Followers

Wednesday 24 March 2010

USRAH PEMUDA APRIL : JANGAN ROBOHKAN DOKTRIN WALA’, TAAT DAN THIQAH DALAM PAS



Wala’, taat dan thiqah adalah kalimah yang begitu popular dalam gerakan Islam seperti PAS. Doktrin inilah yang menjadikan asas dan tiang kepada perjuangan PAS sehingga mampu bertahan sampai hari ini. Setiap ahli PAS sudah berbai’ah ketika mengisi borang ahli PAS. Walaupun ada pemimpin yang cabut lari, ahli tetap bersama dengan roda putaran PAS. Mereka tetap dengan PAS, kerana mereka taat selagi pemimpin tidak menyeleweng dengan menyertai pihak musuh. Wala’ di sini membawa maksud kesetiaan kepada perjuangan, jamaah dan kepimpinan. Sementara taat ialah mematuhi perintah dan segera melaksanakannya samaada pada masa susah mahupun senang, dalam perkara yang disukai atau dibenci. Thiqah pula ialah pengikut yang berlapang dada terhadap pemimpin mereka , pada kemampuan dan keikhlasan mereka, dengan sepenuh rasa ketenangan sehingga menghasilkan rasa kasih, hormat, penghargaan dan ketaatan.

Firman Allah:

ومن يتول الله ورسوله والذين امنوا فان حزب الله هم الغالبون

“Dan barangsiapa menjadikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya(walinya), maka sungguh, pengikut (agama) Allah itulah yang menang” (Al Maidah ayat 56)

Firman Allah:

فاولى لهم طاعة وقول معروف

“Taat dan mengucapkan perkataan yang baik adalah lebih baik bagi mereka” (Muhammad ayat 20-21 )

Firman Allah:

فلا وربك لا يؤمنون حتى يحكموك فيما شجربينهم ثم لا يجدوا فى انفسهم حرجا مما قضيت ويسلموا تسليما

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya” (Al Isra’ ayat 52)

Para sahabat r.a sudah diajar oleh baginda Nabi SAW ketika melakukan Baiat al-Aqabah yang terkenal sebelum baginda berhijrah.

Rasulullah s.a.w bersabda:

على السمع والطاعة فى النشاط والكسل, وعلى النفقة فى العسر واليسر,وعلى الأمر بالمعروف والنهى عن المنكر, وعلى ان تقوموا فى الله لا تاءخذكم فى الله لومة لائم, وعلى ان تنصرونى اذا قدمت اليكم وتمنعونى مما تمنعون منه انفسكم وازواجكم وابناءكم ولكم الجنة

“Berbaiahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di atas cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah swt tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbaiah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu, jadi untuk kamu ialah balasan syurga”.

Hebat macam mana seorang pemimpin kalau ia telah keluar dari PAS ia tidak akan ditaati. Contoh yang boleh kita lihat Datuk Asri haji Muda orang yang hebat ketika itu dengan kelicikan berpolitik dan seorang pidato yang ulung di negara ini. Tetapi apabila beliau keluar daripada PAS maka ia menjadi melukut di tepi gantang.

Apakah kita hendak kata bodoh kepada ahli PAS yang wala’ kepada arahan pimpinan, misalnya apabila calon yang bertanding di kawasan yang kuat PAS bukan dari calon PAS. Walaupun peringkat jentera parti bermatian mahu calon PAS yang bertanding namun atas pertimbangan kepimpinan tetap juga hendak meletakkan calon di kalangan rakan Pakatan Rakyat. Walaupun peringkat akar umbi tahu bahawa kekuatan jentera dan ahli di tangan PAS. Tetapi apabila keputusan sudah dibuat maka ia dipatuhi oleh ahli PAS. Mereka bertungkus lumus untuk memastikan calon rakan menang. Semuanya ini adalah contoh wala dan thiqah kepada pemimpin.

Dalam berjamaah mana ada keputusan yang diputuskan oleh jamaah semuanya ahli bersetuju. Kalau hendak tunggu semuanya bersetuju maka tidak akan bertemu keputusan.

Sama seperti dalam syarikat mana ada keputusan yang 100% di setujui oleh ahli mesyuarat. Hatta di zaman nabi SAW pun apabila keputusan diputuskan oleh nabi SAW ada yang tidak berpuas hati, contohnya peristiwa pembahagian ghanimah selepas daripada peperangan Hunaian.

Rasulullah saw telah berkenan untuk menyerahkan ghanimah kepada orang Quraisy yang baru memeluk Islam. Tindakan ini telah menyebabkan kaum Ansar kurang senang dan ada antara mereka mengatakan;

“Semoga Allah mengampuni Rasul-Nya, dia memberi Quraisy dan membiarkan kita padahal pedang-pedang kita masih menitiskan darah mereka”

Rasulullah saw mendengar berita tersebut dan baginda mengumpul kaum Ansar dan bersabda;

“Hai kaum Ansar, aku telah mendengar perkataan kamu! Bukankah ketika aku datang kamu masih dalam keadaan sesat kemudian Allah memberikan hidayah kepada kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu saling bermusuhan kemudian Allah menyatukan hati kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu masih hidup menderita kemudian Allah mencukupkan kamu dengan perantaraan aku?”

Setiap kali Rasulullah saw bertanya, mereka menjawab,

“Benar! Sesungguhnya Allah dan RasulNya lebih pemurah dan utama”.

Rasulullah saw meneruskan,

“Hai kaum Ansar, apakah kerana kamu marah kerana tidak menerima sampah dunia yang tiada nilainya? Dengan “sampah” itu aku hendak menjinakkan suatu kaum yang baru sahaja memeluk Islam sedangkan kamu semua telah lama Islam. Hai kaum Ansar, apakah kamu tidak puas melihat orang membawa pulang kambing dan unta sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah saw? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang adalah lebih baik dari apa yang mereka bawa.”

Ini berlaku di zaman nabi SAW yang masih menjadi contoh yang hjidup pada ketika itu. Maka apalah sangat di zaman kini yang semakin jauh daripada contoh nabi SAW.

Kerana itulah perjuangan PAS memastikan keimanan sentiasa menjadi tulang belakang dalam perjuangan PAS yang dapat membentuk jiwa dan roh yang hidup dengan sinar islam. Kerana dalam perjuangan yang panjang dan jauh pasti akan hanya mendatangkan keletihan bagi jiwa-jiwa yang tidur dan lemah, kosong daripada nilai keimanan.

Namun diyakini, jiwa yang hidup dan tersinar darinya pancaran Islam yang tidak putus pasti akan dapat mendatangkan kekuatan yang akan memastikan setiap ahli itu akan terus berada di dalam jalan juang yang panjang dan jauh ini. Dalam medan pertempuran kita menghadapi musuh, kita memerlukan persiapan dari pelbagai segi: bilangan yang cukup, keperluan yang lengkap dan kesediaan fizikal yang mantap. Namun jangan kita lupa akan persiapan dasar yang paling utama iaitu ketaqwaan dan keimanan.

Maka jangan kita abaikan bekalan paling utama dalam perjuangan kita iaitu tarbiyah ketuhanan. Kerana ini adalah pendorong yang dijanjikan jaminan kejayaan oleh Allah sebagaimana firmannya:

ان الله مع الذين اتقوا والذين هم محسنون

“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan” (An-Nahl:128)


Firman Allah lagi:

قل كل من عند الله

“Katakanlah: Semuanya (datang) adalah dari sisi Allah” (An-Nisaa:78)

Kalau pemimpin tidak ikhlas mereka akan lari, kerana PAS bukan sesuai untuk orang jahat. Jangan pula kita menuduh bahawa wala’ , thiqah ini candu dalam PAS untuk membolehkan pemimpin melalikan pengikut.

Ini satu tuduhan yang berat. Perlu disedari kebanyakan ahli PAS ini mereka juga pemimpin, sekurang-kurangnya pemimpin di peringkat cawangan atau lajnah Kalau kita tidak taat nanti orang pula tidak taat kepada kita, akhirnya yang hancur ialah PAS, yang ketawa ialah umno BN Walaupun kita marah kepada pemimpin tetapi jangan kita merobohkan “Intitusi” wala’ taat dan thiqah.

Kita boleh melahirkan rasa tidak puas hati kepada jamaah di majlis yang sepatutnya, tetapi bukan dalam blog. Menceritakan keaiban parti dalam blog sama seperti mendedahkan keaiban suami isteri kepada musuh dan musuh akan adu domba supaya ia menceraikan isteri dan dia akan berkahwin dengan bekas jandanya.

Faedah Taat, wala’ dan thiqah -Ahli dapat menunai tugas mengikut arahan parti supaya tidak menyalahi strategi parti
• PAS mampu mengerahkan ahli untuk turun demo yang besar seperti BERSIH, Mansuh ISA, PPSMI
• PAS mampu mengerahkan tenaga dalam setiap kali pilihanraya tanpa diupah -Supaya tidak timbul jamaah dalam jamaah.
• Dapat bertindak secara jama’i bukan individu. -Supaya kesannya terasa kepada jamaah dan masyarakat kerana ia dilakukan oleh parti.
• Seandainya berlaku kegagalan ia ditanggung oleh jamaah bukan oleh individu.
• Dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang keterlaluan, ada orang yang lambat dan ada yang sederhana.

Sejarah membuktikan mereka tidak taat, wala’ dan thiqah kepada jamaah akhirnya menyertai umno. Teringatkah kita tokoh-tokoh seperti ustaz Mohd Nor Idris, ustaz Mustafa Taib, Wan Ismail Machang yang lantang mengkritik Pas dan pemimpin kerana bertahalluf dengan Parti Semangat 46 kerana parti ini adalah warisan umno. Akhirnya mereka bersama dengan umno apabila PAS berpisah dengan parti Semangat 46.

Adakah mampu PAS untuk melakukan demikian kalau kita cuba memusnahkan “institusi doktrin” yang sudah lama dibina. Umno gagal meroboh daripada luar, jangan pula kita sendiri yang hendak membantu merobohkannya dari dalam. Umno gagal hendak membina doktrin ini, mereka hanya boleh hidup dan bernafas dengan wang dan kuasa sahaja. Umno tidak ada wala’, taat dan thiqah, tetapi PAS ada perkara ini.


Friday 12 March 2010

Allah Dengar Rintihan Tuan Guru Nik Aziz Dan Rakyat Kelantan



Tepat jam 3.45 petang hujan turun mencurah-curah di Alor Setar, Kedah. Sebelum ini suhu setiap hari kadang-kadang meningkat sehingga 36 darjah celcius - panas membahang dimana-mana seluruh Kedah, kecuali di dalam bilik hawa dingin.

Walaupun terlewat hampir 8 jam, tetapi AlhamdulilLah setelah Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz Nik Mat melakukan solat istisqa' di Padang Perdana bersebelahan jalan berhadapan dengan Stadium Sultan Mohamad IV pada jam 8.30 pagi 12 Mac 2010, hari Jumaat, hari ini.

Di Kelantan di beritakan hujan mula turun ketika bacaan Al-Fatihah dikumandangkan oleh Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz pada rakaat pertama solat tersebut.

Saya mewakili warga Kedah mengucapkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah swt. yang telah menurunkan hujan.

Terima kasih diucapkan kepada 2,000 orang yang telah berpuasa pada hari Khamis dan bersedekah sehari sebelum program solat Istisqa' diadakan seperti di arahkan oleh TG Nik Aziz dan tidak di lupakan khusus kepada Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz Nik Mat yang telah mengimami solat.

Persitiwa ini insyaAllah akan menambahkan keimanan kita kepada Allah swt mengenai perkara ghaib.



Alif Lam Mim,

Inilah kitab yang tidak ada keraguan padanya.

Menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa.

Iaitu mereka yang beriman dengan perkara ghaib, mengerja solat dan mereka yang
menafkahkan harta.

Sumber :http://arisawang.blogspot.com/

Senarai Baru Exco Kedah


1. YAB. DATO’ SERI USTAZ AZIZAN BIN ABDUL RAZAK
Menteri Besar Kedah Darul Aman
Pengerusi J/K Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi & Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Keselamatan Negeri, Kewangan, syarikat Milik Kerajaan

2. YB. DATO’ IR HAJI PHAHROLRAZI BIN HAJI ZAWAWI
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Pengerusi J/K Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar & Basmi Kemiskinan.

3. YB. DATO’ HAJI MOHAMED TAULAN BIN MAT RASUL
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Pengerusi J/K Agama, Pelajaran dan Koperasi

4. YB. DATO’ IR AMIRUDDIN BIN HAJI HAMZAH
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Pengerusi J/K Industri & Pelaburan, Pertanian & Industri Asas Tani, Bioteknologi. Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga

5. YB. DR. HAJI HAMDAN BIN MOHAMED KHALIB
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Pengerusi J/K Belia & Sukan, Kesenian & Warisan, Kebudayaan

6. YB. USTAZAH HJH SITI ASHAH BT HAJI GHAZALI
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Pengerusi J/K Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat
7. YB. DR. ISMAIL BIN SALLEH
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Pengerusi J/K Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan. Sains & Inovasi, Teknologi Maklumat & Komunikasi

8. YB. ENCIK MANIKUMAR SUBRAMANIAN
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Pengerusi J/K Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam.

9. YB. ENCIK LIM SOO NEE
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Pengerusi J/K Perdagangan dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia.

10. YB. USTAZ HAJI ABD GHANI BIN AHMAD,
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Pengerusi J/K Penerangan, Pembangunan Usahawan.

11. YB. TAN JOON LONG @ TAN CHOW KANG
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Pengerusi J/K Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan.


Wednesday 10 March 2010

Syeikh Al Azhar meninggal dunia


Al fatihah

Buat Al Marhum Al Imam Syeikh Mohamed Sayed Tantawi 82, yang telah meninggal dunia di Riyadh - ibu negara Arab Saudi - selepas mengalami serangan sakit jantung - Al-Jazeera.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya


Wednesday 3 March 2010

SAMBUTAN DUA TAHUN PAKATAN RAKYAT DI NEGERI KEDAH


22 safar 1430

 
Pejuang Kecil © 2007 Template feito por Templates para Você