Followers

Saturday, 11 April 2009

KENALI UNGGAS, LANDAS, CAMAR DAN RAUDHAH



Membangun sebuah RAUDHAH
(sebuah perjalan Dakwah Sosial)

“Tiada beban batu digalas” ... “Menanggung biawak hidup” ...

Itulah seolah-olahnya makna senyuman yang tertempa diwajah mereka pada kerja yang dibuat ini walau tidak mengeluarkan suara. Sebenarnya ... kami juga berperasaan begitu.

Namun, berikan kami satu cara lain yang mampu kita perbuat bagi mengatasi kebejatan sosial yang makin mengganas. Sepertinya ombak Tsunami yang menghempas, begitulah terasanya fenomena kegawatan sosial dan budaya yang menimpa kita pada hari ini.

Sepuluh tahun yang dilalui bagi kami secara peribadi, dan mungkin lebih singkat atau lebih panjang lagi pada beberapa teman terdekat telah memberi satu pengajaran besar buat kami – bahawa barah ini makin parah dan pihak wewenang mahupun pelbagai pihak lain telah membiarkan penyakit sosial ini terus mekar seterusnya meruntuhkan masyarakat. Bahasa mudahnya ... masalah ini makin kronik, semakin teruk, seolah-olah sudah tiada jalan kembali.

Mata kami bulat apabila melihat kegawatan sosial ini dan mengklasifikasikan kebejatan ini pada 5 kategori utama samada ialah:

1) Penggunaan bahan berbahaya, ketagihan dan toksik – sepertinya koka, ganja, syabu, ice, cocktail, chasing the dragon, ubat batuk, gam mahupun arak;

2) Zina dan pergaulan bebas – termasuk seks bebas, pergaulan bebas, khalwat, mengandung tanpa nikah, pelacuran, bohsia, belen, pronographi, rogol, berpakaian mendedahkan, gay, lesbian, ladyman, sumbang mahram, liwat, dan sepertinya;

3) Subkultur dan budaya bebas – blackmetal, gothic, punk, rempit, skin head, hedonisma, parti seks, dan seangkatannya;

4) Jenayah dan Juvana – merompak, merogol, bunuh, bunuh diri, lari dari rumah, kongsi gelap, apache sereng, vandalism, keganasan dan sewaktu denganya serta

5) Kegawatan aqidah – murtad dan kesesatan aqidah.

Punca; Ini soalan yang berungkai-rungkai jawapannya. Mudahnya saya simpulkan, kita hidup dalam sistem yang rosak dan merosakkan.

Tidak perlu lagi sebenarnya untuk kita turun jauh dalam lorong-lorong hitam, apartmen kosong dan bawah jambatan untuk melihat fenomena ini. Ia ada di tempat kita beriadah, membeli belah, di rumah saudara dan jiran kita, di tepi jalan, di dalam kelas, di dalam handphone dan komputer anak kita mahupun di dalam rumah kita sendiri.

Sepuluh tahun dahulu, mencari kebejatan sosial sepertinya ghost buster mencari sang hantu. Hari ini, tiada hari yang kita tidak ditampilkan dengan pengajaran-pengajaran kesan dari kegawatan sosial ini. Seorang anak yang menendang emaknya untuk duit membeli syabu, seorang ibu yang terpaksa membuat laporan polis untuk kes rogol apabila anaknya seorang belen (istilah utara) @ bohsia (istilah klasik) terlajak memakai 6 teman lelaki dalam satu masa, seorang bayi yang dijual pada lelaki berlainan agama untuk duit RM3,000 untuk merasa lebih berharga kerterlanjuran yang dilakukannya bersama entah siapa, pemuda-pemuda yang kencing dan menginjak-nginjak al -Quran bagi memaknakan pengabdian mereka pada si Iblis, mahupun keiblisan seorang bapak yang menuntut kegadisan anaknya setiap kali anaknya mahu wang untuk sekolah, serta seorang anak gadis yang kehilangan punca setelah bertahun menjadi dagangan di belakang lorong berdekatan balai polis di Bukit Bintang.

Malangnya semua cerita ini bukan rekaan.

Allah tidak mengkehendaki dunia ini suram sebegini... kitalah yang sepatutnya mencorakkan wajah kelam kelabu dunia kepada warna hijau, biru dan pelangi yang sepatutnya bersinar.

Masyarakat yang hanyut dalam arus keduniaan – wahanisma.

Telah saya bicarakan bahawa kita hidup dalam sistem yang rosak. Cara hidup, budaya dan agama moden yang kita terima pakai adalah semata-mata untuk kecantikan, kegembiraan dan kepuasaan yang nampak dan sementara; kini dan sekarang.

Kita berkejaran untuk memiliki dunia dalam pelbagai bentuk keindahannya. Kemewahan kekayaan, lambakan wang ringgit, menjadi mimpi dan igauan siang dan malam kita. Kepuasan yang kita tuntut dengan cuba memiliki semua kemewahan; kereta, rumah, pakaian bergemerlapan, telefon tangan tercanggih, elektronik media (komputer riba, TV satelit) hingga pada perhiasan badan pada jam, tali pinggang, emas berlian dan sebagainya. Sang kaya terus hanyut dalam kegilaan kemewahan, dan sang papa juga berpenat lelah untuk berlagak dan berlakon untuk juga jadi kaya dan mewah. Sang papa kadangkala sanggup menjual harga pendidikan anak untuk membayar langganan TV satelit bulanan.

Kegilaan untuk terus memiliki semua yang ada di dunia memerlukan manusia diperdaya untuk merasa bahawa kemanisan madu dunia ini harus dihirup sepuas-puasnya. Alat-alat peperangan untuk memperdaya manusia untuk merasa dunia ini harus dimiliki seluruhnya dipersiapkan – maka lahirlah pelbagai bentuk iklan, lakonan, artis, fesyen, lagu, dan hiburan dan pelbagai bentuk kelekaan (hiburan) lagi yang terus menghanyutkan manusia dalam alam kegembiraan sementara yang melalaikan. Maka kelalaian dan lupa diri ini menyebabkan keinginan manusia bertambah untuk lebih seronok, lebih gila dan merasa tiada kepuasan yang memuaskan.

Ketika ini manusia melangkah masuk ke dunia yang diluar batasan ciptaan Allah iaitu agamanya; Deenul Islam yang menjamin manusia merasa cukup sekadarnya dengan nikmat dunia. Manusia tidak merasa cukup dengan dunia; lalu memilih untuk tergolong dalam kelompok manusia diluar batasan sosial dan memilih seks bebas/zina, dadah, arak, judi, jenayah dan kesesatan aqidah sebagai pilihan. Cinta pada dunia ini bukan hanya satu trend dan insiden sementara, namun telah tersebati dalam budaya masyarakat dan tidak salah sama sekali untuk ia disamakan sebagai satu agama baru dalam masyarakat moden hari ini. Masyarakat yang rosak dan merosakkan.

Masyarakat yang pekak, bisu dan buta

Adat insan itu adalah makhluk yang sering lupa. Maka kelupaan itu harus disedarkan. Mayarakat yang berilmu akan memlih jalan yang benar dengan panduan (agama) Allah. Namun, sekali lagi badai kecintaan dunia ini melanda umat manusia. Mereka dilalaikan dengan kesibukan untuk memiliki dunia lalu tidak hentang lagi untuk mencari dan memiliki kebenaran ilmu dalam mencari makna diri dan tujuan kehidupan, lantas memilih untuk terus dilalaikan. Masyarakat ini juga telah hilang rasa untuk memperbetulkan diri mereka apatah lagi orang lain untuk mengajak sesama manusia kepada jalan kebaikan dan kesejahteraan dan menjauhkan diri atau keluar dari kejahilan, kelalaian dan kerosakan (fasad dan mungkar).

Mereka sibuk dan lalai memenuhi keperluan keseronokan dan kepuasaan peribadi dan merasakan kerosakan yang berlaku di keliling mereka bukan hal mereka. Bahkan yang memiliki ilmu dan kedudukan sekali menjadikan ilmu dan kedudukan itu sendiri, yang sepatutnya menjadi satu amanah sebagai batu loncatan untuk memiliki lebih banyak dari dunia ini. Mereka tidak sedar kelakuan mereka ini akan membenihkan kerosakan yang lebih besar dalam masyarakat mereka lantas membentuk satu gunung kebobrokan sosial yang akhirnya bakal membenamkan orang yang mereka sayangi malahan diri mereka sendiri. Masyarakat ini telah menjadi pekak, bisu dan buta.

Puas sudah didengari, seolah-olah saya menyalahkan orang lain untuk semua masalah ini, sedang saya dan kita ini sendiri adalah sebahagian masalah tersebut. Saya dan teman-teman sedar, manusia kerdil tidak mampu menahan Tsunami kebangkrapan Sosial ini. Tembok-tembok yang dibina manusia kerdil tidak mampu menahan ombak yang saban waktu berkunjung apatah lagi sebuah Tsunami. Hanya sanya yang mampu menjadi tembok sebenar malahan mensuci kekotoran dan memurnikan kerosakan adalah pohon-pohon ditepian lautan yang bilamana ia ditanam kembali satu persatu, dan dibiar ia tumbuh mekar merimbun akan mampu bertahan bila ribut dan sang Tsunami melanda, malahan akan melahirkan anak-anak ikan dan udang yang bakal memberi manfaat pada lautan dan daratan. Indah sungguh kitab alam ciptaan Tuhan. Punya Ibrah untuk ditempa.

Permulaan semua ini adalah dengan satu kesedaran yang difahami dengan sebenar-benarnya.

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. {13 : 11}

Derita umat dan kegawatan ini harus ditelaah dengan kita sendiri harus terjun untuk mengambil ibrah (pengajaran) dan memahami lenggok seni musuh yang merosakkan ini agar satu perancangan (makar) peperangan terhadap gejala sosial mampu dipersiapkan. Kefahaman pada derita ini hendaknya membina satu keinsafan, penghayatan dan kesedaran. Keinsafan dan kesedaran hanya menjadi kekecewaan dan kepasrahan andai tidak dilengkapkan dengan tindakan dan usaha-usaha perubahan yang strategis (seperti saf yang tersusun kukuh) dan berterusan (istiqomah).

Ibrah ini, bersama tahun demi tahun kegagalan, mempersiapkan kita membangun satu makhroja, moga ianya dipandu oleh hidayah dan petunjuk Allah.

Membina sebuah LANDAS ...

Program sosial ini diawali dengan Latihan Aktivis Dakwah dalam Isu Sosial (LANDAS). LANDAS adalah sebuah program latihan berfasa (3 fasa modul dipersiap untuk tahun 2009M/1430H) yang membawa para aktivis dakwah, arkitek perubahan dan alim ulamak untuk turun lapangan untuk memahami status kegawatan sosial secara terus (first hand encounter).

Program ini disulami dengan latihan seni dakwah yang mengkehendaki para pelatih mendekati kumpulan bermasalah secara langsung. Kemampuan Daie mendekati (hemoi – istilah utara) dan memahami kumpulan bermasalah, menghulurkan kelembutan dakwah untuk memberi harapan dan hidayah adalah satu latihan intensif yang memerlukan kemahiran komunikasi, psikologi, emosi dan spiritual yang harus rancak berpencak dalam satu waktu yang singkat.

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. {16:125}

Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan dari ayat 125, Surah An Nahl, bahawa garis besar para penda'wah dapat dibahagikan kepada tiga golongan dan dihadapai dengan kaedah yang berbeza:

a. Golongan intelektual yang cintakan kebenaran dan dapat berfikir secara kritis, cepat dapat menangkap mesej da'wah dengan kekuatan akal fikiran dengan dalil dan hujah-hujah yang diyakinkan. Mereka ini harus didekati dengan cara "hikmah" الحكمة))

b. Golongan awam dan orang kebanyakkan yang belum dapat berfikir secara kritis, belum dapat menerima pengertian yang tinggi-tinggi dan mendalam. Perlu memberikan pendekatan dan pendidikan dengan ajaran yang mudah difahami denga cara "mau'izatun hasanah". الموعظة الحسنة

c. Golongan yang mempunyai tingkatan kecerdasan di antara "hikmah" dan "mau'izatun hasanah". Mereka ini perlu kepada pendekatan "mujadalah billati hiya ahsan", المجادلة بالتى هى أحسن dengan bertukar-tukar fikiran secara sihat dan layanan cara yang baik-baik.

Syeikh Muhammad Abduh menyimpulkan dalam kalimat:

خاطبواالناس على قدر عقولهم

"Bicaralah kepada manusia mengikut kadar kecerdasan akal mereka itu"


Sabda Nabi s.a.w. :

أمرنا أن نكلم الناس على قدر عقولهم

"Kami diperintahkan, supaya berbicara kepada manusia menurut kadar kecerdasan akal mereka masing-masing" (Hadis Riwayat Muslim)

LANDAS dalam waktu yang sama menjadi sebahagian dari proses pemetaan isu sosial dalam komuniti dan tidak kurang menjadi medan advokasi dan pendidikan menggunakan suara media.

Aktivis LANDAS, bergraduasi dari latihan lapangan ini seperti perkumpulan burung-burung CAMAR (Perkumpulan Cakna Amar Maaruf Nahi Mungkar) yang akan menebarkan kesejahteraan sepanjang perjalanan mereka dan setia memerhati agar kemungkaran tidak berlaku di bumi Allah ini (Skuad CAMAR)

Firman Allah s.w.t. :

Maksudnya : "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berda'wah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya." (Ali Imran 104)

Maksudnya: ”Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka; orang-orang Yang fasik.” (Ali Imran 110)

Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) mengepakkan sayapnya

Latihan dilapangan tidak mencukupi tanpa perlaksanaan solusi yang tuntas dilapangan sendiri. Rumah Upayadaya Ar-Rahman (RAUDHAH) dan teman-teman sepanjang dua tahun ini telah cuba membangunkan sebuah Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) yang pada awalnya mendapat dokongan setidak-tidaknya moral dari sebuah kerajaan negeri di utara semenanjung. Walaupun hingga kini komitmen pada dokongan ini masih tidak dapat direalisasikan namun RAUDHAH telah berjaya membangun satu konsep perlaksanaan bagi sekretariat UNGGAS yang menunggu masa untuk terlaksana.

UNGGAS pada asasnya adalah sebuah pusat penyelarasan kerja atau sekretariat yang mampu menguruskan semua gerakerja aktivis isu sosial ini. Kerja dakwah dan lapangan tidak akan memberi implikasi mendalam tanpa kajian akar umbi dan yang mampu menjadi rujukan kepada pembangunan kelangsungan dakwah masa depan. Dakwah dan kerja perubahan sosial harus dapat dipeta dan dipandu oleh bukti dan data yang sahih dan kukuh dari lapangan. Maka sektor “penyelidikan dan pembangunan” (research and development) dilapangan adalah sektor terpenting dalam gerakerja UNGGAS.

Bukti dan data ini seterusnya digunakan dalam pembangunan dan pemantapan polisi berkait dengan isu-isu sosial. Ia juga akan berkait rapat dengan usaha-usaha menggerakkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada atau pembaikan kelompongan pada undang-undang yang sedia ada.

Usaha pendidikan massa, advokasi polis, penyeledikan dan pembangunan tidak mampu berlangsung tanpa tenga kerja yang cukup. Isu yang berlaku secara merata dan menyeluruh dari ceruk kampung ke tengah hiruk pikuk metropolitan memerlukan lebih banyak CAMAR dilahirkan. UNGGAS boleh memainkan peranan sebagai pusat latihan dan pembangunan untuk tujuan ini.

Melihat pada spektrum dan kepelbagaian kelompok bermasalah dan menyedari keperluan bahawa insan-insan bermasalah ini ada di antara mereka tidak mampu mengikuti program pemulihan berterusan dan dakwah kaki lima yang berlangsung dalam waktu yang singkat, sukar membawa perubahan yang berkekalan. Ini termasuk masalah individu berkeluarga dan berkerjaya yang terjebak dalam gejala sosial dan memerlukan pertolongan. Sayugia itu sebuah program kaunseling percuma diatur dengan iaitu Kaunseling Kasih Ar Rahim (KEKASIH). Model program ini sedang berjalan secara terbatas di Serambi Dakwah, PUM PP Pulau Pinang.

Terakhirnya UNGGAS tidak mampu tidur lena jika ia sendiri gagal menjadi solusi di lapangan. Pelbagai inisiatif yang digerakkan sebelum ini tidak mampu direalisasikan secara berpanjangan dengan penubuhan pelbagai perkumpulan remaja bagi mengisi masa mereka secara berkesan dari membuang masa secara sia-sia dan sebagai ruang pemulihan dalam komuniti. Inisiatif ini bukan baru namun adalah kelanjutan kepada usaha-usaha yang pernah dilaksanakan sebelum ini antaranya; Ikatan Remaja Merdeka (IRAMA), Ikatan Remaja Muslim (IKRAM), Ikatan Perkumpulan Pelajar Pewaris harapan (IMPIAN), Aktivis Remaja Alam Sekitar (ARAS) dan sebagainya. Model-model dari sahabat-sahabat gerakan seperti Embun Hidayah, Kelab Remaja JIM (KRJ) dan lain-lain,

Mencari kasih dan harapan di RAUDHAH ...

Program besar Dakwah Sosial ini adalah pembinaan sebuah rumah transit dan pemulihan kumpulan bermasalah yang dinamakan sebagai RAUDHAH. RAUDHAH atau Rumah Upayadaya dan Harapan Ar-Rahman membawa konsep Uzlah (pengasingan) dan Tazkiyah (Penyucian) bagi usaha pemulihan kumpulan kritikal bermasalah (hardcore social problematic groups) ini. 10 tahun selepas merasa cukup keterbatasan menggerakkan perubahan individu bermasalah ini, RAUDHAH mejadi satu sinar (نور) kepada kami dan moganya menjadi nur kepada mereka yang lain.

RAUDHAH ketika ini hanya dikhususkan kepada indvidu bermasalah kritikal sahaja dan dalam tempoh ini hanya mengendalikan kumpulan wanita. RAUDHAH akur dengan limitasi yang ada dan sehingga tarikh ini (Rabiul Awal 1430H) tidak menerima kumpulan yang terlibat dengan ketagihan dadah.

Program ini berteruskan konsep al fahmu (kefahaman) dalam pembangunan ilmu dan iman, dengan penekanan kepada faham aqidah dalam semua aspek kehidupan. RAUDHAH adalah harapan kepada mereka yang ingin mencari jalan pulang kepada kasihNYA [www.perjalananpulang.wordpress.com].

56. Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang Engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah Yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam). Al Qasas : 56

Kepada saudara-saudariku yang belum memahami apa yang ku bicarakan ini – lamaran ini ku sampaikan kepada saudara-saudari lain agar mahu berjejak turun ke sawah bendang, hutan belukar dan lautan luas fenomena kebobrokan sosial yang melanda anak-anak, adik-adik dan saudara kita saat ini.

Mengeluh, tidak membawa erti ...
Hanya Berbicara, tidak membawa perubahan ...
Kalau tidak kita? Siapa lagi ?
Kalau tidak sekarang? Bila lagi ?
Kalau tidak disini? Di mana lagi ?

Kepada saudara-saudariku yang pernah tersentuh dan terasa bau busuk tegar alkohol yang tersembur keluar dari mulut adik-adik dan saudara kita tatkala kita memeluk rapatnya penuh doa, atau ketika air mata taubat itu mula menggenangi mata-mata hitam, biru dan koko yang meminta-minta kita menyatakannya bahawa dia masih punya harapan, atau ketika air mata kita menitis sayu melihat wajah dihadapan kita yang khayal, pucat lesi, dan kebingungan, sambil air-air mata itu mendoakan pada adik dan saudara/i ku ini bahawa – masih ada jalan pulang.

Pada saudara-saudariku ini, ingin ku sedarkan kamu bahawa kamu sedang berada dalam satu fenomena baru yang sedang bangun dengan hajat besar menenggelamkan Tsunami kebangkrapan sosial sedalam-dalamnya.

Kebangunan ini hanya mampu berhasil apabila putus asa tiada dalam kamus kita, meyakini bahawa hanya sanya Allah pemilik Hidayah, bahawa mujahadah itu adalah nafas kami, dan bersama, mengatur saf secara teratur dan menolak perpecahan dan dengan sabar dan keyakinan kebangunan ini harus dibina secara satu agar ia mampu tegar dan istiqomah. Inginku peringati saudaraku untuk memahami bahawa langkah-langkah ini perlu diatur sepertimana kita sedang membina sebuah kota untuk bertahan berabad lamanya maka harusnya batu-batunya ini diatur, satu demi satu dengan seni dan tersusun kerana jika tidak ia hanya akan bertahun hanya semusim lamanya.

272. tidaklah Engkau Diwajibkan (Wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah Yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya). dan apa jua harta Yang halal Yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua Yang kamu dermakan dari harta Yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan. Al Baqarah :

Semoga Allah bersama kita dalam membina jalan-jalan pulang, kembali kepada KeredhaaNYA.

Sesiapa yang berminat untuk menyertai sukarelawan landas boleh layari blog di bawah ini:


URUSETIA MENANGGANI GEJALA SOSIAL (UNGGAS)

Sumber:urusetialandas.blogspot.com


0 comments:

22 safar 1430

 
Pejuang Kecil © 2007 Template feito por Templates para Você