Followers

Wednesday 25 February 2009

Kolej Universiti Insaniah Buah Hati Rakyat Kedah


INSANIAH Bakal Menjana Pembangunan Daerah Baling

Projek pembinaan Kampus Tetap Kolej Universiti INSANIAH akan mula dibina pada hujung tahun 2009 di Kuala Ketil Baling yang merangkumi keluasan keseluruhan 832 ekar dan melibatkan 2 fasa pembangunan. Lokasi kampus tetap ini begitu strategik kerana berada di kawasan Kedah tengah / Kedah selatan yang mendorong negeri ini terus membangun dengan pesat dalam pelbagai sektor seperti, perniagaan, kewangan, perumahan, hartanah, tenaga mahir dan pembandaran juga bakal berkembang. Menurut Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, keistimewaan dan keunikan Kampus ini adalah dengan terbinanya tasik buatan dengan keluasan 10 hektar yang dibina di bahagian hadapan pintu masuk utama dan menghala terus ke masjid INSANIAH yang turut dibina berdekatan di situ.

Dalam Fasa Pertama yang melibatkan kos peruntukan sebanyak RM350 juta ini, terdapat 5 bangunan yang akan dibina iaitu Kulliyyah, asrama, perpustakaan dan masjid dan ianya mengambil masa selama 3 tahun untuk disiapkan. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Kampus Tetap Kolej Universiti INSANIAH di Kuala Ketil semalam. Antara Kulliyyah pengajian yang akan terus dikembangkan di INSANIAH ini ialah , Usuluddin, Syariah, Muamalat, al-Quran, Bahasa Arab dan Kulliyyah baru seperti Multimedia Kreatif, Kejuruteraan dan Kejururawatan.

Menurutnya lagi, dijangka kapasiti kampus tetap ini dapat menampung seramai 20,000 orang mahasiswa yang terdiri daripada anak-anak tempatan dan juga dari negara luar. “Perkongsian pintar INSANIAH dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) lain di Malaysia dan dunia akan membolehkan INSANIAH berdaya maju dari segi penawaran pelbagai jenis pengajian yang berteraskan kualiti pendidikan agama.

“Bagi melahirkan siswazah yang terpelajar dan berkualiti Islam, pihak kepimpinan INSANIAH mestilah membuat perubahan daripada pelbagai sudut struktur dan bentuknya sebagai sebuah badan pendidikan tinggi malah dari segi kurikulum dan pengajaran ilmu yang relevan,”katanya.

Menurut Rektor INSANIAH Prof Dato’ Dr Jamil Bin Osman, Dengan adanya kampus tetap INSANIAH di daerah ini, pelbagai sektor negeri ini akan membangun dan maju seiring dengan pembangunannya terutama dalam pendidikan dan ekonomi. Bukan sahaja pusat ilmu atau pengajian Islam semata-mata, tetapi secara tidak langsung menjadikan Kedah sebagai lembah ilmu yang tersohor di seluruh dunia.

Menurutnya lagi, Kolej Universiti INSANIAH bukan sahaja tertumpu bagi pelajar dalam negara, tetapi pelajar dari luar negara turut menjadi sasaran INSANIAH kerana keunikan integrasi ilmu yang dibangunkan sudah pastinya mampu untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di INSANIAH.
- ( Sumber: www.kuin.edu.my )

Tempat Mengaji saya dulu-dulu.

Akhukum

Pejuang Kecil
Rabu, 30 Safar 1430
4.12 ptg, Hayyu A'syir, Kaherah Mesir


0 comments:

22 safar 1430

 
Pejuang Kecil © 2007 Template feito por Templates para Você