Followers

Saturday, 11 April 2009

KENALI UNGGAS, LANDAS, CAMAR DAN RAUDHAH



Membangun sebuah RAUDHAH
(sebuah perjalan Dakwah Sosial)

“Tiada beban batu digalas” ... “Menanggung biawak hidup” ...

Itulah seolah-olahnya makna senyuman yang tertempa diwajah mereka pada kerja yang dibuat ini walau tidak mengeluarkan suara. Sebenarnya ... kami juga berperasaan begitu.

Namun, berikan kami satu cara lain yang mampu kita perbuat bagi mengatasi kebejatan sosial yang makin mengganas. Sepertinya ombak Tsunami yang menghempas, begitulah terasanya fenomena kegawatan sosial dan budaya yang menimpa kita pada hari ini.

Sepuluh tahun yang dilalui bagi kami secara peribadi, dan mungkin lebih singkat atau lebih panjang lagi pada beberapa teman terdekat telah memberi satu pengajaran besar buat kami – bahawa barah ini makin parah dan pihak wewenang mahupun pelbagai pihak lain telah membiarkan penyakit sosial ini terus mekar seterusnya meruntuhkan masyarakat. Bahasa mudahnya ... masalah ini makin kronik, semakin teruk, seolah-olah sudah tiada jalan kembali.

Mata kami bulat apabila melihat kegawatan sosial ini dan mengklasifikasikan kebejatan ini pada 5 kategori utama samada ialah:

1) Penggunaan bahan berbahaya, ketagihan dan toksik – sepertinya koka, ganja, syabu, ice, cocktail, chasing the dragon, ubat batuk, gam mahupun arak;

2) Zina dan pergaulan bebas – termasuk seks bebas, pergaulan bebas, khalwat, mengandung tanpa nikah, pelacuran, bohsia, belen, pronographi, rogol, berpakaian mendedahkan, gay, lesbian, ladyman, sumbang mahram, liwat, dan sepertinya;

3) Subkultur dan budaya bebas – blackmetal, gothic, punk, rempit, skin head, hedonisma, parti seks, dan seangkatannya;

4) Jenayah dan Juvana – merompak, merogol, bunuh, bunuh diri, lari dari rumah, kongsi gelap, apache sereng, vandalism, keganasan dan sewaktu denganya serta

5) Kegawatan aqidah – murtad dan kesesatan aqidah.

Punca; Ini soalan yang berungkai-rungkai jawapannya. Mudahnya saya simpulkan, kita hidup dalam sistem yang rosak dan merosakkan.

Tidak perlu lagi sebenarnya untuk kita turun jauh dalam lorong-lorong hitam, apartmen kosong dan bawah jambatan untuk melihat fenomena ini. Ia ada di tempat kita beriadah, membeli belah, di rumah saudara dan jiran kita, di tepi jalan, di dalam kelas, di dalam handphone dan komputer anak kita mahupun di dalam rumah kita sendiri.

Sepuluh tahun dahulu, mencari kebejatan sosial sepertinya ghost buster mencari sang hantu. Hari ini, tiada hari yang kita tidak ditampilkan dengan pengajaran-pengajaran kesan dari kegawatan sosial ini. Seorang anak yang menendang emaknya untuk duit membeli syabu, seorang ibu yang terpaksa membuat laporan polis untuk kes rogol apabila anaknya seorang belen (istilah utara) @ bohsia (istilah klasik) terlajak memakai 6 teman lelaki dalam satu masa, seorang bayi yang dijual pada lelaki berlainan agama untuk duit RM3,000 untuk merasa lebih berharga kerterlanjuran yang dilakukannya bersama entah siapa, pemuda-pemuda yang kencing dan menginjak-nginjak al -Quran bagi memaknakan pengabdian mereka pada si Iblis, mahupun keiblisan seorang bapak yang menuntut kegadisan anaknya setiap kali anaknya mahu wang untuk sekolah, serta seorang anak gadis yang kehilangan punca setelah bertahun menjadi dagangan di belakang lorong berdekatan balai polis di Bukit Bintang.

Malangnya semua cerita ini bukan rekaan.

Allah tidak mengkehendaki dunia ini suram sebegini... kitalah yang sepatutnya mencorakkan wajah kelam kelabu dunia kepada warna hijau, biru dan pelangi yang sepatutnya bersinar.

Masyarakat yang hanyut dalam arus keduniaan – wahanisma.

Telah saya bicarakan bahawa kita hidup dalam sistem yang rosak. Cara hidup, budaya dan agama moden yang kita terima pakai adalah semata-mata untuk kecantikan, kegembiraan dan kepuasaan yang nampak dan sementara; kini dan sekarang.

Kita berkejaran untuk memiliki dunia dalam pelbagai bentuk keindahannya. Kemewahan kekayaan, lambakan wang ringgit, menjadi mimpi dan igauan siang dan malam kita. Kepuasan yang kita tuntut dengan cuba memiliki semua kemewahan; kereta, rumah, pakaian bergemerlapan, telefon tangan tercanggih, elektronik media (komputer riba, TV satelit) hingga pada perhiasan badan pada jam, tali pinggang, emas berlian dan sebagainya. Sang kaya terus hanyut dalam kegilaan kemewahan, dan sang papa juga berpenat lelah untuk berlagak dan berlakon untuk juga jadi kaya dan mewah. Sang papa kadangkala sanggup menjual harga pendidikan anak untuk membayar langganan TV satelit bulanan.

Kegilaan untuk terus memiliki semua yang ada di dunia memerlukan manusia diperdaya untuk merasa bahawa kemanisan madu dunia ini harus dihirup sepuas-puasnya. Alat-alat peperangan untuk memperdaya manusia untuk merasa dunia ini harus dimiliki seluruhnya dipersiapkan – maka lahirlah pelbagai bentuk iklan, lakonan, artis, fesyen, lagu, dan hiburan dan pelbagai bentuk kelekaan (hiburan) lagi yang terus menghanyutkan manusia dalam alam kegembiraan sementara yang melalaikan. Maka kelalaian dan lupa diri ini menyebabkan keinginan manusia bertambah untuk lebih seronok, lebih gila dan merasa tiada kepuasan yang memuaskan.

Ketika ini manusia melangkah masuk ke dunia yang diluar batasan ciptaan Allah iaitu agamanya; Deenul Islam yang menjamin manusia merasa cukup sekadarnya dengan nikmat dunia. Manusia tidak merasa cukup dengan dunia; lalu memilih untuk tergolong dalam kelompok manusia diluar batasan sosial dan memilih seks bebas/zina, dadah, arak, judi, jenayah dan kesesatan aqidah sebagai pilihan. Cinta pada dunia ini bukan hanya satu trend dan insiden sementara, namun telah tersebati dalam budaya masyarakat dan tidak salah sama sekali untuk ia disamakan sebagai satu agama baru dalam masyarakat moden hari ini. Masyarakat yang rosak dan merosakkan.

Masyarakat yang pekak, bisu dan buta

Adat insan itu adalah makhluk yang sering lupa. Maka kelupaan itu harus disedarkan. Mayarakat yang berilmu akan memlih jalan yang benar dengan panduan (agama) Allah. Namun, sekali lagi badai kecintaan dunia ini melanda umat manusia. Mereka dilalaikan dengan kesibukan untuk memiliki dunia lalu tidak hentang lagi untuk mencari dan memiliki kebenaran ilmu dalam mencari makna diri dan tujuan kehidupan, lantas memilih untuk terus dilalaikan. Masyarakat ini juga telah hilang rasa untuk memperbetulkan diri mereka apatah lagi orang lain untuk mengajak sesama manusia kepada jalan kebaikan dan kesejahteraan dan menjauhkan diri atau keluar dari kejahilan, kelalaian dan kerosakan (fasad dan mungkar).

Mereka sibuk dan lalai memenuhi keperluan keseronokan dan kepuasaan peribadi dan merasakan kerosakan yang berlaku di keliling mereka bukan hal mereka. Bahkan yang memiliki ilmu dan kedudukan sekali menjadikan ilmu dan kedudukan itu sendiri, yang sepatutnya menjadi satu amanah sebagai batu loncatan untuk memiliki lebih banyak dari dunia ini. Mereka tidak sedar kelakuan mereka ini akan membenihkan kerosakan yang lebih besar dalam masyarakat mereka lantas membentuk satu gunung kebobrokan sosial yang akhirnya bakal membenamkan orang yang mereka sayangi malahan diri mereka sendiri. Masyarakat ini telah menjadi pekak, bisu dan buta.

Puas sudah didengari, seolah-olah saya menyalahkan orang lain untuk semua masalah ini, sedang saya dan kita ini sendiri adalah sebahagian masalah tersebut. Saya dan teman-teman sedar, manusia kerdil tidak mampu menahan Tsunami kebangkrapan Sosial ini. Tembok-tembok yang dibina manusia kerdil tidak mampu menahan ombak yang saban waktu berkunjung apatah lagi sebuah Tsunami. Hanya sanya yang mampu menjadi tembok sebenar malahan mensuci kekotoran dan memurnikan kerosakan adalah pohon-pohon ditepian lautan yang bilamana ia ditanam kembali satu persatu, dan dibiar ia tumbuh mekar merimbun akan mampu bertahan bila ribut dan sang Tsunami melanda, malahan akan melahirkan anak-anak ikan dan udang yang bakal memberi manfaat pada lautan dan daratan. Indah sungguh kitab alam ciptaan Tuhan. Punya Ibrah untuk ditempa.

Permulaan semua ini adalah dengan satu kesedaran yang difahami dengan sebenar-benarnya.

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. {13 : 11}

Derita umat dan kegawatan ini harus ditelaah dengan kita sendiri harus terjun untuk mengambil ibrah (pengajaran) dan memahami lenggok seni musuh yang merosakkan ini agar satu perancangan (makar) peperangan terhadap gejala sosial mampu dipersiapkan. Kefahaman pada derita ini hendaknya membina satu keinsafan, penghayatan dan kesedaran. Keinsafan dan kesedaran hanya menjadi kekecewaan dan kepasrahan andai tidak dilengkapkan dengan tindakan dan usaha-usaha perubahan yang strategis (seperti saf yang tersusun kukuh) dan berterusan (istiqomah).

Ibrah ini, bersama tahun demi tahun kegagalan, mempersiapkan kita membangun satu makhroja, moga ianya dipandu oleh hidayah dan petunjuk Allah.

Membina sebuah LANDAS ...

Program sosial ini diawali dengan Latihan Aktivis Dakwah dalam Isu Sosial (LANDAS). LANDAS adalah sebuah program latihan berfasa (3 fasa modul dipersiap untuk tahun 2009M/1430H) yang membawa para aktivis dakwah, arkitek perubahan dan alim ulamak untuk turun lapangan untuk memahami status kegawatan sosial secara terus (first hand encounter).

Program ini disulami dengan latihan seni dakwah yang mengkehendaki para pelatih mendekati kumpulan bermasalah secara langsung. Kemampuan Daie mendekati (hemoi – istilah utara) dan memahami kumpulan bermasalah, menghulurkan kelembutan dakwah untuk memberi harapan dan hidayah adalah satu latihan intensif yang memerlukan kemahiran komunikasi, psikologi, emosi dan spiritual yang harus rancak berpencak dalam satu waktu yang singkat.

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. {16:125}

Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan dari ayat 125, Surah An Nahl, bahawa garis besar para penda'wah dapat dibahagikan kepada tiga golongan dan dihadapai dengan kaedah yang berbeza:

a. Golongan intelektual yang cintakan kebenaran dan dapat berfikir secara kritis, cepat dapat menangkap mesej da'wah dengan kekuatan akal fikiran dengan dalil dan hujah-hujah yang diyakinkan. Mereka ini harus didekati dengan cara "hikmah" الحكمة))

b. Golongan awam dan orang kebanyakkan yang belum dapat berfikir secara kritis, belum dapat menerima pengertian yang tinggi-tinggi dan mendalam. Perlu memberikan pendekatan dan pendidikan dengan ajaran yang mudah difahami denga cara "mau'izatun hasanah". الموعظة الحسنة

c. Golongan yang mempunyai tingkatan kecerdasan di antara "hikmah" dan "mau'izatun hasanah". Mereka ini perlu kepada pendekatan "mujadalah billati hiya ahsan", المجادلة بالتى هى أحسن dengan bertukar-tukar fikiran secara sihat dan layanan cara yang baik-baik.

Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan dalam kalimat:

خاطبواالناس على قدر عقولهم

"Bicaralah kepada manusia mengikut kadar kecerdasan akal mereka itu"


Sabda Nabi s.a.w. :

أمرنا أن نكلم الناس على قدر عقولهم

"Kami diperintahkan, supaya berbicara kepada manusia menurut kadar kecerdasan akal mereka masing-masing" (Hadis Riwayat Muslim)

LANDAS dalam waktu yang sama menjadi sebahagian dari proses pemetaan isu sosial dalam komuniti dan tidak kurang menjadi medan advokasi dan pendidikan menggunakan suara media.

Aktivis LANDAS, bergraduasi dari latihan lapangan ini seperti perkumpulan burung-burung CAMAR (Perkumpulan Cakna Amar Maaruf Nahi Mungkar) yang akan menebarkan kesejahteraan sepanjang perjalanan mereka dan setia memerhati agar kemungkaran tidak berlaku di bumi Allah ini (Skuad CAMAR)

Firman Allah s.w.t. :

Maksudnya : "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berda'wah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya." (Ali Imran 104)

Maksudnya: ”Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka; orang-orang Yang fasik.” (Ali Imran 110)

Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) mengepakkan sayapnya

Latihan dilapangan tidak mencukupi tanpa perlaksanaan solusi yang tuntas dilapangan sendiri. Rumah Upayadaya Ar-Rahman (RAUDHAH) dan teman-teman sepanjang dua tahun ini telah cuba membangunkan sebuah Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) yang pada awalnya mendapat dokongan setidak-tidaknya moral dari sebuah kerajaan negeri di utara semenanjung. Walaupun hingga kini komitmen pada dokongan ini masih tidak dapat direalisasikan namun RAUDHAH telah berjaya membangun satu konsep perlaksanaan bagi sekretariat UNGGAS yang menunggu masa untuk terlaksana.

UNGGAS pada asasnya adalah sebuah pusat penyelarasan kerja atau sekretariat yang mampu menguruskan semua gerakerja aktivis isu sosial ini. Kerja dakwah dan lapangan tidak akan memberi implikasi mendalam tanpa kajian akar umbi dan yang mampu menjadi rujukan kepada pembangunan kelangsungan dakwah masa depan. Dakwah dan kerja perubahan sosial harus dapat dipeta dan dipandu oleh bukti dan data yang sahih dan kukuh dari lapangan. Maka sektor “penyelidikan dan pembangunan” (research and development) dilapangan adalah sektor terpenting dalam gerakerja UNGGAS.

Bukti dan data ini seterusnya digunakan dalam pembangunan dan pemantapan polisi berkait dengan isu-isu sosial. Ia juga akan berkait rapat dengan usaha-usaha menggerakkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada atau pembaikan kelompongan pada undang-undang yang sedia ada.

Usaha pendidikan massa, advokasi polis, penyeledikan dan pembangunan tidak mampu berlangsung tanpa tenga kerja yang cukup. Isu yang berlaku secara merata dan menyeluruh dari ceruk kampung ke tengah hiruk pikuk metropolitan memerlukan lebih banyak CAMAR dilahirkan. UNGGAS boleh memainkan peranan sebagai pusat latihan dan pembangunan untuk tujuan ini.

Melihat pada spektrum dan kepelbagaian kelompok bermasalah dan menyedari keperluan bahawa insan-insan bermasalah ini ada di antara mereka tidak mampu mengikuti program pemulihan berterusan dan dakwah kaki lima yang berlangsung dalam waktu yang singkat, sukar membawa perubahan yang berkekalan. Ini termasuk masalah individu berkeluarga dan berkerjaya yang terjebak dalam gejala sosial dan memerlukan pertolongan. Sayugia itu sebuah program kaunseling percuma diatur dengan iaitu Kaunseling Kasih Ar Rahim (KEKASIH). Model program ini sedang berjalan secara terbatas di Serambi Dakwah, PUM PP Pulau Pinang.

Terakhirnya UNGGAS tidak mampu tidur lena jika ia sendiri gagal menjadi solusi di lapangan. Pelbagai inisiatif yang digerakkan sebelum ini tidak mampu direalisasikan secara berpanjangan dengan penubuhan pelbagai perkumpulan remaja bagi mengisi masa mereka secara berkesan dari membuang masa secara sia-sia dan sebagai ruang pemulihan dalam komuniti. Inisiatif ini bukan baru namun adalah kelanjutan kepada usaha-usaha yang pernah dilaksanakan sebelum ini antaranya; Ikatan Remaja Merdeka (IRAMA), Ikatan Remaja Muslim (IKRAM), Ikatan Perkumpulan Pelajar Pewaris harapan (IMPIAN), Aktivis Remaja Alam Sekitar (ARAS) dan sebagainya. Model-model dari sahabat-sahabat gerakan seperti Embun Hidayah, Kelab Remaja JIM (KRJ) dan lain-lain,

Mencari kasih dan harapan di RAUDHAH ...

Program besar Dakwah Sosial ini adalah pembinaan sebuah rumah transit dan pemulihan kumpulan bermasalah yang dinamakan sebagai RAUDHAH. RAUDHAH atau Rumah Upayadaya dan Harapan Ar-Rahman membawa konsep Uzlah (pengasingan) dan Tazkiyah (Penyucian) bagi usaha pemulihan kumpulan kritikal bermasalah (hardcore social problematic groups) ini. 10 tahun selepas merasa cukup keterbatasan menggerakkan perubahan individu bermasalah ini, RAUDHAH mejadi satu sinar (نور) kepada kami dan moganya menjadi nur kepada mereka yang lain.

RAUDHAH ketika ini hanya dikhususkan kepada indvidu bermasalah kritikal sahaja dan dalam tempoh ini hanya mengendalikan kumpulan wanita. RAUDHAH akur dengan limitasi yang ada dan sehingga tarikh ini (Rabiul Awal 1430H) tidak menerima kumpulan yang terlibat dengan ketagihan dadah.

Program ini berteruskan konsep al fahmu (kefahaman) dalam pembangunan ilmu dan iman, dengan penekanan kepada faham aqidah dalam semua aspek kehidupan. RAUDHAH adalah harapan kepada mereka yang ingin mencari jalan pulang kepada kasihNYA [www.perjalananpulang.wordpress.com].

56. Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang Engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah Yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). Al Qasas : 56

Kepada saudara-saudariku yang belum memahami apa yang ku bicarakan ini – lamaran ini ku sampaikan kepada saudara-saudari lain agar mahu berjejak turun ke sawah bendang, hutan belukar dan lautan luas fenomena kebobrokan sosial yang melanda anak-anak, adik-adik dan saudara kita saat ini.

Mengeluh, tidak membawa erti ...
Hanya Berbicara, tidak membawa perubahan ...
Kalau tidak kita? Siapa lagi ?
Kalau tidak sekarang? Bila lagi ?
Kalau tidak disini? Di mana lagi ?

Kepada saudara-saudariku yang pernah tersentuh dan terasa bau busuk tegar alkohol yang tersembur keluar dari mulut adik-adik dan saudara kita tatkala kita memeluk rapatnya penuh doa, atau ketika air mata taubat itu mula menggenangi mata-mata hitam, biru dan koko yang meminta-minta kita menyatakannya bahawa dia masih punya harapan, atau ketika air mata kita menitis sayu melihat wajah dihadapan kita yang khayal, pucat lesi, dan kebingungan, sambil air-air mata itu mendoakan pada adik dan saudara/i ku ini bahawa – masih ada jalan pulang.

Pada saudara-saudariku ini, ingin ku sedarkan kamu bahawa kamu sedang berada dalam satu fenomena baru yang sedang bangun dengan hajat besar menenggelamkan Tsunami kebangkrapan sosial sedalam-dalamnya.

Kebangunan ini hanya mampu berhasil apabila putus asa tiada dalam kamus kita, meyakini bahawa hanya sanya Allah pemilik Hidayah, bahawa mujahadah itu adalah nafas kami, dan bersama, mengatur saf secara teratur dan menolak perpecahan dan dengan sabar dan keyakinan kebangunan ini harus dibina secara satu agar ia mampu tegar dan istiqomah. Inginku peringati saudaraku untuk memahami bahawa langkah-langkah ini perlu diatur sepertimana kita sedang membina sebuah kota untuk bertahan berabad lamanya maka harusnya batu-batunya ini diatur, satu demi satu dengan seni dan tersusun kerana jika tidak ia hanya akan bertahun hanya semusim lamanya.

272. tidaklah Engkau Diwajibkan (Wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah Yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya). dan apa jua harta Yang halal Yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua Yang kamu dermakan dari harta Yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan. Al Baqarah :

Semoga Allah bersama kita dalam membina jalan-jalan pulang, kembali kepada KeredhaaNYA.

Sesiapa yang berminat untuk menyertai sukarelawan landas boleh layari blog di bawah ini:


URUSETIA MENANGGANI GEJALA SOSIAL (UNGGAS)

Sumber:urusetialandas.blogspot.com


Wednesday, 8 April 2009

Mendidik Anak Berpolitik

“Okay, kita nak pergi bercuti ke Pulau Pangkor, siapa yang nak jadi ketua?” saya bertanya kepada anak-anak.

“Abi!!!” mereka sebulat suara memilih saya.

“Baik, kalau Abi jadi ketua, semua orang kena dengar cakap Abi. Kalau Abi suruh tidur, semua kena tidur. Kalau Abi ajak balik bilik dan berhenti main air, semua kena ikut balik bilik, boleh?” saya menjelaskan makna ketua kepada pengikut.

“Boleh!” jawab Saiful Islam dan Naurah.

Sentiasa boleh. Tetapi bila sampai masanya, macam-macam pula ragam mereka.

“Kalau Abi tak ada, nak dengar cakap siapa?” saya bertanya lagi.

“Umi!” kata Naurah.

“Bagus. Dengar cakap Umi macam dengar cakap Abi, okay?” saya menambah.

“Okay,” mereka menjawab.

SUNNAH

Ajak anak-anak bermesyuarat

Teringat saya kepada hadith Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Apabila tiga orang bermusafir bersama, hendaklah dilantik salah seorang daripada mereka menjadi ketua” [riwayat Abu Dawud, daripada Abu Said al-Khudri radhiyallaahu 'anhu]

Begitulah cara Islam mengajar dan mendidik penganutnya hidup bertertib lagi sistematik. Soal keluar bermusafir itu mungkin sekadar rutin biasa yang diulang-ulang dari semasa ke semasa. Tetapi di dalam rutin itulah diselitkan unsur ketertiban hidup lantas salah seorang harus mengambil tanggungjawab menjadi ketua.

Ketua dalam erti kita mengambil tanggungjawab terhadap kebajikan dua rakannya.

Ketua yang membantu membuat keputusan-keputusan biar sekecil mana pun persoalannya.

Ketertiban ini diterapkan bermula daripada solat berjemaah hinggalah kepada bermusafir secara berjemaah. Kehidupan di dalam solat dan di luar solat, Muslim diajar agar duduk di dalam tatacara kehidupan yang terpimpin. Ada yang memimpin, ada yang dipimpin.

Latar belakang kehidupan yang sebegini, menjadi penjelasan yang paling terang lagi rasional mengapa para sahabat radhiyallaahu ‘anhum tidak bertangguh berkumpul di Tsaqifah Bani Sa’idah untuk mencari pemimpin menggantikan kekosongan posisi itu yang berlaku akibat kewafatan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, biar pun jasab baginda masih belum lagi dikebumikan.

Tidak harus Muslim hidup tanpa pemimpin dan kepimpinan.

Semua ini adalah asas kepada apa yang kemudiannya dinamakan sebagai POLITIK.

Politik yang didefinisikan dengan sebagai Hiraasah al-Deen wa Siyaasah al-Dunya bihi (memelihara agama dan mengurus tadbirkan dunia dengan agama itu) di dalam kitab al-Ahkaam al-Sulthaniyyah adalah peraturan Allah kepada tamadun manusia. Kehidupan berperaturan, terpelihara di antara peranan dan hak masing-masing, adalah kehidupan yang mengangkat darjat manusia sebagai makhluk penghulu yang tinggi.

Inilah asas politik.

Mendidik manusia hidup berperaturan.

Mencegah manusia daripada kehidupan anarki.

KEGANJILAN ISLAM AKHIR ZAMAN

Namun, sama seperti dakwah, kalimah politik itu juga terjebak ke dalam pelbagai persepsi yang membingungkan. Dalam suasana kucar kacirnya isu semasa yang tidak pernah berhenti itu, sering sahaja kita terkeliru di antara politik, kepartian dan sentimen kepuakan. Perubahan kecenderungan pengundi yang beralih daripada Parti A ke Parti B bukanlah isu utama, biar pun ia menjadi sasaran terbesar massa. Apa yang lebih penting ialah sejauh mana masyarakat memahami politik dan seterusnya terus berstamina menyertai tanggungjawab Hiraasah al-Deen wa Siyaasah al-Dunya bihi dan bukannya bertindak memencilkan diri daripada politik.

Apatah lagi di kalangan Muslim.

Muslim yang urusan pengebumian jasad Nabi mereka jatuh nombor dua selepas keutamaan diberikan kepada soal kepimpinan dan ketertiban hidup yang menjadi Sunnah itu.

Akan tetapi, tatkala disebut tentang solat, semua orang mendengarnya tanpa rasa terganggu.

Apabila dibicarakan tentang zakat, aman sahaja manusia berfikir mengenainya.

Tetapi jika politik disebut, semua menjadi panik.

Ibu bapa boleh tenang sahaja melihat anaknya mendungukan diri di hadapan PSP dengan koleksi A keputusan peperiksaan di keliling pinggangnya, tetapi dengan segera tersampuk dengan igauan besar jika anaknya tiba-tiba berbicara soal politik. Lembab dengan ideologi AKU TIDAK PEDULISMA dianggap cerdik, berbicara dalam bahasa kepedulian tentang persoalan Hiraasah al-Deen wa Siyaasah al-Dunya bihi dianggap sebagai kebodohan yang mengundang padah.

POLITIK SEBAHAGIAN DIRI

Politik itu seni.

Ia memerlukan kualiti pemikiran dan kebijaksanaan kepimpinan untuk menggarapnya.

Soal mahu menjadi AHLI POLITIK atau tidak adalah soal kedua. Tetapi manusia tidak boleh memencilkan diri daripada politik. Benar sekali kata Michael B. Coleman, ahli politik daripada Parti Demokrat Amerika Syarikat, “You may not be interested in politics, but politics are interested in you“.

Muslim tidak mampu untuk tidak peduli kepada politik. Politik itu adalah seni mengatur kehidupan manusia, dan ia adalah salah satu juzuk terpenting dalam agamanya, Islam. Memencilkan diri daripada politik bermaksud meninggalkan cabang besar amar makruf dan nahi mungkar. Tidak mungkin tanggungjawab ini terbiar, melainkan pasti ada dosa dan fitnah yang mengiringinya.

Muslim boleh mengambil sikap non partisan sebagai satu bentuk pendirian politiknya. Mereka melaksanakan urus tadbir kehidupan manusia melalui badan-badan NGO atau pertubuhan kebajikan, mengikut kebolehan dan peluang masing-masing. Tetapi Muslim tidak boleh mengambil sikap tidak mengambil peduli kepada politik hanya kerana tidak mahu peduli kepada parti.

Justeru, membiaknya spesis Muslim yang alergik dengan politik adalah wabak yang mengundang kehancuran.

Dalam sopan mereka menjadi oportunis, dalam diam mereka menjadi kaum yang manipulatif. Semuanya gara-gara mahu aman tetapi tidak mahu menyumbang kepada keamanan. Mahu keselamatan tetapi tidak mahu melakukan apa-apa untuk memperbaiki keadaan. Lantang mengkritik polisi-polisi yang menjadi beban, tetapi terlalu malas untuk bertindak lebih daripada sekadar mengkritik. Mereka menikmati keamanan hasil penat lelah orang lain, mereka menikmati keselamatan hasil jerih payah orang lain.

SEKADAR DI PINGGIRAN

Iman manusia seperti ini adalah iman di pinggiran.

22_11

“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan Dunia dan Akhirat. Itulah kerugian yang terang nyata” [al-Hajj 22: 11]

Politik dan dakwah bergerak seiringan.

Keperluan kedua cabang kehidupan ini menyebabkan Nuh ‘alayhi al-Salaam dan sekalian Nabi dan Rasul mengambil jalan yang sama. Dalam dakwah mereka kepada keluarga dan komuniti terdekat, mereka juga tidak pernah meninggalkan urusan menasihati, menegur malah berkonfrontasi dengan golongan al-Mala’.

Tiada makna dakwah disempitkan pada sekadar menjaga urusan keluarga yang duduk di bawah circle of influence kita, jika urusan golongan penguasa (al-Mala’) yang duduk di bawah circle of the influencing people itu dibiarkan sewenang-wenangnya.

Justeru, usaha melahirkan generasi yang peka dan celik politik itu penting.

Semasa anak-anak di bangku pengajian universiti, mereka harus belajar untuk faham tentang politik. Keterlibatan mereka di dalam persatuan-persatuan, bercakap dan bertindak terhadap kebajikan masyarakat kampus, kepedulian mereka terhadap apa yang berlaku di sekeliling diri, semua itu mesti didedah, dilatih dan seterusnya ditempa masuk ke dalam jiwa mereka.

Mereka perlu kepada kemahiran berpolitik untuk mentadbir syarikat mereka bekerja nanti.

Mereka perlu kepada kemahiran berpolitik untuk menguruskan jabatan tempat mereka berkerjaya nanti.

Mereka perlu kepada kemahiran berpolitik untuk mentadbir keluarga tempat mereka berkehidupan nanti.

Politik diperlukan di semua peringkat hidup. Dan oleh kerana manfaat politik akhirnya sampai kepada sebuah keluarga, maka keluarga jugalah seharusnya menjadi tempat anak-anak diperkenalkan dengan politik, iaitu hidup berperaturan, mengenal tanggungjawab juga peranan, berlatih membuat keputusan dan hidup berpegang kepada nilai keprihatinan.

SEKUNDER KEPARTIAN

Soal kepartian, itu tidak lagi menjadi kekeliruan atau kebingungan dalam membuat pilihan, andai politik sudah dikenali dari akar, menjalar ke batang dan pucuknya di julang.

Idea politik sebagai ibadah, politik sebagai amanah, politik sebagai tanggungjawab, politik sebagai amar makruf dan nahi mungkar, pasti sahaja wadah politik yang dipilih adalah wadah politik yang beribadah, amanah, bertanggungjawab dan jauh dari koruspi dan orientasi kepentingan peribadi.

Didik sahaja anak-anak cintakan keadilan.

Didik sahaja anak-anak bencikan kezaliman.

Didik sahaja anak-anak berlumba-lumba memelihara amanah.

Didik sahaja anak-anak bekerjasama menentang kianat.

Didik sahaja anak-anak dengan kebebasan memberikan pandangan dan bersuara.

Didik sahaja anak-anak dengan keberanian menyuarakan pendapat tanpa tergadai budi pekerti semasa setuju atau sebaliknya.

Itu teras berpolitik di gelanggang massa suatu hari nanti.

p3190096

Gadis ini sangat ‘outspoken’ menegur politik di rumahnya

“Abi cakap Abi nak buat cucur pisang,” kata Naurah marahkan saya.

“Pisang dah busuk sangatlah Naurah. Tak sesuai nak dibuat makan!” saya cuba memberikan penjelasan.

“Kalau pisang dah busuk, kenapa Abi janji nak buat cucur pisang? Tak payahlah janji-janji. Tak tepati janji berdosa,” Naurah ‘menegur’ amir al-mu’minin di rumahnya.

Saya hanya mampu mengangguk. Akur bahawa semasa saya memberitahunya yang pisang buruk di atas para itu tidak boleh dimakan mentah, ia sebenarnya juga sudah tidak boleh dibuat cucur. Tetapi saya menyebutnya dengan harapan anak-anak berhenti mendesak.

“Abi minta maaf,” saya menghulurkan tangan meminta kemaafan.

“Lain kali jangan buat lagi ya!” kata Naurah.

“Baik puan,” saya mengangguk.

Di dalam rumah kami semua orang bebas menegur dan semua orang harus belajar menerima teguran. Ibu bapa menegur anak-anak, mereka juga berhak menegur ibu bapa. Itulah etika politik dan kepimpinan rumah Abu Saif, dalam subjek ‘mendidik anak berpolitik’.

Apa yang penting ialah kesedaran tentang politik itu juga memberi ibrah, andaikata pisang sudah busuk, janganlah berjanji untuk menghidangkan apa-apa yang manis dan baik untuk disantap. Moga politik Malaysia tidak terus dilamun impian menjamah cucur manis dari pisang yang sudah buruk setandan itu.

Sumber: ABU SAIF @ www.saifulislam.com


Monday, 6 April 2009

Al Quran Cahaya Petunjuk Untuk Semua Manusia


Tahniah YB Nizar Anda Telah Tunai Tanggaungjawab Dakwah


وَإِنْ أَحَدٌ مِّنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلاَمَ اللّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لاَّ يَعْلَمُونَ


Dan jika seorang di antara orang-orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia supaya ia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah ia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui.

At-Taubah ayat 6

Kecoh pula sekarang ini, isu laporan polis terhadap Yb Nga Kor Ming kerana Kor Ming membaca sepotong ayat Quran dalam ceramahnya. Beliau tersilap menyebut surah Al-A'raf sebagai Al-A'urah.

Ada sahabat yang beri respon mudah, katanya sekurang-kurangnya beliau terbukti tidak menolak malah cuba mendengar, membaca dan memahami ayat Al Quran. Kalaulah tersilap sekalipun bukanlah menjadi kesalahan yang besar bagi beliau sekiranya ia tidak disengajakan dan bukan bertujuan menghina Al Quran. Bahkan ia lebih baik dari ummat Islam yang tidak mahu memahami dan melaksanakan ajaran Al Quran.

Katanya lagi, sekurang-kurangnya DAP ada kesannya apabila berkawan dengan PAS, soalnya bagaimana pula MCA? bukankah sudah 50 tahun lebih mereka berkawan dengan UMNO, apa pula yang UMNO buat untuk menyahut seruan Allah supaya memperdengarkan ayat-ayat Allah kepada non Muslim sebagai usaha dakwah kepada mereka.

YAB Nizar sering membacakan Al Quran dalam mesyuarat exco Perak

Tegasnya lagi, semenjak YAB Nizar mengetuai kerajaan Perak, beliau akan membaca ayat Al Quran dan memberikan kefahamannya dalam apa jua majlis, dari mesyuarat exco kerajaan hinggalah ke program bertemu rakyat samada Melayu, Cina dan India YAB Nizar akan memperdengarkan ayat suci Al Quran sebagai muqaddimah kalam ucapan.

Alhamdulillah mungkin YB Nga Kor Ming pun dah mula berminatuntuk mengetahui tentang Islam lantaran akhlak yang ditunjukkan Nizar amat bertepatan dengan pemahaman ayat yang sering dibacakan YAB Nizar setiap kali mesyuarat exco kerajaan dan mana-mana jua majlis yang dihadirinya .

Respon Kepimpinan PAS terhadap YB Nga Kor Ming

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut merespon isu terbut.

Kata Tuan Guru Nik Aziz:

"Siapa pun nak gunakan ayat Quran patutnya dia guna lama dah. Itu kesan gelombang kebangkitan Islam," kata Nik Aziz.

Begitu juga catatan Ustaz Misbahul Munir dalam blognya :

Nga, salah seorang EXCO DAP sentiasa mengikuti ayat-ayat Quran yang dibaca oleh Hj Nizar dan bertanya saya dari ayat mana dan surah apa. Saya beritahu ayat dan surah yang dibaca. Katanya dia mahu study di rumah ayat yang dibaca oleh Hj Nizar. Di mini perpustakaan Nga ada terjemah al quran dalam bahasa Inggeris, dia cari ayat tersebut dan dikajinya. Akhirnya beliau kagum dengan Hj Nizar, menurut Nga ayat-ayat Quran yang dibaca Hj Nizar mesti ada kaitan dengan majlis yang diadakan. Malahan, beliau turut mencari mana-mana ayat al Quran yang berkaitan dengan prinsip keadilan, kebajikan, integriti, ketelusan dan amanah, beliau bertanya saya dan meminta saya mengajarnya bagaimana cara menyebut dalam bahasa Arab, saya menulis dalam huruf rumi ayat-ayat tersebut dan ternyata dibacanya dalam ucapan dan ceramah walaupun pelat, diterjemah dan dihurai dengan begitu baik prinsip-prinsip tersebut mengikut ajaran al Quran.

Doakan hidayah Allah buat Yb Nga Kor Ming dan pandanglah positif

Apa jua pun, cuba kita pandang positif terhadap apa yang berlaku :

1. Pertama Al Quran diturunkan Allah untuk semua manusia tanpa mengira apa jua bangsa dan agama. Bahkan tiada kesalahan apa pun jika kerajaan Amerika sekali pun cuba untuk menerapkan ajaran Al Quran misalnya dalam polisi mereka.

2. Hukum tersalah bacaan samada tajwid atau lahjah sebutan bagi orang belum lagi memeluk Islam tidak menjadi kesalahan dan satu dosa. Hatta para ulamak sendiri menyatakan bahawa bagi ummat Islam sendiri pun tidak menjadi kesalahan sekiranya masih dalam usaha mempelajari Al Quran.

3. Para ulamak juga menyatakan bahawa tidak menjadi kesalahan bagi non muslim untuk membaca Al Quran, memahami dan mengamalkan ajarannya sekali pun tanpa memeluk Islam dan juga tanpa maksud tujuan menghina. Bahkan ummat Islam sendiri akan turut berdosa jikalau berniat menghinakan Al Quran walaupun pandai membacanya.

4. Janganlah kita menduga tanpa usul periksa lalu menuduh beliau menghina Al Quran dengan alasan-alasan yang mendatang sedangkan tiada sebarang reaksi atau perbuatan beliau yang boleh disabitkan dengan cubaan menghina Al Quran.

Akhirnya, cuba perhatikan pula ayat dibawah apakah kita mendapati perbuatan YB Nga Kor Ming bersamaan dengan apa yang dinyatakan Allah dalam firmaNya di bawah ini:

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُو

"Dan orang-orang yang kafir berkata: ""Janganlah kamu mendengar dengan sungguh-sungguh akan Al Qur'an ini dan buatlah hiruk-pikuk terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan (mereka)."
Surah Fussilat ayat 26

Di dalam ayat ini, Allah menyatakan sikap golongan yang ingkar terhadap ayat Allah dan berusaha pula menghalang orang lain dari mendengarnya.

Setelah memahami dua ayat di atas Insafilah, apakah dan dimanakah situasai antara kita selaku ummat Islam, dan YB Nga Kor Ming.

Apakah kita telah berusaha menyampaikan ayat Allah kepada non Muslim sebagai suatu perintah dan dakwah yang diwajibkan Allah kepada Kita semua?

Apakah pula alasannya untuk kita mendakwa YB Nga Kor Ming menghina ayat Al Quran sedangkan kita sendiri tidak pernah mengajarkannya kepada beliau, malah apabila berlaku kesilapan tidak pula cuba memperbetulkannya malah mengecamnya pula.

Tahniah YB Nizar anda telah menyahut seruan Allah menyampaikan firman Nya.

Apa pun tahniah kepada YAB Nizar yang sering memperdengarkan ayat-ayat suci Al Quran dan pemahamannya bukan sahaja kepada YB Nga Kor Ming, malah semua exco non muslim yang lain serta rakyat jelata yang muslim dan non muslim.

Sekian

Ya Allah kuniakan Syahadah buat YB Nga Kor Ming

Akhukum

Pejuang Kecil

8.13 mlm, 10 Rabiul Akhir 1430
Rumah Kedah, Hayyu 10, Kaherah, Mesir



Pilih pemimpin berjuang dunia, akhirat - Haron Din



Azamin Amin

"...suasana yang tidak stabil di Perak. Angkara siapa? Bukan Nizar. Nizar menjadi mangsa."

Sebelum para penduduk Parlimen Bukit Gantang membuat membuang undi pada 7 April, tokoh agama dan Timbalan Musryidul Am PAS Dato' Dr Haron Din memberitahu Penolong Pengarang Harakahdaily AZAMIN AMIN panduan memlih pemimpin yang dituntut agama, sekaligus memberi kesan di dunia dan akhirat serta dalam masa sama demi membela nasib rakyat dan Nizar Jamaluddin yang teraniaya akibat Umno-BN yang mencetuskan suasana huru-hara di Perak tempoh hari.

1.Boleh Dato' jelaskan bagaimana Islam melihat pilihan raya sebagai satu wadah perjuangan untuk menuju kebahagiaan dunia dan akhirat serta ciri sebetulnya memilih pemimpin untuk rakyat?

Haron Din : Pilihan raya adalah satu tuju arah yang boleh di lihat dalam dua dimensi. Pertama apa tujuan sebenar calon yang bertanding? Kedua kewibawaan dan ketokohan orang serta parti itu.

Tentang tujuan ada yang semata-mata berjuang kerana dunia seperti Umno dan ada yang bertujuan untuk dunia dan akhirat. Calon Umno dan partinya itu, umum telah mengetahui ianya bertujuan untuk dunia dan kepentingan diri semata-mata. Banyak sudah dibuktikan.

Calon PAS pula telah dibuktikan bahawa perjuangannya untuk dunia dan akhirat. Dato' Seri Nizar Jamaluddin berada dalam kelompok perjuangan yang sudah tentu menghadapi banyak musuh yang banyak mempunyai kepentingan duniawi. Image

Siapa sahaja sejak zaman Nabi dan para sahabat, berperang, ada sahaja yang menjadi musuh. Nabi Muhammad saw sendiri mempunyai musuh terdekat iaitu bapa saudaranya. Itu tanda syaitannnya 'lebih kuat' untuk mengganggu orang yang baik.

Kita mesti melihat wadah parti yang disokong, bagi pengundi di Bukit Gantang, Nizar mewakili parti Islam yuang mencari keredhaan Allah. Manakala satu parti lagi dakwa bersifat kebangsaaan Melayu (Umno) dan tidak ada apa yang diperjuangkan untuk bangsa Melayu.

2. Kata parti lawan seolah-olah mereka adalah juara memperjuangkan agama, bangsa dan negara?

Mereka melaungkan dan dakwa. Kalau nak kira dakwa, budak kecil juga boleh dakwa. Sudah hampir lebih 52 tahun diberi kuasa, apa yang dilakukan untuk Islam malah ia merosakkan lagi ada.

Mereka pamer kepada masyarakat bahawa seolah-olah Islam ini tidak sempurna. Jadi untuk itu, mereka buat Islam Hadhari untuk tampung Islam sebenar. Sejak daripada Islam Hadhari diwujudkan apa yang mereka buat untuk Islam sesuai seperti yang dicanangkan?Tidak ada yang mereka buat, cakap tidak serupa bikin.

Wadah untuk pengundi di Bukit Gantang bukan sekadar pilih calon tetapi untuk masa depan negara dan rakyat. Dengan maksud jika wakil kelompok yang memperjuangkan Islam dipilih, ianya satu mesej jelas bahawa masyarakat Malaysia, Islam dan bukan Islam sedang melakukan proses penolakan ke pada parti Barisan Nasional (BN) - Umno dan sekaligus menerima baik Pakatan Rakyat.

Jika kalah, Umno akan mendabik dada kononnya mereka masih relevan sedangkan hakikat telah pun ditolak pada pilihan raya 8 Mac lalu.

Saya seru proses penolakan ini diterjemahkan terus bukan sahaja di Bukit Gantang tetapi di DUN Bukit Selambau dan Batang Ai, ia mewakili satu wadah perjuangan ke arah memartabatkan Islam dan kukuhkan Pakatan Rakyat.

Pilihan raya ini bagi mengubah kemungkaran dan kerosakan Umno-BN dan gantikan dengan sebuah negara berkebajikan yang diperjuangkan PAS dan Pakatan Rakyat yang dinantikan seluruh masyarakat.

3. Dalam Perhimpunan lepas, mereka kata insaf dan mahu melakukan perubahan, adakah ini satu jaminan dan mampu menarik sokongan rakyat kembali kepada Umno-BN ?

Kematangan rakyat terhadap politik tidak boleh lagi dikaburi dengan slogan-slogan pemimpin Umno dan BN sedangkan slogan-slogan yang dikatakan selama ini memakan diri. Ini senjata makan tuan.

Cuba kita lihat keadaan ini. Umno dikatakan sudah matang memilih pemimpin. Takkanlah sudah 63 tahun Umno ditubuhkan, baru nak matang? Itu belum lagi dewasa. Mereka mencanangkan perubahan? Apa perubahan yang dibuatnya?

Adakah bertukar daripada yang dilihat bersih kepada tidak bersih. Maksudnya, peralihan kuasa daripada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang nampak bersih berubah kepada Dato' Seri Najib Tun Razak yang terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan jenayah.

Media Asing pun membicarakannya dan masyarakat antarabangsa. Adakah rakyat nampak Najib lebih bersih?

Begitu juga dengan jawatan Ketua Pemuda Umno yang berubah kepada Khairy sedangkan beliau sebelum ini disabitkan gejala rasuah oleh Lembaga Displin Umno. Hukuman ringan dan diberi amaran sedangkan disabitkan.

Ahli Umno pilih Khairy berbanding Dato' Mukriz Mahathir yang dilihat agak bersih daripada tuduhan. Jelas perubahan yang dilakukan oleh Umno ialah menolak yang bersih dan memilih yang tidak bersih. Itukah yang dinamakan perubahan?

Para pengundi di tiga pilihan raya ini perlu melihat persoalan ini sebelum memberi undi dan dengan rasa tanggungjawab untuk selamatkan negara daripada pemimpin-peminpin yang tidak bersih. Image

4. Bagaimana Dato' melihat parti yang mengucar-kacirkan Perak dengan 'rampasan kuasa'. Rakyat telah pilih dan pentadbiran berjalan dengan baik di samping rakyat hidup dalam aman tiba-tiba, dikejutkan dengan peristiwa rakus oleh BN di Perak menyebabkan Nizar dianiaya dan dikecam?

Golongan rakus kuasa, selama-lamanya akan melihat dan menantikan peluang untuk melakukan dengan apa cara sekalipun.

Bagi kes Perak, Umno-BN melihat realiti mereka tidak mampu pertahankan kedudukan. Rakyat sudah hantar mesej jelas tolak Umno-BN dan jika mereka nak mengharapkan pilihan raya akan datang iaitu yang ke-13, mereka tidak mampu dan bimbang akan kalah lagi. Maka peluang di Perak, mereka rampas kuasa.

Bila ia berlaku, rakyat Perak rugi. Pentadibiran 'jem'. Mesyuarat exco seminggu sekali untuk membela rakyat tidak dapat dibuat. Pejabat MB yang selalunya dikunjungi rakyat untuk selesaikan masalah sudah tidak berfungsi. Pegawai kerajaan negeri menunggu arahan dan polisi tidak berjalan..Gaji dibayar tetapi pentadbiran sangkut. Pelabur takut. Yang rugi ialah negeri dan rakyat.

Manakala untuk mempertahankan kuasa ianya melibatkan proses mahkamah yang mana ianya tidak boleh diselesaikan dalam masa yang terdekat. Selagi tidak bubar DUN, mahkamah akan teruskan kes tapi ada tangguh-tangguh, rayu dan rayu sehinggalah ke pilihan raya 13 akan datang.

Umur dewan DUN Perak berakhir 13 Mei ini. Genap 6 bulan jika tidak ada sidang DUN. Saya bimbang dan gerun nostalgia 13 Mei 1969. Ianya 'Ankubah' akibat buruk politik perakus kuasa yang mengancam demokrasi dan kestabilan rakyat termasuk menjejaskan institusi Raja-raja Melayu.

5. Jelaslah Umno-BN bersalah porak-perandakan Perak tanpa sabar menunggu pilihan raya umum akan datang untuk kembalikan mandat pada rakyat?

Semua ini wajar diletakkan atas kesalahan Umno-BN kerana mereka yang merancang berlaku sehingga tercetus suasana yang tidak stabil di Perak. Angkara siapa? Bukan Nizar. Nizar menjadi mangsa.

Saya seru para penyokong dan pengundi bukan saja di Bukit Gantang tetapi di Bukit Selambau dan Batang Ai untuk menangkan Pakatan Rakyat dan tumbangkan Umno-BN. Beri undi pada Nizar yang dianiaya dan singkirkan perampas kuasa.

6. Strategi parti lawan meletakkan Nizar sebagai penderhaka dan tamak kuasa oleh parti lawan, bagaimana Dato' tafsirkan ini?

Bab dakwa Nizar derhaka hanyalah permainan politik Umno-BN, yang sengaja meletakkan istilah derhaka bukan pada tempatnya. Jawatan Menteri Besar bukan hak dia seorang tetapi parti yang juga dipilih oleh rakyat. Parti yang memilih Nizar menjadi MB dan parti didokong oleh rakyat dan rakyat restui beliau jadi MB dan jika dia letak, dia khianati amanah rakyat.

Lagi pun kenapa mesti letak jawatan? Apa kesalahan yang beliau buat? Pakatan Rakyat 28 kerusi manakala Umno-BN 28 kerusi dan 3 bebas, jadi kenapa perlu letak jawatan?

Ini bukan kes derhaka tetapi dimanipulasi Umno-BN. Sebenarnya, sejujur-jujurnya, siapa yang menderhaka kepada Raja, saya sendiri tahu pengalaman dan cerita itu tetapi tidak elok diperbesar-besarkan.

Kita mesti letak calon yang mampu meraih kemenangan. Dan ini kes kita kembalikan kepada rakyat. Maka Nizarlah menjadi calonnya sama ada untuk rakyat pilih atau sebaliknya. Ini bukan kali pertama. Sudah jadi amalan. Undang-undang pun tidak pernah menyekat.

Dalam kes ini Nizar dianiaya. Ianya dirujuk kepada rakyat untuk buat keputusan tetapi Umno-BN tidak mahu DUN dibubarkan. Rujuk pada rakyat. Letak Nizar sebagai calon dan jika rakyat pilih Nizar, ini bermakna rakyat bijak buat keputusan.

7. Bagaimana Dato' melihat watak Nizar itu sebagai pemimpin yang diterima rakyat, mampu menyatu-padukan kaum di samping menjadi pendakwah kepada agamanya?

Nizar salah seorang calon yang dikenali pasti sejak dulu lagi, mampu memimpin dunia dan akhirat bukan sekadar 'educated, engineer dan warak'. Dia mempunyai pakej seorang pemimpin yang berwibawa. Masyarakat Cina dan India juga suka kepada beliau.

Malah imam di Masjid Simpang Taiping pun meminta Nizar menjadi imam dan secara tidak langsung mengakui Nizar adalah lebih baik. Kealiman dia, kewarakan, kefasihan bahasa, ketrampilan dan karisma, semua kelebihan ada pada Nizar . Kenapa tak minta Tan Sri Muhyidiin, Dato' Zambry ke atau pemimpin Umno yang lain jadi imam?

8.Mengundi mempunyai kaitan rapat dengan Akhirat dan tanggungjawab umat Islam dalam memilih pemimpin, boleh Dato' jelaskan?

Mengundi adalah memilih pemimpin. Bagi pemimpin Islam, ianya tidak habis di dunia sahaja malah akan dipertimbangkan dan dipertanggungjawab oleh Allah sampai kiamat.Sehingga di kiamat ada satu episod dalam surah dalam Surah Al-Ahzab (33) : ayat 66 - 68 berikut ;

"Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam Neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.

"Dan mereka berkata lagi: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya! "

Ayat di atas jelas beri isyarat kepada persoalan memilih pemimpin kerana itulah kita mesti sentiasa berdoa.

"Ya-Allah, jadikanlah kepada kami, orang yang mengikut pemimpin-pemimpin yang bertaqwa."

Bagi kes ini, kita mesti pilih yang pentingkan perjuangan dunia dan akhirat.

Sumber: Harakahdaily.net


22 safar 1430

 
Pejuang Kecil © 2007 Template feito por Templates para Você