Thursday, 10 September 2009

Khasiat Mandi : Mandilah selalu

Oleh : ahmad mohni
Picture by Dragonfly3228


KAJIAN terbaru berkaitan dengan mandi mendapati ia bukan saja bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran, tetapi menjauhkan stress serta berperanan penting meningkatkan sistem kekebalan tubuh.. Penyelidikan yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine menunjukkan penderita diabetes yang menghabiskan masa selama setengah jam berendam dalam air suam dapat menurunkan tingkat gula darah sekitar 13 peratus.

Kajian di Jepun pula menunjukkan 10 minit berendam dalam air panas dapat memperbaiki kesihatan jantung terutamanya untuk lelaki.

Berikut beberapa manfaat mandi kepada individu yang mengamalkannya.

Mengeluarkan racun:

Mandi air panas sekitar 32 hingga 35 darjah Celsius membuka ruang yang dapat membantu mengeluarkan toksin. Mandi air panas membantu menurunkan tingkat gula darah, menyembuhkan sakit otot dan membantu menjaga usus besar supaya bekerja dengan baik. Waktu yang dianjurkan ialah selama 10 hingga 20 minit.

Mandi air sejuk sangat baik untuk meredakan ketegangan. Ia dapat menyempitkan darah dan meningkatkan tingkat gula darah. Suhu yang dianjurkan ialah sekitar 12 hingga 18 darjah Celsius.

Jangkitan kulit : Penyakit kulit tertentu seperti ruam atau gatal-gatal boleh diatasi dengan menambahkan soda penaik (sodium bicarbonate) ke dalam air mandian. Ia bertindak sebagai antiseptik. Isikan air ke bekas mandian dan tambahkan soda penaik dan aduk sehingga rata. Digalakkan untuk berendam selama 10 hingga 20 minit.

Selesema dan sakit kepala : Merendam kaki dalam air panas membantu menyembuhkan selsema, sakit kepala dan menyegarkan kembali kaki yang lelah. Masukkan air panas secukupnya dalam bekas sehingga menenggelamkan pergelangan kaki kemudian tambahkan beberapa titis minyak seperti lavender, peppermint atau lemon. Selepas basuh dengan air sejuk.Lakukannya selama 10 hingga 20 minit.

Insomnia : Merendamkan kaki dalam air dingin sangat baik kepada anda. Yang mempunyai masalah imsonia atau memiliki masalah tidur. Masukkan kaki sehingga ia merasa dingin. Perubatan ini berguna bagi kaki lelah,pendarahan hidung, selsema dan sembelit.

Dinukil dari : idhamlim.blogspot.com

Wednesday, 9 September 2009

Ijtima' Aidilfitri Anak-Anak Kedah : Jom Pi Ramai-Ramai


Mari sama-sama kita meriahkan Ijtima' Aidilfitri 09. Berukhuwwah sambil beramah mesra dengan kepimpinan Kerajaan Negeri serta mendengar perkembangan terkini isu Kerajaan Kedah yang baru.

Jejak saudara kandung : Man bin Puteh bin Kamaruddin

"Seruan Titian Kasih Sempena Aidilfitri Yang menjelang Tiba"

Khidmat dan sumbangan anda amat membantu Pak Cik ini

Pagi ini pejabat ADUN Titi Serong dikunjungi oleh seorang Lelaki yang telah berada dipenghujung usia bernama MAN BIN PUTIH (77 tahun). Beliau mengadu mengenai kehidupan sebatang kara dan memerlukan bantuan dari pihak yang berwajib.

Disamping itu beliau sudi untuk diambil gambarnya dan memberi kebenaran kepada kami untuk menyiar kan sedikit biodata yang diingatinya bagi menjejaki saudara kandung yang masih mengenalinya.

Man bin Puteh dilahirkan di Sungai Dungun Bagan Serai hasil perkogsian hidup bapanya dengan ibu kandung bernama Sairah bt. Hj. Salam. Katanya ia sudah lama berpisah dengan ibunya dan Ayah kandung bernama PUTEH BIN KAMARUDDIN yang meninggal sekitar 20 tahun lepas. Menurutnya ayahnya meninggal di Selingsing Bagan Serai yang juga imam mesjid selingsing

Menyingkap kehidupan sebatang karanya, beliau sebelum ini menumpang selama 20 tahun disebidang tanah pada alamat : No 19, Jalan Syarikat, Kuala Bagan Tiang yang terletak dalam DUN Titi Serong. Perkongsian hidup selama 20 tahun lebih yang tidak memiliki zuriat, sekitar setahun yang lepas isteri tercintanya meninggal dunia dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bagan Tiang.

Pada masa sekarang ia telah berpindah dari alamat diatas sejak 2 bulan lepas dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Sejak seminggu ini dia tinggal sementara di Surau Parit Hj. Amin.

Menceritakan pengalaman selama dua bulan ini sempat ia mengikuti sebuah pertubuhan dakwah dan sempat mengikutinya selama tiga hari, tambahnya " saya tak tahan makan dalam satu talam". namun saya mencelah "baguslah itu macan cara sunnah ".

Beliau juga menyatakan minatnya untuk memasuki mana-mana pusat pengajian pondok bagi menghabiskan sisa usianya. sekiranya ada yang sanggup membiayainya.

Bagi sesiapa yang mengenali atau merasakan mempunyai hubungan dengan Man bin Putih dharapkan menghubungi Pejabat ADUN Titi Serong di Taman Wawasan Parit Buntar atau menghubungi no 05-7165340 / 019-5759697.

Sumber :idhamlim.blogspot.com

Tuesday, 25 August 2009

Darihal isu arak: Tahniah Khartika!

Oleh : H Fansuri ibnuamir@yahoo.com

Ketika di zaman kuliah dulu, seorang pelajar Aspirasi-Umno dengan tiba-tiba membela Dr Mahathir, khasnya dalam hal permit lesen penjualan arak.

"Engkau nak salahkan Mahathir sebab dia luluskan lesen perniagaan arak, tetapi kau kena ingat beb! Tuhan juga yang menciptakan anggur," kata siswa itu.

Pandangan ini tak dapat disanggah memandangkan cafe Desasiswa Gemilang di USM itu adalah lubuk emas Aspirasi. Lagipun beliau bersama rakan-rakannya duduk di meja yang sama, sedangkan saya cuma hadir seorang saja.

Ketika itu, Berita Kampus memang tidak 'ngam' dengan HEP dan kelompok Aspirasi. Dan, kita salah seorang editorialnya. Kalau dilawan nanti, panjang kisahnya dan sikap panas baran anak muda ini memanglah sukar diramal. Saintis menyatakan bahawa, mamalia sememangnya haiwan berdarah panas dan kita pula berada di lubuk, sarang mereka!

Nanti, jika mereka naik angin dan tiba-tiba ajak rakannya menyerbu, macam mana pula kita nak bertahan dengan terkaman dan garangan yang tiba-tiba itu?

Pengkalan Aspirasi bukan cuma di Gemilang, malah ia dilanjutkan ke RST-Restu, Saujana dan Tekun. Jika nak diceritakan kronologi kisah ini, nanti terbabas maksud sebenar kisah arak ini. Kalau ada lebihan waktu, nanti dirawikan kemudian, insya Allah Ta'ala.

Kalaulah rakan lama kita itu kebetulan terbaca coretan ini, maka inilah jawapan balas terhadap kenyataan beliau itu. Wahai saudara, dengarkan penjelasan ini betul-betul, buka mata hati selebar-lebarnya, buka telinga seluas-luasnya.

Tuhan tidak bersalah membuat ciptaan

Allah berhak membuat ciptaannya dan kita tak boleh menyalahkan Tuhan jika ciptaan itu telah dijadikan suatu bentuk yang lain.

Dalam kes arak misalnya, memang 'wine' itu datang daripada anggur. Tetapi, bukankah manusia itu sendiri yang telah merumuskan bahan-bahan, menyusun ramuan, menyediakan resipi untuk menukar anggur menjadi minuman keras yang memabukkan, mengkhayalkan dan akhirnya menimbulkan lain-lain kesan pergolakan di dalam masyarakat?

Diriwayatkan ketika British mula mewujudkan ladang-ladang dan menjadikan kaum India sebagai pekerja mereka di Tanah Melayu, mereka membuka warung todi dan hasilnya, kebanyakan kaum minoriti itu telah banyak menderita kerana arak itu. Keadaan sama saja di China. Tapi, di sana British memperkenal madat, dadah dan candu.

Ya, rumah tangga jadi bergolak dengan sebab arak. Dan, banyak pemanduan yang sepatutnya selamat telah pun terbabas di jalan raya dengan sebab diserang kemabukan menggila ini.

Diriwayatkan, ulamak Bani Israel, Barsisha pernah juga cuba disesatkan oleh Iblis tapi rencana mereka ini tak pernah berhasil. Akhirnya, menurut maklumat risikan yang berjaya dicuri dari langit, ulamak ini mati dengan sebab arak.

Maka, berusaha keraslah syaitan dengan sedaya upayanya untuk menumpaskan Barsisha dengan arak. Ada juga riwayat yang menyatakan bahawa murid-murid Barsisha ini sudah dapat terbang ke langit. Wallahu'alam.

Apa yang penting, kisah ini menunjukkan bahawa sehebat-hebat manusia itu, akhirnya telah dikalahkan dengan arak. Dan, tiba-tiba, ada seorang kenalan yang pertahankan pentadbiran Mahathir yang meluluskan arak, lalu seolah-olah dia telah 'menyalahkan' Tuhan sendiri sebagai Zat yang mencipta anggur. Hal inilah yang menyebabkan kita sedikit beremosi.

Islam mempunyai sikap dan pendirian yang jelas mengenai arak ini. Tapi, anggur ini tidak pernah diharamkan. Anggur boleh dijadikan minuman lain yang tidak memabukkan juga. Anggur boleh dikeringkan menjadi kismis.

Kita juga pernah membeli kismis dalam kotak kecil dan kononnya kismis itu daripada California, Amerika, sebuah negara yang mana rakyatnya terbiasa dengan tabiat melanggah arak.

Di negara beriklim empat musim, arak diminum sedikit untuk memberikan kehangatan kepada tubuh. Ini bermaksud ada alasan untuk mereka minum. Tapi, di Malaysia yang tidak bersalji, tiada alasan untuk minum atas nama menghangatkan tubuh melainkan ia adalah sejenis acara untuk bersosial, berfoya-foya dan berparti mengikut budaya Barat.

Kesimpulannya, bukan salah anggur, salah kita sendiri yang mengolah ramuan, menggubah adunan dan meramu resipi anggur sehingga menjadi minuman keras yang memabukkan.

Bukan salah dadah. Dadah boleh digunakan secara bijaksana untuk proses rawatan. Bukan salah bom C4 ketika meletupkan tubuh Altantuya. Bom C4 itu boleh meletupkan alat senjata Israel jika Ahmad Zahid berani mengusik Ehud Barak.

Allah tidak bersalah. Tapi, manusia itulah yang bersalah kerana menyalahgunakan C4, dadah dan anggur. Wallahu'alam.

Peminum, pengangkat dulang arak sama saja

Ada hadis menyebutkan; peminum, pengangkat dulang arak, orang yang menyediakan arak akan turut dihukum. Ini bermakna, pendirian agama sangat keras ke atas arak.

Pada zaman kita ini, sudah ada van, lori Carlsberg yang mana pemandunya ialah orang Islam kita sendiri. Barangkali, sudah ada syarikat arak di papan pertama, kedua di Bursa Saham dan sudah ada kapitalis Melayu, orang Islam yang melabur dalam sektor perkilangan arak.

Dan, kita pun tidak tahu apakah sudah ada fatwa mufti berhubung hal-hal baru yang tiada pada zaman Rasulullah s.a.w ini?

Pada zaman nabi, ada arak. Tapi, tiada van yang angkut arak. Tetapi, kalau operasi pengangkutan arak itu menggunakan unta, tiadalah kita tahu.

Pada zaman nabi juga tiada papan pertama dan papan kedua bursa saham. Tetapi, kalau ada bazar khas untuk jual arak, tiadalah juga kita tahu.

Yang kita pernah dengar, ketika turunnya ayat ketiga mengenai arak dan mengharamkannya, maka telah banjir seluruh Madinah dengan arak. Tong-tong arak telah dipunggah oleh para sahabat!

Masih ada sahabat nabi yang minum arak, mabuk ketika solat dan turun perintah dari Allah yang meminta mereka jangan minum arak ketika hampir-hampir mahu bersolat.

Namun, perlahan-lahan, sedikit demi sedikit arak dibasmi melalui didikan Al-Qur'an dengan berkat kesabaran baginda.

Yang penting, apakah ada fatwa yang mengharamkan orang-orang Islam daripada menjadi pemandu van, lori Carlsberg dan lain-lain syarikat arak ini? Bukankah hal ini juga sama dengan hal mengangkat arak untuk dijual di premis perniagaan dan hotel?

Nasib Khartika

Syahadan ada seorang wanita model sambilan bernama Khartika yang akan dihukum sebat dengan sebab meminum arak. Menurut laporan akhbar, beliau adalah wanita pertama yang akan dihukum dan tiada hukuman sebat bagi pesalah wanita dalam kes sivil.

Sebatan rotan itu pula dikatakan tiada ruas, tiada buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter. Sementara itu, ukur lilitnya tidak melebihi 0.0125 meter.

Berlemah-lembutlah ke atas wanita yang telah insaf ini. Khartika tidak melarikan diri dari hukuman dan negara sepatutnya bersikap lemah lembut terhadap wanita yang sudah bersedia mengakui kesalahan.

Nabi Ayub dikatakan telah bersumpah di atas nama Allah untuk menghukum isterinya dengan 100 sebatan.

Allah maha pengasih lagi maha penyayang. Dia telah meminta Ayub mengikat 100 bilah rumput kering yang diikat lalu hanya dipukul sekali sahaja untuk menyempurnakan sumpah tadi.

Belajar hudud dari Acheh

Di Acheh Darus Salam, kita difahamkan telah ada hukuman terbuka yang boleh ditonton di khalayak ramai sebagai suatu pengajaran. Acheh pun Serambi Mekah juga kalau tidak mahu berguru kepada Kelantan yang juga Serambi Mekah. Maklumlah, prejudislah katakan. Ahem!

Daripada kita mengendong ahli-ahli Parlimen ke Taiwan kerana kononnya mahu mempelajari sistem penanaman di negara itu, (atau, kata orang, BN sebenarnya melarikan MP BN kerana takut mereka melompat ke PR) adalah lebih baik kita mengirim ahli-ahli Parlimen ke Acheh untuk melihat cara bagaimana hukuman syariah itu dilaksanakan di Acheh.

Model sambilan itu telah akur kesalahannya dan kita semua mestilah menutup lidah kita daripada berterusan menghina wanita tersebut. Agama kita memuliakan kaum wanita.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis, seorang pelacur telah masuk syurga dengan sebab dia mengutamakan seekor anjing yang kehausan. Sepatunya ditanggalkan lalu dia mencedok air lalu menyudu anjing guna menghilangkan dahaga haiwan itu.

Bermodalkan amalan itu, wanita pelacur itu masuk syurga. Dia mungkin orang susah atau dirinya telah diperalatkan untuk tujuan itu. Dia tidak boleh dipersalahkan.

Kita perlu menutup mulut selepas Khartika disebat dan tidak sesiapa pun yang boleh memandang hina ke atas orang yang telah insaf.

Sekalung tahniah dan penghargaan ke atas orang bawahan seperti Khartika yang bersedia, cekal, tabah, berani menerima hukuman untuk menyucikan jiwa mereka. Kita wajib gulung lidah kita daripada mencela mereka yang telah insaf ini.

Kita perlu buka semula gulungan lidah, kita patut membuka mulut dan jangan pernah berhenti bercakap, dan jangan kita sesekali terfikir untuk berhenti membuat spekulasi terhadap isu, kes kematian Beng Hock. Apatah lagi dengan kehadiran sepucuk surat misteri yang kununnya daripada orang-orang dalam SPRM itu.

Mereka inilah yang patut kita hinakan kerana masih enggan mengaku kesilapan, masih berdolak-dalik, enggan menyerahkan DNA dan kalau mahu serahkan DNA pun masih ragu-ragu, tidak telus membuat pengakuan dan masih mencari ruang ikhtiar untuk melarikan diri daripada sebarang siasatan.

Yang wajib kita hinakan sampai ke tahap pariah ialah si dia yang telah menggoncang tiang seri kerajaan PR Perak dan kini mahu meretakkan rumah baru PR di Selangor.

Kalau ada ungkapan yang jauh lebih rendah daripada kalimat pariah, maka kalimat itulah yang sesuai ditakhtakan dan dinobatkan ke atas si dia yang menetaskan telur anai-anai ke dalam tiang seri kerajaan negeri Kedah mutakhir ini.

Tahniah Khartika dan jangan pernah menyerah kalah kepada keadaan hidup. Yang patut kita pariahkan ialah si dia, yang mewarisi legasi Mahathir yang mana si dia ini juga yang telah meluluskan lesen penjualan arak. Jika tiada arak, maka tiadalah peminum arak.

Akhir sekali kita mahu bertanya, kalau peminum arak dihukum sebat, maka si dia yang meluluskan lesen arak itu, mahu diapa-apakan pula agaknya? Takkanlah kita nak tunggu hukuman dalam pilihan raya umum ke-13 saja kot?

9:20 a.m, 3 Ramadhan
Sekolah pemikiran Kg Baru

Sumber: Harakahdaily

22 safar 1430

 
Pejuang Kecil © 2007 Template feito por Templates para Você