Followers

Saturday, 18 July 2009

Al Fatihah : Sedikit Bingkisan Riwayat Mengenai Syeikh Redha Salim

Buat semua pencinta Syeikh Redha Salim, disini saya sertakan sisipan bingkisan cerita mengenai Almarhum Syeikh oleh Aidil Khalid seorang pelajar perundangan di UiTM Shah Alam yang pernah bertalaqqi dengan Almarhum.

Artikel asal boleh anda dapati di sini

Pengalaman Bertalaqqi Dengan Syeikh Buta

Waktu ayah Ideal bekerja di Mesir dahulu (1997 – 2003), Ideal sempat juga merasai pengalaman bertalaqqi dengan seorang Syeikh di sana. Syeikh ini mengajar Al Quran di Al Azhar, di Syubra. Yang istimewanya, syeikh ini buta orangnya. Matanya kabur habis, sehinggakan kalau nak berjalan pun, dia perlu dipapah perlahan-lahan sambil dia memegang tongkat.

Tetapi di sebalik kecacatannya itu, Tuhan memberikan dia anugerah lain, yang jarang-jarang dimiliki orang. Dia hafaz satu Al Quran. 30 juzuk di hujung mindanya sahaja. Jadi, kalau Ideal bertalaqqi dengannya, Ideal akan duduk di sebelahnya, di atas sofa buruk di ruang tamu rumahnya yang daif itu, dan dia akan mendengar. Setiap patah-patahnya, panjang pendek, dengung serta makhrajnya, dia hafaz habis. Sekecil mana pun kesalahan yang Ideal buat pasti dia perasan, dan akan ditegurnya.

Yang lebih hebat lagi, syeikh yang bernama Syeikh Redha ini, tidak perlu menumpukan sepenuh perhatiannya waktu mendengar. Kadang-kadang, waktu Ideal bertalaqqi, dia berbual-bual dalam telefon. Kadang-kadang dia makan dan minum. Masa baru-baru dulu, Ideal ingatkan dia tak endahkan bacaan Ideal. Tapi ternyata Ideal silap. Sebab apabila Ideal tersalah saja baca, dia akan langsung menegurnya. Kalau dia sedang berbual dalam telefon, dia akan berhenti bualnya sebentar, dan langsung menegur kesalahan dalam bacaan Ideal itu. Selepas itu dia akan sambung kembali bualannya dalam telefon itu.

Memang menakjubkan, tapi itulah kuasa Tuhan. Ditariknya nikmat mata (yang selalu terdedah pada dosa), lalu diberikannya nikmat lain yang lebih bermanfaat. Nikmat minda dan hati yang hafaz dengan begitu hebat setiap patah Al Quran. Dan telinga yang mendengar dengan begitu ajaib.

Satu kenangan lucu Ideal dengannya, Syeikh Redha ini pantang berjumpa dengan kamera. Kalau dia tahu dia sedang diambil gambar, pasti dia akan berposing habis. Posing maut! Pernah satu kali, Ideal bertalaqqi di rumahnya yang daif, Ideal duduk di atas sofa. Syeikh Redha pula berbaring mengiring, menghadap Ideal di sofa yang bertentangan, sambil mendengar bacaan Ideal. Adik Ideal mengeluarkan kamera, dan mula menangkap gambar Ideal. Sungguh pun Syeikh Redha tak nampak, tapi bunyi ‘kesyek’ kamera dapat didengarnya. Dia pun tanya, bunyi apa tu. Apabila diberitahu, adik Ideal mengambil gambar, dia langsung bangun dari baringnya lalu marah-marah. “Kenapa ambil gambar masa keadaan saya macam tu tadi?” Kemudian dia datang dan duduk di sebelah Ideal, berposing. Lalu dia berkata, "okey, sekarang ambillah gambar lagi.”

Mengaji dengan orang Arab ni, lain dari mengaji dengan orang Melayu kita. Orang Arab sangat menitik-beratkan aspek makhraj. Kalau orang Melayu, panjang pendek dan dengungnya saja yang dititik beratkan, makhrajnya tunggang-langgang sebab lidahnya masih sebutan Melayu. Sebab itu, jangan terkejut kadang-kadang ustaz-ustaz yang mengajar quran di Malaysia pun, kalau pergi bertalaqqi ke Mesir, bacaannya akan jadi tersangkak-sangkak di hadapan syeikh, sebab banyak sangat ditegur.

Alhamdulillah, Ideal sempat bertalaqqi sehingga khatam dengan Syeikh Redha. Majlis khatam quran diadakan di rumah Ideal di pulau Zamalek, Kaherah. Waktu itu bulan Ramadan. Dan selesai majlis khatam, kami berbuka dengan hidangan istimewa, pizza, yang menjadi kegemaran Syeikh Redha. Memang sengaja emak Ideal sediakan pizza untuk majlis tersebut, sebab semua pun maklum, Syeikh Redha pantang jumpa dengan pizza. Pasti dia akan makan dengan penuh selera.

Habis majlis, Ideal dianugerahkannya dengan sijil sanad. Tertulis nama Ideal, diikuti dengan nama Syeikh Redha, lalu diikuti pula dengan susur galur nama-nama guru-guru terdahulu, yang bersambung terus, sehingga nama nabi Muhammad, dan kemudian Jibril, dan terus pada Allah Swt.

Berdoa waktu majlis khatam Quran...


1 comments:

Aila H. said...

Al Fatihah... dn Alhamdulillah buat Pejuang Kecil..

22 safar 1430

 
Pejuang Kecil © 2007 Template feito por Templates para Você