Followers

Sunday, 22 February 2009

Peluang Di Dua Bukit- Persepsi Luar Negara

Pakatan akan menang di dua bukit, ramal Bridget Welsh



KUALA LUMPUR, 20 Feb: Profesor sains politik dari Fakulti Kajian Asia Tenggara, Universiti Johns Hopkins di Washington DC, Bridget Welsh meramalkan Pakatan Rakyat akan menang di dua pilihan raya kecil, Bukit Gantang di Perak dan Bukit Selambau di Kedah.

"Saya ramalkan PAS akan menang di Bukit Gantang lebih sikit dari yang mereka menang dalam pilihan raya umum yang lalu....mungkin 2,000 majoriti," kata Welsh kepada Siasah.
Menjelang beberapa hari mengundi dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini, Welsh meramalkan PAS akan menang 2,000 undi. Dalam pilihan raya itu, PAS menang 2,613 undi.

Welsh memberikan tiga sebab kenapa beliau meramalkan PAS akan menang di Bukit Gantang dan PKR akan menang di Bukit Selambau.

Pertama, memang kerusi itu kini dipegang oleh PAS dan PKR dan dengan suasana politik yang ada, belum ada tanda-tanda pengaruh kedua-duanya merosot sejak pilihan raya Mac 2008 lalu.

"Walaupun PAS berdepan dengan Kuala Terengganu yang telah di menangi oleh Umno dalam pilihan raya umum lalu, dia boleh menang di Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil baru-baru ini," katanya.

Sebab kedua yang diberikan oleh Welsh adalah para pemimpin Umno sedang berada dalam mood berperang sesama sendiri sekarang iaitu menjelang perhimpunan agung mereka Mac depan.

Mereka hanya akan fokus ke kedua-dua pilihan raya ini selepas itu yang sudah pasti sudah agak lewat berbanding dengan PAS dan PKR.

Sebab ketiga yang diberikan oleh Welsh adalah kesepakatan dalam Pakatan Rakyat kelihatan semakin baik selepas Kuala Terengganu.

Ini akan membolehkan pemimpin mereka bekerjasama dengan baik dalam dua pilihan raya kecil ini, katanya lagi.

Bagaimanapun, Welsh memberikan beberapa cabaran yang seharusnya ditangani dengan baik oleh Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini.

"Mereka perlu memberikan mesej yang jelas kepada rakyat dalam pilihan raya ini. Oleh kerana ini kawasan luar bandar berbanding Kuala Terengganu, politik wang sangat berkesan di sini," katanya.

Khususnya di Bukit Gantang, Welsh mengingatkan, Umno akan menggunakan isu Melayu dan derhaka kepada sultan dalam pilihan raya ini.

"PAS khasnya perlu menggunakan kempen yang positif dalam hal ini dan berhati-hati," katanya.
Beliau juga berkata, calon PAS dalam pilihan raya Bukit Gantang sangat penting kerana PAS memerlukan sokongan penuh dari DAP dan PKR di Bukit Gantang bagi memenangi hati semua pengundi.

"Jika PAS tersalah memilih calon, ia akan menyukarkan DAP dan PKR untuk bekerja sepenuhnya untuk memenangkan PAS," kata Welsh lagi.

Sumber : http://siasahdaily.blogspot.com/


0 comments:

22 safar 1430

 
Pejuang Kecil © 2007 Template feito por Templates para Você