Followers

Monday, 30 March 2009

Sokongan dan Dokongan Padu MKKK Buat PMRAM

MKKK Hantar Perwakilan Ke Muktamar Sanawi


26 Mac - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sekali lagi dengan gilang gemilangnya telah menjayakan program tahunannya iaitu Muktamar HEWI PMRAM kali ke-22 pada 25 Mac 2009 yang lalu bertempat di Dewan Solah Abdullah Kamil, Universiti Al-Azhar. Manakala hari ini telah berlangsung Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-76 yang bertempat di Nadi Madinah Nasr Ar-Riadhi, Haiyu Sadis, Kaherah.

PMRAM dengan bertemakan "Julang Thaqafah Bakti Dicurah" pada sesi kali ini, telah membuktikan kesetiaan daripada setiap persatuan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Pewakilan Mahasiswa (DPM) dari setiap muhafazah untuk turun memenuhi seluruh dewan stadium tertutup ini. Hampir 700 orang mahasiswa dan mahasiswi daripada setiap cawangan di Mesir menghadiri muktamar kali ini. MKKK yang merupakan di antara BKAN yang bernaung di bawah PMRAM telah menghantar perwakilan seramai 45 orang iaitu 20 orang lelaki dan 25 orang perempuan dari kalangan ahlinya untuk menghadiri muktamar tersebut.

Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-76 ini dimulakan dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Presiden PMRAM, Ustaz Khairul Anuar bin Ismail pada jam 8.30 pagi setelah bacaan ayat suci Al-Quran oleh Ustaz Husni Ali Hasan. Turut diserikan lagi majlis perasmian kali ini dengan pelancaran 2 buah buku iaitu "Terjemahan Nihayah Al-Sul" yang diterjemahkan oleh Ustaz Hairul Nizam b. Mat Husain dan juga buku bertajuk "Khilaf : Adab dan Disiplin" hasil karangan Ustaz Abdul Mu'izz bin Muhammad.

Sebahagian hasil jualan kedua-dua buku ini akan disumbangkan untuk Tabung Dana Apartment (Syaqah) PMRAM. Seusai pelancaran buku , persidangan diteruskan lagi dengan sesi pembentangan Laporan Aktiviti Tahunan dan Laporan Penyata Kewangan PMRAM 2008. Sepanjang sesi tersebut para perwakilan berkesempatan untuk bersoal jawab bersama Badan Pengurus PMRAM bagi setiap pembentangan yang dilakukan. Setelah itu, pembentangan belanjawan PMRAM sesi 2009 telah disempurnakan oleh Ustaz Mohamad Ibrahim Mansor, bendahari PMRAM.

Agenda muktamar diteruskan pula dengan perbahasan usul dan sesi cadangan. Usul-usul yang dibentangkan kali ini amat penting dalam memastikan kesinambungan perjuangan mahasiswa/wi Malaysia di Mesir. Di antara usul yang diutarakan ialah "Mahasiswa/wi Perlu Bersatu Dalam Menentang Anasir-anasir Perpecahan Dan Perbalahan Di Kalangan Ahli".

Perkara ini amat penting dalam mempertahankan kesatuan mahasiswa/wi Mesir dalam mengharungi sebarang dugaan di bumi anbia' ini. Selain itu, usul yang dibahaskan ialah "Menjayakan Kutipan Dana Syaqah PMRAM Sebelum Akhir Tahun 2009".Dana Syaqah PMRAM yang dilancarkan pada tahun 2006 ini kini telah berjaya mengutip lebih LE250 000 semenjak ditubuhkan. PMRAM memerlukan lebih kurang LE 1 000 000 untuk merealisasikan pembelian aparment PMRAM.

Usul yang dibentangkan oleh Ustaz Khusaini Md Yusoff ini telah disokong oleh Ustaz Hairul Nizam Mat Husain dengan cadangan agar setiap daripada 3000 orang ahli PMRAM menyumbangkan sebanyak LE 300 sebagai suatu kaedah yang efektif untuk memenuhi dana tersebut. Usul Dana Syaqah PMRAM dengan penambahan cadangan yang diutarakan Ust. Hairul Nizam tersebut telah diluluskan selepas undian ahli-ahli perwakilan dilakukan.

Muktamar sampai ke puncaknya apabila pengumuman perletakan jawatan Kepimpinan Badan Pengurus dan HEWI PMRAM sesi 2008 dilaksanakan oleh presiden PMRAM 2008, Ust. Khairul Anuar. Setiap badan pengurus mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan terakhir sebelum pengesahan perletakan jawatan mereka masing-masing dalam kepimpinan PMRAM. Perasaan pilu dengan pengumunan perletakan jawatan tersebut disambut dengan rasa teruja apabila pengisytiharan barisan kepimpinan sesi 2009 disempurnakan oleh pengarah SPR, Ust. Ahmad Najhie Hayazi.


Agenda muktamar diakhiri dengan ucapan penangguhan dan taaruf kepimpinan PMRAM sesi 2009 yang dikendalikan oleh presiden, Ust. Abdul Mu'izz bin Muhammad. MKKK mengucapkan syabas dan tahniah kepada barisan kepimpinan PMRAM yang baru terutamanya kepada 2 orang wakil daripada Kedah iaitu Ustaz Shahrizan bin Mohd Hazime dan Ustazah Ibtisam Binti Mohamad kerana diisytiharkan sebagai Kepimpinan Badan Pengurus dan HEWI PMRAM bagi sesi 2009. Didoakan kepimpinan baru diberi hidayah dan kekuatan oleh Allah Taala dalam meneruskan perjuangan mahasiswa di Mesir.-

Sumber: mymkkk.org

Akhukum

Pejuang Kecil


1 comments:

UmmuL SyabinaR said...

moga MKKK akan terus thbat ngan PMRAM...

22 safar 1430

 
Pejuang Kecil © 2007 Template feito por Templates para Você