Followers

Wednesday, 24 September 2008

Serikandi Agung Zainab Al Ghazali Al Jubaili

Mulianya Zainab Al Ghazali


Zainab Al Ghazali Mengisahkan pertemuannya Bersama Imam Al Banna

‘… Mari kita berjanji, berjanji sepenuhnya antara seorang lelaki dan wanita, wanita yang pada umur 18, memberikan keseluruhan hidupnya untuk Allah dan dakwah. Sekiranya ada pertembungan antara kontrak perkahwinan ini dan dakwah, maka perkahwinan kita akan tamat, tetapi dakwah akan sentiasa bertunjang dalam diriku…’

Untaian hikmah dari Al marhumah Zainab Al Ghazali Al Jubaili buat bakal suami sebelum mendirikan istana cinta. Beliau tegas menyatakan pendirian bahawa perkahwinan penting namun ia tidak lagi sepenting itu lagi jikalau ia bertembung dan menyimpa dari tujuan dakwah.ia menuntut janji demi sebuah perjanjian rabbaniy yang abadi.

Zainab Al Ghazali adalah pejuang muslimah yang kental dan ampuh. Ibarat serikandi ulung Nusaibah yang bertempur disisi rasulullah dalam kekalutan uhud mendekam setiap sanubari.Beliau menjelma sebagai wanita ulung mendepani segala mara bahaya dalam medan perjuangan dan itulah harapan ayahandanya seorang guru agama dan peniaga kapas.melalui didikan ikhlas bapanya Zainab al ghazali dibentuk agar menjadi pembimbing dan pembela ummah.

Dilahirkan di bumi yang dibuka pada zaman moyangnya menjadi khalifah kedua Islam, mesir bumi yang berkat tinggalan para nabi menjadi saksi kelahiran mujahidah agung ummat ini. Lahir di buhaira, mesir pada tanngal 1917, bayi perempuan yang berketurunan saidina Umar (r. a) ini rupa-rupanya adalah lambang perjuangan sejati muslimah moden dalam mengharungi keperitan hidup berjuang. Kisah deritanya menghadapi regim mesir diabadikan sendiri dengan penanya di dalam kitab "hari-hari dalam kehidupanku" setelah berkali-kali dirayu agar ia menjadi tatapan misali buat pejuang yang ikhlas.
Hidupnya tidak pernah sunyi dari menikmati kemanisan derita perjuangan, beliau mangli dengan pelbagai siksaan ngeri di penjara azab regim Mesir.Tubuhnya pernah dijamu buat anjing garang yang kelaparan namun selamat sejahtera dilindungi lembayung rahmat tuhan kekasihnya. Anjing yang ganas berubah senyap menghormati jasad pejuang agung ini. Bukan sahaja binatang berdiam diri berhadapan dengannya malah lelaki bajingan yang diarah melahap tubuhnya jua menyerah tidak sanggup menodai wanita suci jelmaan sahabiah rasul ini.


Pernah menganggotai Gerakan Feminis Mesir di usia remajanya pada tahun 1936, namun matlamat perjuangan yang tidak sesuai dengan jiwanya menggerakkan hatinya menubuhkan (Jamaah Muslimat) Jamaah Wanita Muslimah sebagai wadah baru perjuangannya. Ia bermula ketika umurnya 18 tahun demi membimbing kerja-kerja wanita Islam membela kehidupan dan membantu ibu-ibu yang kehilangan suami. Ketika inilah ia bertemu dengan As Syahid Imam Hassan Al Banna. Al Banna dan para penolongnya ibarat suasana nabi dan para sahabat di matanya. Zainab menjadi penggemar kepada syarahan dan pembawaan al marhum Al Imam. Sehingga pada suatu hari Imam Hassan Albanna menawarkan penggabungan Jamaah Muslimat pimpinannnya agar bersama menjadi sayap wanita ikhwanul Muslimin. Beliau menolak namun berbaia'h secara rahsia bersama Imam Hassan Al Banna kemudiannya.
ketegasannya ibarat ketegasan Umar Al Khattab. Naluri ketabahan dan kewanitaannya ibarat Saidatina Nusaibah. Kekuatannya dan kesabaran sama gagah bak lelaki perkasa. Hatinya dihiburkan dengan pertemuan dan jaminan rasulnya di dalam keasyikan mimpi indan yang benar. Deritanya bertukar gembira mendengar taujihat dan irsyadat nabi sanjungannya. alangkah bahagianya mujahidah yang bernama Zainab Al Ghazali. Setiap denyutan nadi kehidupannya kekal segar di ingatan setiap anak-anak harakah yang mewarisi perjuangan Islam.

Zainab Al Ghazali meneruskan kesinambungan Ikhwan bersama Said Qutub dan Abdul Fattah Ismail setelah kewafatan Imam Al Banna. Perjuangannya tidak disukai pemerintah yang dipimpin oleh Jamal Abdun Nasir ketika itu. Beliau ditangkap pada tahun 1965, dibicara pada 1966 dan dihukum penjara selama 25 tahun. Beliau dibebaskan pada tahun 1971 semasa Anwar Sadat menggantikan Jamal setelah kematiannya. Allah membalas pengkhianatan Jamal Abdun Nasir terhadap para pendokong Ikhwan dengan kekalahan kerajaan Mesir pimpinannya kepada Israel dan sekutunya dalam perang tiga serangkai.

Zainab kembali aktif menggerakkan apa sahaja demi Islam, berpidato lantang dan segar menyedarkan para pemuda dan pemudi, membimbing ummah ke arah keredhaan allah. Al Marhumah Zainab Al Ghazali juga terkenal sebagai penulis yang hebat. Beliau pernah menulis sebuah buku yang diharamkan oleh kerajaan Mesir iaitu "Return Of The Pharaoh".

Pengabdiannya kepada Islam dan ummat sentiasa dikenang dengan penuh penghargaan,kasih dan kecintaan. Setelah 88 tahun menabur budi dan jasa al marhumah di jemput pulang ke pangkuan Ilahi pada tanggal 3 Ogos 2005. Jasadnya yang mulia diiringi ribuan rakyat, disolatkan di masjid Rabia'tul Adawiyyah, namanya tetap segar di lubuk hati setiap pejuang agama walupun telah pergi menemui kecintaan abadi Tuhan sekalian alam.

* Penulis berada di mesir ketika wafatnya al marhumah namun atas sebab keselamatan kami dinasihatkan agar tidak pergi mengiringi jenazahnya. Al fatihah buat al marhumah Zainab Al Ghazali.


Sekian,
Akhukum Ahmad Najhie Hayazi

0 comments:

22 safar 1430

 
Pejuang Kecil © 2007 Template feito por Templates para Você