Followers

Friday 31 July 2009

Al Fatihah : Yb Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman


Sumber gambar:sharpshooterblogger.blogspot.com


Seorang lagi pejuang Islam kembali ke Rahmatullah. Beliau adalah ADUN tunggal PAS Pulau Pinang yang memenangi DUN Permatang Pasir 3 penggal berturut-turut bermula pada tahun 1999. Beliau meninggal dunia akibat sakit jantung pada kira-kira jam 6.30 pagi tanggal 31 Julai 2009. Almarhum adalah mantan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.




"Semoga Allah merahmati Almarhum dengan rahmat dan ketinggian"


Pejuang Kecil


10 Syaaban 1430
5.59 pagi, Rumah Kedah, Hayyu 'Asyir, Kaherah Mesir.

Saturday 18 July 2009

Al Fatihah : Almarhum Syeikh Redha Salim Kembali Kerahmatullah


Almarhum Syeikh Redha Salim, Syeikh dan Qurra' Maahad Qiraat Al Azhar Shoubra telah kembali ke sisi Allah yang Maha Pencipta pagi tadi, hari Sabtu 25 Rejab 1430 bersamaan 18 Julai 2009 di kediaman beliau di Mumbiyadhah, Shoubra. Almarhum disemadikan di kampung kelahiran beliau di Qalyubiah. Pemergian Syeikh amat dirasai oleh seluruh warga Maahad kerana Almarhum merupakan salah seorang guru yang memiliki sanad yang tinggi dalam periwayatan Al Quran Al Karim.

"Semoga Allah Merahmatimu wahai Syeikh Yang Tercinta"

Akukum

pejuang Kecil

Rumah Kedah, Hayyu 10, Kaherah, Mesir

4.39 petang, 25 Rejab 1430

Al Fatihah : Sedikit Bingkisan Riwayat Mengenai Syeikh Redha Salim

Buat semua pencinta Syeikh Redha Salim, disini saya sertakan sisipan bingkisan cerita mengenai Almarhum Syeikh oleh Aidil Khalid seorang pelajar perundangan di UiTM Shah Alam yang pernah bertalaqqi dengan Almarhum.

Artikel asal boleh anda dapati di sini

Pengalaman Bertalaqqi Dengan Syeikh Buta

Waktu ayah Ideal bekerja di Mesir dahulu (1997 – 2003), Ideal sempat juga merasai pengalaman bertalaqqi dengan seorang Syeikh di sana. Syeikh ini mengajar Al Quran di Al Azhar, di Syubra. Yang istimewanya, syeikh ini buta orangnya. Matanya kabur habis, sehinggakan kalau nak berjalan pun, dia perlu dipapah perlahan-lahan sambil dia memegang tongkat.

Tetapi di sebalik kecacatannya itu, Tuhan memberikan dia anugerah lain, yang jarang-jarang dimiliki orang. Dia hafaz satu Al Quran. 30 juzuk di hujung mindanya sahaja. Jadi, kalau Ideal bertalaqqi dengannya, Ideal akan duduk di sebelahnya, di atas sofa buruk di ruang tamu rumahnya yang daif itu, dan dia akan mendengar. Setiap patah-patahnya, panjang pendek, dengung serta makhrajnya, dia hafaz habis. Sekecil mana pun kesalahan yang Ideal buat pasti dia perasan, dan akan ditegurnya.

Yang lebih hebat lagi, syeikh yang bernama Syeikh Redha ini, tidak perlu menumpukan sepenuh perhatiannya waktu mendengar. Kadang-kadang, waktu Ideal bertalaqqi, dia berbual-bual dalam telefon. Kadang-kadang dia makan dan minum. Masa baru-baru dulu, Ideal ingatkan dia tak endahkan bacaan Ideal. Tapi ternyata Ideal silap. Sebab apabila Ideal tersalah saja baca, dia akan langsung menegurnya. Kalau dia sedang berbual dalam telefon, dia akan berhenti bualnya sebentar, dan langsung menegur kesalahan dalam bacaan Ideal itu. Selepas itu dia akan sambung kembali bualannya dalam telefon itu.

Memang menakjubkan, tapi itulah kuasa Tuhan. Ditariknya nikmat mata (yang selalu terdedah pada dosa), lalu diberikannya nikmat lain yang lebih bermanfaat. Nikmat minda dan hati yang hafaz dengan begitu hebat setiap patah Al Quran. Dan telinga yang mendengar dengan begitu ajaib.

Satu kenangan lucu Ideal dengannya, Syeikh Redha ini pantang berjumpa dengan kamera. Kalau dia tahu dia sedang diambil gambar, pasti dia akan berposing habis. Posing maut! Pernah satu kali, Ideal bertalaqqi di rumahnya yang daif, Ideal duduk di atas sofa. Syeikh Redha pula berbaring mengiring, menghadap Ideal di sofa yang bertentangan, sambil mendengar bacaan Ideal. Adik Ideal mengeluarkan kamera, dan mula menangkap gambar Ideal. Sungguh pun Syeikh Redha tak nampak, tapi bunyi ‘kesyek’ kamera dapat didengarnya. Dia pun tanya, bunyi apa tu. Apabila diberitahu, adik Ideal mengambil gambar, dia langsung bangun dari baringnya lalu marah-marah. “Kenapa ambil gambar masa keadaan saya macam tu tadi?” Kemudian dia datang dan duduk di sebelah Ideal, berposing. Lalu dia berkata, "okey, sekarang ambillah gambar lagi.”

Mengaji dengan orang Arab ni, lain dari mengaji dengan orang Melayu kita. Orang Arab sangat menitik-beratkan aspek makhraj. Kalau orang Melayu, panjang pendek dan dengungnya saja yang dititik beratkan, makhrajnya tunggang-langgang sebab lidahnya masih sebutan Melayu. Sebab itu, jangan terkejut kadang-kadang ustaz-ustaz yang mengajar quran di Malaysia pun, kalau pergi bertalaqqi ke Mesir, bacaannya akan jadi tersangkak-sangkak di hadapan syeikh, sebab banyak sangat ditegur.

Alhamdulillah, Ideal sempat bertalaqqi sehingga khatam dengan Syeikh Redha. Majlis khatam quran diadakan di rumah Ideal di pulau Zamalek, Kaherah. Waktu itu bulan Ramadan. Dan selesai majlis khatam, kami berbuka dengan hidangan istimewa, pizza, yang menjadi kegemaran Syeikh Redha. Memang sengaja emak Ideal sediakan pizza untuk majlis tersebut, sebab semua pun maklum, Syeikh Redha pantang jumpa dengan pizza. Pasti dia akan makan dengan penuh selera.

Habis majlis, Ideal dianugerahkannya dengan sijil sanad. Tertulis nama Ideal, diikuti dengan nama Syeikh Redha, lalu diikuti pula dengan susur galur nama-nama guru-guru terdahulu, yang bersambung terus, sehingga nama nabi Muhammad, dan kemudian Jibril, dan terus pada Allah Swt.

Berdoa waktu majlis khatam Quran...


Thursday 16 July 2009

Dr. Marwa As Syarbini : Syuhada' Hijab

Dunia Islam akan mengenangmu sepanjang zaman sebagai "Syahidah Hijab". Ummat Islam pasti tidak kan melupai 18 tikaman yang membunuhmu demi mempertahankan hijab yang suci.












Koleksi klip video mengenai dr.Marwa













"Bangunlah wahai ummat pertahankanlah Islam perjuangkan dan warisilah cerita Marwa "Syahidah Hijab" kepada anak-anak kalian agar ia kekal harum sepanjang zaman"

Akhukum

Pejuang Kecil

7.27 mlm, 23 Rejab 1430
Rumah Kedah, Hayyu 10, Kaherah Mesir


Thursday 9 July 2009

Mengenang Natrah


Tragedi Natrah (Sorotan Beberapa Fakta)

Rusuhan Natrah atau Tragedi Natrah, ( Maria Hertogh) berlaku di Singapura pada 1950 kerana pertembungan antara menuntut hak dua agama iaitu Islam - Kristian dan dua budaya iaitu Barat - Timur.

Natrah dilahirkan tanggal 1937 di Jawa, dipelihara oleh ibu angkatnya Che Aminah ketika perang dunia kedua, ketika itu beliau berumur lima tahun.

Namanya Natrah atau Nadra Maarof . Bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh dan ibunya Adeline Hunter.

Seramai 18 orang mati syahid dan 173 orang cedera ketika bertempur dengan tentera dan polis British demi mempertahankan aqidah Natrah.Tumpuan utama ialah Masjid Sultan di Singapura.

Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama 2 hari 2 malam.


video ini dihasilkan untuk PUISI 2008(perhimpunan ukhuwah islamiah seluruh Ireland)

Punca

Orang Melayu, India Muslim dan orang keturunan Indonesia di Singapura tercabar apabila Natrah diletakkan disebuah gereja atau menyamai fungsi gereja. Mereka beranggapan ini adalah 'Perang Jihad'untuk menyelamatkan agama dan maruah Islam.

Dalam Undang-Undang Syariah Islam sebagaimana Sunnah Rasulullah, perempuan Islam berumur 13 tahun dibenarkan berkahwin. .Suaminya pula Mansor Adabi seorang guru berusia 22 tahun. Bapa angkat Mansor Adabi ialah M.A.Majid seorang India Muslim. Mereka bernikah "gantung".

Tujuan pernikahan ini dengan andaian untuk menyelamatkan Natrah daripada dibicarakan semula di Singapura. Tetapi perkahwinan ini menjadi 'disadvantage' kerana Undang-Undang Belanda / British tidak membenarkan perempuan bawah 18 tahun berkahwin.

Pihak berkuasa British tidak memberi fokus kepada sensitiviti agama dalam masyarakat majmuk. Natrah yang telah beragama Islam dan amat disayangi oleh Che Aminah telah diletakkan di sebuah tempat berhampiran sebuah gereja.

Turut terlibat

* Karim Ghani ditahan oleh polis dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. 'Nadra Appeal Committee' ditubuhkan di Singapura. * Ogos 1951 - Sept. 1952 - Profesor Dr. Burhanuddin al-Helmy, presiden Parti Islam SeMalaya (PAS) ditahan di Pulau Sekijang, Singapura kerana dituduh menjadi dalang dan pembakar semangat rusuhan ini.
* Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi peguam bela kes Natrah ini di Mahkamah Sivil Singapura.
* MA. Majid seorang India Muslim menjadi sumber kewangan untuk perbicaraan.


NATRAH kejatuhan si perawan di kota temasek... jeritannya yang tak bersuara menakluki kita semua hingga mencetuskan sengketa.(Lagu ini pernah diharamkan kerajaan Malaysia)


Kronologi tragedi Natrah


* 1937 24 Mac Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertog

* Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.

* Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.

* 15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.

* 1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.

* September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.

* 19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.

* 12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.

* 22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,Singapura

* 24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura

* 28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.

* 19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura .

* 28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill

* 1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.

* 2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.

* Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.

* 12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.

* 12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.

* 13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.

* Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.

* 15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.

* Di rumahnya di Bergen Op Zoom , kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari. Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.

* Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.

* 9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.

* 10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.

* 17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.

* Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh'.

* 25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah

* 20 Julai 1953 Surat Bertha kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.

* 1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Bertha yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.

* 26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Bertha ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.

* 20 April 1956 Bertha berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.

* 15 Februari 1957 Bertha bersalin anak lelaki pertama. Bertha mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline, Hands dan Paul.

* 20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Bertha menceritakan dia sudah berkeluarga.

* 3 Februari 1959 Surat Bertha kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.

* 25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Bertha dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Bertha, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Bertha telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.

* 16 Ogos 1976 Bertha didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Bertha dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Bertha ditangkap.

* 26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.

* 1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an

* Disember 1979 Bertha berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Bertha dan yang dikatakan bersepakat dengan Bertha untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht, Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.

* 1983 Bertha bercerai dengan Tom Ballermans

* 1984 Bertha masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.

* 15 September 1984 Bertha meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga... Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.

* Bertha kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarkat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Bertha hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.[perlu petikan]

* Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyayian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.

* 9 Julai 2009 - Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda.

Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama.

Rujukan

* Fatini Yaacob, majalah Dewan Masyarakat, DBP, April 1989 hlm 20.
* Maria Hertogh, pulang ke Malaysia pada 1999 berumur 63, untuk sebuah dokumentari TV Belanda De Affare

sumber- Wikipedia

"Kita serahkan natrah Kepada Allah"

Akhukum

pejuang Kecil

6.57 pagi 17 Rejab 1430
Khazandarah, Shoubra, Kaherah Mesir


Saturday 4 July 2009

Sahabat Turki Sering Bercerita Tentang Syeikh Fethullah Gulen

Mengenang kenangan indah sewaktu melawat Turki tahun lalu membuatkan diri sering mengingati seorang tokoh ilmuan yang selalu disebut-sebut oleh sahabat-sahabat dari turki sepanjang lawatan.

Mereka kelihatan cukup berbangga memiliki seorang tokoh ilmuan hebat dari Turki yang bernama Syeikh Muhammad Fethullah Gulen. Seorang tokoh yang dibenci pemerintah sekular sebelum kemenangan AKP mengambil alih pemerintahan.Namanya seiring Dr. Erbakan yang pernah digulingkan kerajaan yang dipimpinnya oleh tentera Turki atas alasan beliau cuba menjalankan proses Islamisasi di Turki.



Syarahan dalam bahasa Turki yang disampaikan oleh beliau

Kami sering cuba mencungkil adakah tokoh yang sering disebut oleh sahabat-sahabat turki itu adalah tokoh gerakan yang tersusun atau beliau hanya sumber inspirasi gerakan massa yang tiada organisasi khas. kami juga cuba melontar persoalan adakah "Khidmah" yang dinyatakan itu adalah organisasi khas yang membawa hasrat Syeikh Fethullah Gulen.

Jawapan yang diterima agak kurang memuaskan. Omar Abey dan fateh Abey sering mengelak dari mengaitkan khidmah dengan mana-mana unsur arus politik massa di turki.Tetapi kesemua sahabat turki yang turut bersama dalam lawatan tersebut pro kepada Parti pemerintah sekarang iaitu AKP bahkan ada yang mengakui menjadi sukarelawan parti tersebut.



Syair "Sultanim" yang dikarang oleh Syeikh fethullah Gulen

Kesimpulan yang boleh dibuat ialah mereka cuba mengelakkan gerakan massa yang selalu diawrwarkan mereka sebagai pembawa hasrat Syeikh Fethullah Gulen itu dikaitkan dengan politik tetapi pada masa yang sama mereka terlibat menyokong dan mendokong penuh Parti Pemerintah yang membawa cita-cita Islam iaitu AKP. Sahabat turki saya yang paling rapat Mahmud Abey pernah mengakui ia adalah salah seorang sukarelawan AKP.

Siapakah Syeikh Fethullah Gulen

Nama Muhammad Fethullah Gulen bukanlah nama yang asing di kalangan ahli gerakan Islam moden. Ketokohan Gülen, bukan hanya dihormati oleh majoriti ummat Muslim di dunia ini bahkan beliau dihormati oleh kalangan non-Muslim dan Yahudi. Beliau boleh diterima di pelbagai lapisan masyarakat dan agama kereaa pemikiran-pemikirannya yang dianggap moderat dan menjadi pengimbang para pemikir Islam yang dianggap ekstrim dan radikal oleh barat.

Syeikh Gulen banyak melontarkan pemikiran-pemikirannya tentang pembaharuan di dunia Islam dan lebih mengutamakan dialog dan usaha perdamaian antara penganut agama dalam menyebarkan ajaran dan nilai-nilai Islam. Hasil pemikirannya kemudian menjadi sebuah gerakan yang ia wujudkan dalam bentuk lembaga-lembaga pendidikan,amal, media massa cetak dan elektronik, gerakan pelajar dan kelompok-kelompok lobi, bahkan beliau membantu kearah berdirinya kesatuan para wartawan dan penulis di Turki.

Cendikiawan Muslim yang Anti Kekerasan

Syeikh Muhammad Fethullah Gulen dilahirkan di Erzurum, Turki tanggal 1941. Sejak kecil beliau lebih menumpukankan pendidikannya dalam bidang agama Islam. Seusia 14 tahun beliau sudahpun berani memberikan ceramah keagamaan dan pada usia 18 tahun beliau telah mendapatkan pengiktirafan sebagai pendakwah. Kerjanya sebagai pendakwah dimulai di kota Izmir. Di kota inilah Syeikh Gulen mula memperkenalkan pemikiran-pemikirannya dan mentarbiah para pengikutnya. Nama Syeikh Gulen semakin dikenali ramai dan beliau sering diundang memberikan ceramah di masjid- masjid sekitar Turki. Beliau juga seriang diundang dalam pertemuan-pertemuan formal dan informal para pegawai kerajaan.

Tetapi Syeikh Gulen lebih menumpukan dakwahnya di kalangan pelajar sekolah menengah dan mahasiswa. Pada kelompok muda inilah Syeikh Gulen menyampaikan pemikirannya tentang pembaharuan di dunia Islam, perdamaian, dialog antara umat beragama dan anti kekerasan.

Syeikh Gulen juga menekankan pentingnya umat Islam mengikuti perkembangan teknologi dan mengembangkan sistem perekonomian dengan cara membangunkan perusahaan multinasional, membuka gedung perniagaan dengan memanfaatkan kemajuan komunikasi dan hubungan massa.

Dalam setiap ceramahnya, beliau banyak mengadaptasi pemikiran-pemikiran tokoh cendikiawan Muslim Turki, sperti Syeikh Said Nursi tentang masyarakat Muslim yang maju dan beragama. Untuk itu, umat Islam harus mengembangkan ilmu pengetahuan dan teknologi sehingga mampu bersaing dengan masyarakat Barat.

Beliau adalah tokoh Islam yang menentang aksi-aksi keganasan atas nama agama. Ia mengakui adanya aksi-aksi terorisma, tapi ia menolak keras jika terorisma diidentitikan dengan Islam. Gülen menegaskan, seorang Muslim tidak akan melakukan serangan keganasan, kerana tindakan seumpama itu bertentangan dengan ajaran Islam yang damai.

Oleh kerana itu, ketika berlakunya serangan 11 September 2001 di Amerika , beliau mengecam keras serangan itu. Pemikiran dan sikap Syeikh Gulen yang anti kekerasan mengundang kekaguman di kalangan masyarakat Barat. Gerakan Islam yang diasaskan oleh Syeikh Gulen menjadi perhatian dan bahan kajian para ahli akademik dan media massa di Barat. Presiden Marywood University, Pennsylvania, Ann Munley memuji Gerakan Gulen yang dinilainya telah banyak memberikan kontribusi bagi dunia pendidikan bukan hanya di Turki malah di seluruh dunia. Munley memandang Gulen sebagai tokoh Islam yang telah memberikan pengorbanan yang besar dalam dunia pendidikan bagi masyarakat dari beragam etnik dan agama.

Sehingga kini, terdapat lebih kurang 500 buah institusi pendidikan yang dikelolakan oleh Gerakan Gulen, yang tersebar di 90 negara Euroasia, Amerika Utara hinggalah ke Afrika.
Gulen juga dihormati di komuniti Yahudi. Rabai Jack Bemporad, Pengarah "Center for Interreligious Understanding" menyatakan Gulen sebagai tokoh gerakan Islam dan intelektual dari Turki yang telah memberikan dasar yang penting untuk mewujudkan dunia yang damai dan persaudaraan yang harmoni untuk seluruh manusia.

Dalam kajian yang dilakukan majalah Foreign Policy, Syeikh Fethullah Gulen terpilih sebagai tokoh pemikir nombor satu dunia. Ketika diwawancara tentang hasil kajian tersebut, dengan rendah hati Syeikh Fethullah Gulen menyatakan bahawa beiau tidak pernah membayangkan atau berharap untuk terpilih sebagai orang penting di persada dunia.

"Saya selalu berusaha untuk menjadi hamba Allah yang rendah hati. Qur'an mengajarkan bahawa umat manusia diciptakan untuk mengakui dan menyembah Allah . Dalam dimensi dunia, umat manusia diminta untuk menghindari pertikaian dan pertumpahan darah. Untuk menyantuni semua makhluk dan manusia dengan rasa kasih sayang. Inilah falsafah saya ..." kata Syeikh Gulen.

Ancaman Bagi Golongan Sekular Turki

Meskipun dunia Islam dan Barat mengakui Gerakan Gulen sebagai gerakan kedamaian dan bukan gerakan politik, ia tetap dianggap sebagai ancaman oleh kelompok-kelompok yang radikal dan kelompok-kelompok sekular di Turki. Kelompok Islam yang menggunakan pendekatan radikal mengkritik pemikiran Syeikh Fethullah Gulen tentang konsep dialog antara umat beragama yang diutarakannya. Kritikan itu memuncak ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Paus Paulus II.

Syeikh Gulen juga pernah menjalani proses pengadilan yang cukup panjang di Turki pada tahun 2000, setelah pemerintah sekular Turki menuduhnya merencanakan rampasan kuasa dan ingin menjadikan Turki sebagai negara Islam. Namun tuduhan itu tak mampu dibuktikan dan pada tahun 2006, beliau dibebaskan dari segala tuduhan.

Sejak tahun 1998, Syeikh Gulen sudahpun menetap di Amerika. Pada Jun 2008, beliau mengajukan permohonan sebagai penduduk tetap di Amerika tapi pihak USCIS (U.S. Citizenship and Immigration Services) menolak permohonan itu. Kemudiannya Syeikh Gulen memohon semula dan pada Ogos 2008, Pihak Mahkamah Amerika akhirnya memerintahkan USCIS untuk menunaikan permohonan beliau dengan status tenaga kerja asing dan warga negara asing yang memiliki kemampuan khusus. Syeikh Fethullah Gulen kini menetap di Pennsylvania.

"Semoga Allah mengurniakan umur dan kesihatan yang baik buat Syeikh Gulen"

Akhukum

Pejuang Kecil

1.20 ptg, 11 Rejab 1430
Rumah Kedah , Hayyu 10, Kaherah Mesir


22 safar 1430

 
Pejuang Kecil © 2007 Template feito por Templates para Você