Followers

Monday, 16 February 2009

Usaha Hasan Al-Banna Dalam Memperjuangkan Isu Palestin

Semalaman saya menganalisis kaedah-kaedah yang digunakan oleh Imam Hasan al-Banna dalam memperjuangkan isu Palestin. Dan, saya kongsikan bersama pengunjung blog hasil dari pembacaan saya. Walaupun tidak banyak, namun saya mengharapkan ada sedikit sebanyak manfaat darinya.



“Siapakah yang mengeluarkan arahan kepada kamu untuk melakukan demonstrasi Palestin?”, soal Timbalan Pengarah Pejabat Pendakwaan terhadap Mahmud al-Qubbani, seorang pelajar yang ditahan kerana terlibat dengan demonstrasi menentang pencerobohan Yahudi di Palestin.

Atas kesedaran siasah yang diterapkan oleh As-Syahid Imam Hasan al-Banna kepada rakyat Mesir pada ketika itu, penyiasatan oleh Pejabat Pendakwaan telah dilakukan terhadap pemuda-pemuda Ikhwan Muslimin yang berada dalam tahanan pemerintah.

Jawab pelajar tersebut, “Islam memerintahkan kita agar bantu-membantu dan tolong-menolong. Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kita, ‘Barangsiapa tidak mementingkan urusan umat Islam maka ia bukan dari kalangan kami’”.

“Tetapi Palestin adalah sebuah negara lain dan tiada sangkut paut dengan kita”.

“Palestin adalah jiran kita. Ia lebih hampir kepada kita berbanding Aswan. Tidak dapat tidak mesti memberi perhatian kepada jiran kita kerana bimbang kelak Yahudi pula akan menjadi jiran kepada kita. Allah telah memberi peringatan kepada kita tentang mereka”.


Memberi Kesedaran Politik
Imam Hasan al-Banna telah memerah keringatnya habis-habisan untuk mendedahkan kepada umat Islam tentang konspirasi Yahudi dan sekutunya terhadap negara-negara Islam terutamanya Palestin.

Beliau telah mengadakan pelbagai aktiviti seperti nadwah, ceramah dan pengajaran dengan tujuan untuk memberi kesedaran kepada rakyat Mesir tentang apa yang wajib mereka lakukan terhadap umat Islam di Palestin. Beliau mendedahkan pakatan antara kerajaan Mesir dan Inggeris.

Beliau juga telah mengutuskan beberapa pemuda Ikhwan Muslimin ke masjid-masjid untuk memberitahu orang ramai tentang kekejaman Inggeris, keganasan dan kekerasan mereka ke atas penduduk Palestin. Mereka telah mengumpulkan derma-derma dari jemaah masjid untuk digunakan sebagai mempertahankan bumi Palestin.

Imam Hasan al-Banna telah memerintahkan supaya beribu-ribu naskhah buku yang bertajuk “Al-Nar wa Al-Dimar fi Falastin (Api dan Kemusnahan Di Palestin)” diedarkan kepada rakyat Mesir. Buku tersebut memuatkan berpuluh-puluh gambar penyiksaan serta dokumen jenayah yang dilakukan oleh British terhadap rakyat Palestin yang terbuang.


Mengadakan Muktamar Untuk Membantu Palestin



Imam Hasan al-Banna mampu melangkah keluar dari Mesir dalam usaha politiknya, terutamanya berkaitan dengan isu Palestin. Beliau menyeru supaya diadakan muktamar dunia Arab pertama untuk membantu Palestin. Akhirnya, satu muktamar berjaya diadakan di ibu pejabat Ikhwan Muslimin, Kaherah yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin Negara Arab. Beberapa resolusi telah dicapai bagi menuntut kerajaan-kerajaan Arab supaya campur tangan demi untuk menyelamatkan Palestin dari pakatan jahat Yahudi dan Inggeris.

Matlamat utama Ikhwan Muslimin dari muktamar ini adalah supaya seluruh dunia dapat mendengar dengan adil tentang isu ini serta kezaliman British yang memutar belitkan perkara sebenar bersama sekutunya Yahudi.


Menganjurkan Demonstrasi



“Aku adalah Perdana Menteri Mesir, bukannya Perdana Menteri Palestin”, kenyataan yang dikeluarkan oleh al-Nuhas Basya ketika ditanya pendapatnya mengenai revolusi yang tercetus di Palestin dan Baitul Maqdis.

Akibatnya, Imam Hasan al-Banna telah membuat taklimat kepada semua cawangan Ikhwan Muslimin untuk berdemonstrasi menolak kenyataan yang mengandungi sikap tidak bertanggungjawab terhadap Palestin. Demonstrasi menular ke seluruh pelusuk Mesir.

Beliau juga telah menganjurkan demonstrasi yang disertai oleh hampir setengah juta rakyat Mesir, bermula dari al-Azhar. Demonstrasi ini disertai oleh para pelajar, buruh, peguam dan arkitek. Imam Hasan al-Banna bangun berpidato di hadapan himpunan manusia yang ramai tersebut, antara isi kandungannya ialah:

“Pemuda-pemuda ini bukan berolok-olok, tetapi mereka serius. Mereka telah membuat perjanjian dengan Allah dan dengan tanahair bahawa mereka akan mati kerananya, jika kami kekurangan senjata kami akan mendapatkannya dari musuh-musuh kami dan kami akan memusnahkan mereka”



Mengeluarkan Memorandum Politik
Antara perkara yang terkandung di dalam memorandum-memorandum yang dikeluarkan beliau untuk dihantar kepada beberapa pihak adalah perkara-perkara yang member kesedaran, tuntutan-tuntutan dan hak-hak yang dicabul dari penduduk Palestin. Memorandum-memorandum ini turut diserahkan kepada Perdana Menteri Mesir dan Duta British di Kaherah.

sumber: http://zatil123.blogspot.com

Ku nukilkan untuk tatapan kalian

Akhukum

Pejuang Kecil
Isnin, 5.145 malam,
21 Safar 1430, Hayyu A'syir, Kaherah Mesir

0 comments:

22 safar 1430

 
Pejuang Kecil © 2007 Template feito por Templates para Você