Alhamdulillah Syukur kepada Allah , Akhirnya manik-manik hujan mula turun membasahi bumi Kaherah. Turun pada hari Jumaat 24 Syawal 1429 Hijri bersamaan 24 Oktober 2008.
langit Hayyul A'syir redup dek awan berat membawa hujan rahmat dan kasih sayang Allah. Mula merintik hampir usai khutbah jumaat, menyirami para makmum yang khusyuk menghayati khutba di kawasan lapang tepian masjid berdekatan penempatan pelajar-pelajar Malaysia di Kaherah.
"Kalau di Mesir hujan turun maknanya sudah rasmi masuk musim sejuk, suhu akan turun mendadak selepas hujan, dalam masa sehari lebih kurang dah tak tertahan rasa apabila angin sejuk menyapa kulit."
Sebelum bulan Ramadhan yang lalu kerajaan Mesir telah mengisytiharkan perubahan kiraan waktu jam. Itu pun tanda awal melangkah ke musim Syita' (sejuk) . Cuaca mula tak menentu sekejap panas sekejap sejuk tapi jarang-jarang terasa . Masing-masing menunggu dengan sabar bila agaknya hujan akan mula turun. Tak sabar rasanya.
"Tup-tup hari ni hujan pun turun, hati dah mula berbunga seronok sejak awan mendung berarak datang,syahdu rasanya tatkala rintik pertama hujan mengenai kepala".
Tanpa sedar lidah turut memuji syukur kepada Allah. Sebabnya mungkin dah lama tak lihat dan rasai aroma bau hujan. Kalau di Malaysia hujan terlalu sinonim dengan bumi hijaunya. Tetapi kat bumi padang pasir ni hujan di tunggu-tunggu kehadirannya. Teringat suasana zaman nabi ketika hujan.
Hujan Zaman Nabi Sallallahu A'laihi Wasallam.
Pernah suatu ketika Rasulullah berdoa pohon Allah turunkan hujan , bumi kering kontang dahagakan siraman hujan, tanaman mati dek panas mentari dan gersang tanahnya. Kisah ini diriwayatkan oleh Saidina Anas bin Malik.
Anas bin Malik meriwayatkan bahawa pernah berlaku musim kemarau pada zaman Rasulullah. Ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar pada hari Jumaat, seorang Arab Badwi bangun, lalu bertanya: "Wahai Rasulullah, segala harta benda telah musnah. Seluruh ahli keluarga juga kelaparan. Berdoalah kepada Allah untuk kami agar Allah turunkan hujan..."
Baginda lalu mengangkat kedua belah tangan. Pada waktu itu tidak ternampak tompokan-tompokan awan. Tiba-tiba awan seumpana buih berarak. Baginda masih tidak turun dari mimbar hinggalah kami melihat hujan mula menitis membasahi janggutnya. Seharian itu kami ditimpa hujan. Begitu juga keesokannya dan hari selepasnya sehingga tiba hari Jumaat seterusnya. Pada hari itu, Arab Badwi tempoh hari bangun lagi dan berkata: "Semua bangunan telah runtuh, harta benda juga telah ditenggelami air. Oleh itu, berdoalah kepada Allah untuk kami, wahai Rasulullah SAW."
Baginda lalu menadah tangan ke langit, lalu berdoa, maksudnya, "Ya Allah, berilah manfaat kepada kami, dan janganlah jadikannya musibah kepada kami." (Hadis riwayat Al Bukhari)
Hakikat Hujan
Hujan adalah tanda kasih sayang Allah sebenarnya.Kita selalu mendengar manusia sering menyalah, mencemu dan mengeluh apabila hujan turun. Walaupun hjan yang selalu turun tu bukan lah sampai ke tahab bala' , hanya kadang-kadang banjir.
" Ala! hujan turun pulak", "aduh! habis basah baju aku", " kenapa lah kerap sangat hujan ni", "asyik hujan memanjang nak kerja macam mana ni", "meluat betul aku, turun lagi hujan".
"
Inilah kata-kata mencaci dan mencemuh hujan, seolah-olah hujan turun ke bumi ikut suka tanpa melihat siapakah yang berkuasa dan berkehendak menurunkan rahmat Allah itu."
Namun ada juga kata-kata baik macam ni.
"Alhamdulillah hujan turun,walupun tak boleh menoreh tapi ada hikmahnya". Mungkin beginilah cakap-cakap pakcik tua penoreh getah di Pahang tetapi sentisa bersyukur walupun hujan menghalang kehendaknya turun menoreh mencari sesuap nasi.
"Syukur! Hujan tughun jugak nooo! buleh pakat tughun pi bendang dah kot cangkui petak(sawah)", mungkin inilah kalam Pak Ngah, pesawah padi di negeri Jelapang Padi nun jauh di utara tanah air.
Nilailah sendiri mana satu kata-kata anda sewaktu hujan mula membasahi bumi.
Allah berfirman tentang hujan
Hujan di sisi Allah hakikatnya adalah rahmat namun jarang sekali Allah turunkan sebagai tanda murkanya.
Ada hujan rahmat dan ada juga hujan azab bagi manusia yang bongkak melawan perintahNya.
Allah mengisahkan hujan rahmat dan kasih sayang kepada hamba-hambaNya melaui firmanNya:
Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya ; hingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran. Al A'raff ayat 57
Allah juga memperingatkan kepada manusia yang ingkar dengan kisah hujan azab dengan firmanya :
Maka tatkala mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, berkatalah mereka: "Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami". bahkan itulah azab yang kamu minta supaya datang dengan segera angin yang mengandung azab yang pedih. Al Ahqaf ayat 24.
Solat istisqa' (minta hujan)
Hadis ini dan banyak lagi hadis yang lain menjadi dalil bahawa sembahyang memohon hujan disunatkan dalam Islam dan digalakkan mengerjakannya apabila kita mengalami musim kemarau.
Dari Abdullah bin Zaid Al Ansari r.a katanya Rasulullah SAW telah keluar menuju ke tempat sembahyang (Musholla) untuk mengerjakan sembahyang Istisqa’ (sembahyang minta hujan) dan bahawa baginda apabila hendak berdoa (dalam khutbahnya sesudah sembahyang), baginda mengadap kiblat dan mengalihkan kain selendangnya (yang atas ke bawah). (Hadis sahih-riwayat Muslim)
Berdoalah ketika hujan, jangan mencemuh dan mengeluh
Kita dianjurkan untuk berdoa kepada Allah ketika hujan turun kerana ia sebahagian dari waktu yang mustajab. Antaranya:
Nabi bersabda yang bermaksud:
Ya Allah turunkanlah hujan yang bermanfaat (Hadis sahih riwayat Al Bukhari) .
Di dalam kitab al-Azkar, Imam an-Nawawi merekodkan kenyataan Imam Asy Syafie yang meriwayatkan sebuah hadith mursal di dalam kitab Al-Umm dari Nabi SAW :
“Tuntutlah doa yang mustajab ketika tentera sedang bertarung, ketika iqamat solat dilaungkan dan ketika hujan turun”.
Nabi bersabda lagi yang membawa maksud :
Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan untuk merosakkan kami, Ya Allah, turunkanlah hujan di dataran tinggi, beberapa anak bukit, perut lembah dan beberapa tanah yang menumbuhkan pepohon. (Hadis shahih, riwayat Al Bukhari dan Muslim ).
Pengajarannya beradablah dengan Allah dan bersyukurlah dengan nikmat hujan.
2.30 petang, insya Allah hujan akan turun lagi.
( Kedengaran bunyi guruh dan awan mendung berarak lagi, lebih pekat warnanya daripada mendung sebelum solat Jumaat )
Hati mula berdoa,
" Ya Jadikanlah hujan ini bermanfaat untuk kami dan jauhkanlah kami dari mara bahayanya"
Sekian, cerita hujan dari bumi Nabi Musa A'laihis salam.
Akhukum
Pejuang Kecil
0 comments:
Post a Comment