, pada pertengahan abad ke-19 Patani telah menjadi mangsa dasar imperialisasi kerajaan Siam yang disokong secara sulit oleh kuasa barat. Dalam tahun 1826, penaklukan Siam ke atas Pattani telah diiktiraf oleh British. Dalam usahanya untuk mengukuhkan cengkamannya ke atas Pattani, pada tahun 1902 kerajaan Siam melaksanakan dasar Thesaphiban membawa kepada penghapusan sistem pemerintahan kesultanan Melayu Pattani. Melalui Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, Pattani telah diisytiharkan oleh British sebagai jajahan Siam tanpa kerelaan ummat Islam Melayu Pattani.

Semenjak penggulingan Kesultanan Islam Melayu Pattani, ummat Islam Melayu Pattani berada dalam keadaan tertekan dan dhaif. Ummat Islam Melayu menjadi mangsa pemerintahan siam yang zalim . Justeru, tidaklah hairan seringkali berlaku kebangkitan di Pattani. Pada tahun 1923, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, bekas Raja Kerajaan Melayu Patani, dengan sokongan pejuang-pejuang dari Turki, telah mengepalai gerakan pembebasan. Kebangkitan anti Siam menjadi lebih hebat apabila kerajaan Pibul Songgram (1939-44) cuba mensiamkan ummat Islam Pattani melalui Dasar Rathaniyom.

Penglibatan Siam dalam Perang Dunia Kedua bersekutu dengan Jepun telah memberikan peluang baru kepada ummat Islam Melayu Pattani untuk membebaskan Pattani daripada penjajahan Siam. Oleh itu Tengku Mahmood Mahyideen, Putera Raja bekas Raja Pattani, telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil alih Pattani dan wilayah sekitarnya serta digabungkan dengan Tanah Melayu.

Perancangan Tengku Mahmud itu berbetulan dengan rancangan Pejabat Tanah Jajahan British untuk mengkaji kedudukan Segenting Kra dari sudut kepentingan keselamatan Tanah Melayu selepas perang nanti. Peluang itu semakin cerah apabila Kuasa-Kuasa Berikat, dalam Perisytiharan San Francisco pada bulan bulan April 1945, menerima pakai prinsip hak menentu nasib sendiri sebagai usaha membebaskan tanah jajahan daripada belenggu penjajahan. Lantaran itu, tanggal 1 November 1945, sekumpulan pemimpin ummat Islam Melayu Pattani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal telah mengemukakan petisyen kepada Kerajaan British merayu supaya empat wilayah di Pattani dibebaskan daripada pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu.

Namun begitu, pendirian British terhadap Siam berubah apabila Peperangan Pasifik tamat. Keselamatan tanah jajahan dan kepentingan penjajahan British di wilayah Asia Tenggara menjadi faktor utama kerajaan British dalam penggubalan dasarnya terhadap Siam atau pun Pattani. Kerajaan British memerlukan kerjasama Siam bagi mendapatkan beras untuk keperluan jajahannya. British terpaksa menyesuaikan dasarnya terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Syarikat yang mahu mengekalkan wilayah Siam seperti dalam tahun 1941.

Tindakan penjajahan ini juga selaras dan bertepatan dengan perancangan Zionis Yahudi . Pattani menerima nasib yang sama dengan Palestin dari segi perancangan licik penjajah kuffar. Kemaraan Komunis di Asia Tenggara, khususnya di Tanah Melayu pada tahun 1948, menjadi faktor penting kepada British dalam menentukan polisi dan dasarnya. Kerajaan British menganggap Siam sebagai negara penampan terhadap ancaman Komunis dari China. Justeru, Kerajaan British ingin memastikan Siam terus stabil dan memihak kepada Barat dalam persaingan dengan blok Komunis. Kerajaan British memerlukan kerjasama Siam bagi menghadapi kemaraan Komunis di perbatasan Tanah Melayu. Justeru, Pattani adalah taruhannya.

Kebetulan pula kerajaan Siam telah memberi jaminan untuk melaksanakan pembaikan sistem pentadbiran dan sosio ekonomi di Pattani bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh ummat Islam Pattani. Sejak , isu pembebasan Pattani mula pudar malah jika dibangkitkan ia kononnya disifatkan bakal menjejaskan hubungan dengan Siam. Seusai Persidangan Senggora pada awal Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu atas tuntutan pihak Siam mula bertindak terhadap pemimpin-pemimpin pejuang pembebasan Pattani. Tengku Mahmood Mahyideen ditekan hebat manakala Haji Sulung dihukum penjara. Pergerakan politik Pattani semakin lemah dengan pembunuhan Tengku Mahmood Mahyideen dan Syahidnya Haji Sulung pada tahun 1954.

Sebelum Perang Dunia Kedua ummat Islam Melayu di Pattani melebihi 90 %, tetapi nisbah ini semakin berkurangan dengan pemindahan penduduk dari utara Thai dan pembunuhan beramai-ramai yang sering dilakukan oleh kerajaan Thailand di wilayah Pattani. Kerajaan Thailand juga memperalatkan pihak berkepentingan demi melagakan sesama ummat Islam Pattani. Mereka telah menggunakan berbagai helah bagi melemahkan ummat Islam Pattani. Antaranya mengeluarkan fatwa bahawa perjuangan ini tidak syarie kerana Pattani ini asalnya adalah hak milik kerajaan Thailand.

Walau bagaimana pun perjuangan ummat Islam Pattani sudah sampai kepada apa yang disebut oleh Al Quran sebagai "Hari bertemunya dua ketumbukan", iaitu perjuangan pada hari ini hanya berlaku antara dua pihak, iaitu ummat Islam dan kaum Kafir yang zalim. Sesiapa yang memilih bersubahat dengan penjajah Thailand maka merekalah yang mengkhianati ummat Islam dan cenderung kepada kerajaan Thailand yang Zalim . Justeru, mereka yang bersekongkol dengan penjajah Thailand diberi amaran supaya kembali ke paksi perjuangan yang sebenar. Jangan sesekali menista para pejuang dengan tuduhan tidak berperi kemanusiaan kapada bangsa sendiri.

Perjuangan kemerdekaan Pattani bangkit di atas percikan darah para syuhada. Ummat Islam lebih rela mati berjuang dari hidup sesaat lagi di atas bumi Pattani yang di jajah. Kami memohon kapada Allah swt. Terimalah pengorbanan untuk mendaulatkan kalimatmu di bumi ini.

Ya Allah seandainya Dikau matikan kami semuanya maka tiadalah lagi hamba-hamba yang ikhlas menyembahmu di bumi Pattani.

Akhukum
Pejuang Kecil

Saturday, 18 October 2008

Keikhlasan Tok guru Cerminkan Ketelusan Islam

Satu kenyataan menarik daripada Tok Guru Nik Abdul Aziz yang disasarkan Ikhlas buat kaum Cina baru-baru ini.

Kenyataan Tok Guru Nik Abdul Aziz bahawa orang Cina boleh jadi MB Kelantan sekiranya dia Islam, warak dan berpelajaran.

Kenyataan di atas jelas dan tiada niat terselindung.bahkan itulah sebenarnya sikap dan polisi Islam. Dalam perkara ini Tok Guru membuktikan bahawa beliau yang menjadi Mursyidul Am Pas bukan bercakap kosong tetapi ada benda yang telah dibuktikan. BuktinyaPAS memiliki ahli jawatankuasa peringkat pusat dari kaum Cina, Dato’ Anuar Tan dan beliau juga adalah exco Kerajaan Negeri Kelantan. Di Perak juga ada Yang Berhormat PAS dari kaum Cina iaitu Drs. Khalili Idham Lim Abdullah, Adun Titi Serong.

Keadaan ini bukan benda baru dalam PAS. PAS dari dahulu lagi berusaha mendekati rakyat bukan Islam untuk menyampaikan Keindahan dan keadilan Islam. Usaha secara giat bermula pada zaman Tuan Haji Yusuf Rawa, diperkasakan di zaman Al Marhum Ustaz Fadzil Noor sehinggalah berkembangnya kelab-kelab penyokong PAS dari pelbagai kaum di zaman Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Terkini Tok Guru Nik Abdul Aziz menegaskan sekali lagi hasrat murni Islam dan jaminan Islam dengan harapan suatu hari nanti golongan bukan Islam memahami bahawa Islam tidak pernah ada hasrat terselindung terhadap mana-mana penganut agama lain bahkan Islam ada dasar yang jelas terhadap masyarakat bukan Islam.

Faham Tok Guru itu jelas hingga Tok Guru Nik Abdul Aziz selalu berkata di mana-mana " Kita semua ini anak cucu adam dan hawa, tak kira cina, melayu, siam atau apa jua bangsa atas muka dunia ni".

Biar pun pelbagai telahan yang mengatakan ia hanya kenyataan politik dan mengandungi niat terselindung demi menarik sokongan kaum bukan Melayu kepada PAS, tetapi hakikatnya ia keluar dari seorang Menteri Besar yang terkenal bersih, ikhlas dan tiada kepentingan peribadi bahkan berautoriti dalam Islam. Semua ini membuatkan kenyataannya amat menarik untuk dinilai oleh setiap masyarakat pelbagai bangsa dan agama.

Hakikatnya luahan yang dibuat oleh tok guru bukanlah kenyataan politik , bukanlah sensasi peribadi, bukan juga "ada udang di sebalik batu" dan sesekali tidak berkongsi apa-apa niat selain menyatakan hasrat Islam dan itulah hakikat Islam sebenarnya.

Tok guru hanya menyampaikan apa yang telah ditetapkan oleh Allah dalam Kitabnya dan apa yang diarahkan oleh nabi. Beliau bukan pandai-pandai nak tawarkan sesuatu yang tidak kena dengan dasar Islam sebagai Addin yang syumul.

Islam agama yang jelas dasarnya dan polisinya terhadap hak, keperluan, dan kepentingan mana-mana makhluk yang bernyawa.Islam penuh tanggung jawab menyatakan hak, hatta bagi sebiji benih pepohon sekalipun ia perlu ditanam sebagai menunaikan haknya untuk menumbuh, Islam jelas menyatakan hak bagi binatang ialah tidak disakiti , dan yang paling penting Islam menjamin hak setiap perkara di dunia dengan sistemnya yang syumul.Ia bukan sahaja meliputi polisi,dasar dan undang-undang terhadap umat Islam semata-mata bahkan bahkan dasar dan polisi Islam adalah bersifat universal mencakupi semua bangsa dan agama.Ia jelas termaktub di dalam perlembagaan tertinggi ummat Islam iaitu Al Quran dan pimpinan hadis daripada utusan Allah Nabi Muhammad SAW.

Islam adalah hak semua manusia, Islam bukan milik mana -mana bangsa di dunia ini. Islam bukanlah alat mana-mana kelompok manusia menggunakannya demi mencapai hasrat yang bersifat kelompok atau kepentingan bangsa. Islam mengiktiraf semua bangsa dan Islam adalah milik semua tidak kira apa jua bangsanya.Sesungguhnya penilaian Islam terhadap manusia ialah tahap ketaqwaannya.

Seorang Cina muslim tidak ada apa-apa perbezaan berbanding India muslim atau Melayu muslim.Bahkan semua bangsa di dunia akan menjadi satu ummah dengan kepelbagaian yang menyatukan di bawah keadilan Islam.Dalam Soal ini juga Islam tegas menyatakan hak bagi rakyat yang bukan Islam dengan jaminan yang sama rata dengan hak ummat Islam. Tiada sebarang perbezaan hak dan penindasan agama dan diskriminasi warna kulit.

Antara hak rakyat bukan Islam

Hak beragama

Islam menjamin hak beragama dan kebebasan beragama bagi rakyat bukan Islam .Bahkan Saidina Umar Al Khattab sendiri semasa membuka kota Al Quds memberikan pilihan kepada penduduknya samada untuk memeluk Islam atau kekal dengan anutan lama. Mereka juga dibenarkan mewarisi dan mengamalkannya sesama mereka.

Hak jaminan keselamatan khusus.

Islam mewujudkan sistem jaminan khusus bagi setiap nyawa peribadi rakyat yang bukan Islam dengan pelaksaanaan kharaj. Iaitu sejumlah wang yang dikenakan bagi bagi setiap rakyat bukan Islam wajib disimpan dan ia adalah amanah kepada kerajaan Islam. Ia sama sekali tidak boleh disalurkan untuk mana-mana tujuan lain. Sekiranya kerajaan tidak mampu menjamin keselamatan rakyat bukan Islam maka wang tersebut perlu diserahkan kembali kepada pemiliknya.

Hak memilih undang-undang

Rakyat bukan Islam diberi hak untuk memilih samaada untuk mengamalkan undang-undang Islam,undang-undang yang termaktub dalam agama mereka atau mana-mana undang-undang pilihan mereka.

Hak berekonomi

Islam memiliki sistem ekonomi yang sejahtera dan adil.Islam mengamalkan dasar terbuka dan tiada monopoli dalam ekonomi. Tiada riba yang menyusahkan, tiada konsep jual beli yang mengelirukan, jaminan hak pennguna, hak pembeli, undang-undang dan peraturan berekonomi yang tetap bahkan sesuai untuk semua bangsa, agama dan status sosial. Sekiranya mana-mana golongan, bangsa ,individu atau sesiapa jua yang mematuhi peraturan sistem ekonomi yang ditetapkan Islam maka tiada apa-apa lagi untuk diragukan walaupun kejayaan dalam ekonomi dicapai oleh rakyat bukan Islam sekali pun. Sesiapa yang berusaha lebih dan mematuhi nilai-nilai dan peraturan berekonomi secara Islam maka Islam adalah jaminan buat mereka.

Hak bukan Islam sebagai pemimpin

Islam jelas dalam hak kepimpinan bagi rakyat yang bukan Islam. Namun dalam pendekatan pilitik semasa ada perkara yang perlu kepada pengawalan kepada asas majmuk dan kepelbagaian ragam manusia.Islam tidak sesekali meletakkan bangsa sebagai syarat kepimpinan. Sesiapa sahaja, apa jua bangsa ataupun peringkat rakyat yang beriman dan muslim berhak menjadi kepimpinan tertinggi dalam sesebuah negara Islam. Islam amat prihatin, adil dan telus dalam soal kepimpinan. Rakyat yang bukan Islam juga berhak mendapat hak kepimpinan tertentu dalam pentadbiran negara Islam.

Semoga Keikhlasan dan hasrat Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi cerminan keindahan dan kesyumulan Islam.


Sekian,

Akhukum
Pejuang Kecil

22 safar 1430

 
Pejuang Kecil © 2007 Template feito por Templates para Você