Oleh : Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 21 Mei: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong penuh kenyataan Pengerusi Pusat Perkembangan Budaya LLG, Datuk Dr Toh Kin Woon bahawa mahasiswa berusia 21 tahun ke atas berhak untuk berpolitik.
Mengulangi kenyataan Dr Toh bahawa tindakan empat mahasiswa sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selari dengan seksyen 119 (1a) dalam Perlembagaan Persekutuan, Ketua Penerangannya, Fadhil Osman (gambar) mempersoal kerajaan yang tidak membenarkan mahasiswa 21 tahun ke atas untuk berpolitik dan menyatakan pendirian mereka terhadap mana-mana parti politik.
"Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan semua warga negara yang mencapai umur 21 tahun berhak menyertai politik dan layak mengundi dalam pilihan raya.
"DPPWP mempersoalkan, kalau sekiranya usia 21 tahun adalah usia kelayakan mengundi, mengapa mereka tidak dibenarkan untuk berpolitik dan menyatakan sikap mereka terhadap mana-mana parti politik.
“Bukankah Malaysia sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, justeru mengapa mesti ada sekatan terhadap empat mahasiswa tersebut untuk mengamalkan hak demokrasi mereka?" katanya kepada Harakahdaily.
DPPWP juga, katanya meminta pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM lebih profesional dan rasional dalam menangani isu ini kerana empat mahasiswa tersebut terlibat dalam kempen di luar universiti, bukan melakukan kesalahan mengabaikan pelajaran dan meninggalkan kelas pengajian atau manjatuhkan nama baik universiti.
"Tindakan diambil terhadap mereka hanya kerana mereka berkempen untuk Pakatan Rakyat di Hulu Selangor, tetapi bagaimana sekiranya mereka adalah ahli Umno dan terlibat secara langsung dengan kempen di mana-mana pilihan raya kecil?" katanya.
Sehubungan itu, ujarnya DPPWP berpandangan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sudah tidak relevan kerana ia menyekat mahasiswa untuk menyatakan hak mereka.
"AUKU adalah alat untuk menyekat kebebasan mahasiswa untuk berpersatuan dan berpolitik, sedangkan dengan cara inilah mampu mematangkan mahasiswa dan melatih kepemimpinan mereka. Sepatutnya mahasiswa diberikan kebebasan mengenali lanskap politik negara, agar mereka tahu dan mampu menangani isu-isu semasa dengan baik.
"Apa yang berlaku hari ini, ramai mahasiswa yang tidak tahu menahu hal ehwal negara menyebabkan mereka menjadi lesu dan tidak bersikap proaktif dalam kepemimpinan mereka," katanya.
Empat mahasiswa jurusan Sains Politik UKM iaitu Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ekoran terlibat pada PRK Hulu Selangor.
Ekoran itu, mereka tampil membuat bantahan dan memohon agar pertuduhan itu dibatalkan atas dasar Malaysia khususnya universiti sendiri mengamalkan demokrasi seperti yang diwarwarkan kerajaan.
Sumber : Harakahdaily.net
0 comments:
Post a Comment