Oleh AINUL HUDA M.SAAID
Terawih dalam kereta api
KTMB mahu menggalakkan pelancongan sambil beribadah dan membuang tanggapan bahawa tidak boleh melancong semasa bulan puasa.
BERSOLAT terawih dalam kereta api, antara pengalaman baru penumpang.
WALAUPUN sesekali bergegar dan berayun anggota badan apabila kereta api bergerak, namun ahli jemaah solat Isyak dan terawih yang terdiri daripada kakitangan KTMB, media dan penumpang Ekspres Wau dari Kuala Lumpur ke Kelantan, tetap meneruskan ibadah mereka.
Aktiviti solat berjemaah di dalam kereta api ini adalah sebahagian daripada program Pelancongan Ibadah anjuran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bermula 17 hingga 20 September lalu.
"KTMB mahu menggalakkan pelancongan sambil beribadah dan membuang tanggapan bahawa tidak boleh melancong semasa bulan puasa," kata Pengurus Besar KTMB, Sarbini Tijan.
Program yang juga bertujuan untuk memperkenalkan keistimewaan suasana Ramadan di setiap negeri di Malaysia, menjadikan Kelantan sebagai destinasi pertama dengan tema, Uniknya Ramadan di Kelantan.
"Kelantan dipilih kerana kedudukannya yang jauh dari bandar-bandar besar dan majoriti masyarakatnya beragama Islam yang masih kental dalam mengamalkan budaya Melayu," katanya.
Ia juga sejajar dengan tema Tahun Melawat Kelantan 2008 iaitu Ibadat Tourism.
Dengan perkhidmatan yang disediakan oleh KTMB dan usaha Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengadakan Program Ihya' Ramadan di Dataran Sultan Muhammad IV, membolehkan program Ibadat Tourism mencapai matlamatnya.
Bagi menjayakan Program Ihya' Ramadan di dataran itu pula, orang ramai dijemput berbuka puasa beramai-ramai di dataran dan seterusnya sembahyang Maghrib, Isyak dan terawih berjemaah.
Makanan hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai diagihkan, tetapi kebanyakan yang hadir memilih untuk membeli aneka juadah yang dijual di bazar Ramadan berdekatan.
Dengan khemah solat berhawa dingin, yang mampu memuatkan 1,200 jemaah tajaan sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka, menambahkan lagi sambutan sehingga ada yang terpaksa bersolat di kaki lima.
"Seronok dapat berbuka di sini ramai-ramai. Jemu buka puasa di rumah saja, jadi datang sini nak cari kelainan. Lepas terawih, kita boleh pergi shopping untuk raya pula," kata Nordin Ghazi, 45, seorang usahawan yang membawa keluarga.
Lain pula bagi Nik Halijah, 42, yang sanggup datang dari Kok Lanas, sejauh 30 kilometer dari Kota Bharu, semata-mata untuk berbuka dan beribadah di situ kerana kehadiran dua orang hafiz yang dibawa khas dari Universiti Al-Azhar Mekah untuk menjadi imam.
"Saya pernah sambut Ramadan di sana (Mekah). Hilanglah sikit rindu pada Mekah sebab bacaan imam hampir sama macam di sana," katanya.
Solat terawih secara terbuka telah dianjurkan sejak tahun 1994 di Kota Bharu. Tetapi pada tahun ini, acara tersebut diadakan dalam skala besar dan lebih tersusun.
"Selain aktiviti ibadah biasa seperti tazkirah dan tadarus, kami juga menjemput orang bukan Islam untuk berpuasa bersama Muslim dalam Program Puasa Demi Kesihatan," kata Ahli Exco Kelantan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan.
"Memang kegiatan pelancongan merupakan penyumbang besar ke arah perkembangan ekonomi di Kelantan. Orang luar sama ada dari dalam atau luar negeri yang datang pasti membeli-belah di sini sebab harga barang murah berbanding di tempat lain. Tetapi kami juga mahu Kota Bharu dikenali sebagai pusat pelancongan yang mengutamakan ibadah dan menimba ilmu," katanya.
Selain Kota Bharu, rombongan juga dibawa mengikuti program memasak dan pemberian dodol kepada penumpang di stesen KTMB Krai.
"Selain menguar-uarkan perkhidmatan KTMB, program ini juga untuk merapatkan hubungan pekerja kami dengan masyarakat setempat," kata Pengarah Wilayah Timur KTMB, Ibrahim Sulaiman.
Kira-kira 100 kakitangan KTMB, polis, Majlis Daerah, Jabatan Pendidikan dan penduduk setempat bergotong-royong memasak dan mengacau dodol seawal pukul tujuh pagi hinggalah tengah hari. Lapan kawah dodol dihasilkan dan disumbangkan kepada penduduk dan pelanggan KTMB.
Kelainan beribadah dalam kereta api dan keramahan rakyat Kelantan, menjadikan kembara ini amat istimewa, serta membuktikan bahawa pelancongan dan ibadah boleh dijalankan seiring.
KTMB turut merancang menganjurkan program motivasi di dalam kereta api, khusus untuk remaja. Program ini akan menjurus kepada mendalami ajaran Islam dan mendidik remaja beribadah terutamanya ibadah solat.
"Kami akan membawa peserta ke sekolah-sekolah pondok di pedalaman supaya mereka dapat menimba pengalaman baru," kata Pengurus Pemasaran Antarabandar KTMB, Mohd Noordin Kimi.
KTMB juga sedang berurusan dengan wakil penduduk beragama Islam di Singapura yang berhajat melakukan ibadah korban dan akikah di Malaysia. KTMB dengan bantuan pihak berkuasa tempatan akan mendapatkan tenaga kerja dan haiwan korban, serta membawa mereka ke lokasi terpilih untuk menyaksikan ibadah tersebut dijalankan.
"Setakat ini kerajaan negeri Kelantan menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan kami," katanya.
- Bernama
0 comments:
Post a Comment